![]() |
| APABILA seorang paderi di Vatican City ditemui mati, ia menambahkan lagi misteri dalam filem ini. |
PADA tahun 2003 Dan Brown menghasilkan sebuah buku tentang komplot dan konspirasi yang melibatkan gereja Katholik. Buku yang berjudul The Da Vinci Code kemudiannya menjadi dasar kepada sebuah filem yang diarahkan oleh Ron Howard pada tahun 2006.
Baik novel atau filemnya, The Da Vinci Code telah berjaya mencipta kontroversinya sendiri apabila ia mendapat bantahan keras daripada para penganut Katholik serta berjaya menarik perhatian khalayak. Tiga tahun selepas filem The Da Vinci Code itu, Ron Howard menghasilkan pula filem Angels and Demons.
Filem yang didasarkan daripada novel Angels and Demons karya Dan Brown ini yang ditulis lebih dahulu daripada novel The Da Vinci Code, bagaimanapun kelihatan seperti sekuel kepada Da Vinci Code dan masih mengekalkan Dr. Robert Langdon pakar simbologis dari Universiti Harvard yang dilakonkan oleh Tom Hanks. Bagaimanapun, jika The Da Vinci Code mengambil Paris sebagai lokasi utamanya, filem Angel and Demons menggunakan Rom dan kota Vaticans sebagai latarnya.
Dalam The Da Vinci Code lukisan Leonardo Dan Vinci iaitu The Last Supper menjadi kunci kepada kod untuk memecahkan misteri kehilangan piala penting yang menjadi rebutan dan simpanan di kalangan gereja, tetapi dalam Angels and Demons Robert Langdon dihantar ke kota Vatican untuk menyelesaikan persoalan dan puzzle rahsia yang misteri cap yang tertulis 'illuminati', perkataan Latin yang bermaksud tanah, api, air dan angin yang ditekap pada dada paderi yang menjadi mangsa pembunuhan dan seterusnya menggagalkan serangan pengganas ke atas Vaticans melalui bom yang dicuri.
Penemuan cap misteri pada dada mangsa memerlukan Robert Langdon bertindak sebagai penyiasat untuk memecahkan makna kod rahsia yang akan berjaya pula merongkaikan tentang komplot, pengkhianatan dan perbuatan jenayah kotor yang tersembunyi di sebalik jubah para kardinal dalam perebutan kekuasaan pimpinan gereja di Vatican. 'Illuminati' juga merujuk kepada satu konspirasi gelap tentang penolakan gereja ke atas penemuan saintis oleh Galileo yang dianggap tidak percaya tuhan.
Perbuatan jenayah dan konspirasi kotor di kalangan pemimpin utama di gereja Vaticans inilah yang sukar diterima oleh pengikut Katholik. Lesen kreatif yang dibawakan oleh penulis lakonlayar Akiva Goldman dan Knoel Koeep dan pengarah filem ini, Ron Howard yang memperlihatkan permainan konspirator menyebabkan filem ini juga dibantah oleh pengikut Katholik. Samoa khabarnya telah melarang tayang filem ini di negara tersebut. Apakah bantahan terhadap filem ini daripada pengikut Katholik agar filem ini mendapat perhatian sedikit sekadar permainan strategi pemasaran Hollywood?
Persoalannya bagaimanakah sebuah fiksyen dengan pendekatan popular seperti Angels and Demons ini berjaya pula mencipta kontroversi bantahan? Jawapannya tentulah kerana keberanian Dan Brown memperlekeh dan membuat tafsiran baru tentang kononnya rahsia, lagenda dan sisi gelap yang menyelubungi agama Kristian tersimpan di gereja-gereja tua di kota suci Vaticans. Dan Brown sewenang-wenangnya mencampur adukkan antara agama dan fakta sejarah dengan fiksyen yang diciptanya sendiri. Buku tulisan Dan Brown ini mendapat protes keras penganut Kristian Katolik, sebagaimana yang pernah diterima oleh sebuah lagi buku iaitu Holy Blood, Holy Grail yang dianggap menyelewengkan fakta, menghina dan menyesatkan fahaman Kristian.
Fiksyen yang ditulis oleh Dan Brown ini memperlihatkan seolah-olah pimpinan tertinggi Katholik di Vatican itu seperti satu organisasi yang penuh rahsia, tidak mempunyai kejujuran serta menentang kebenaran. Hal ini diperlihatkan melalui buku hasil kajian sains oleh Galileo yang tersimpan rapi di arkib Vatican yang pada awalnya pernah mendapat tentangan daripada pihak paderi Katholik sendiri kerana hasil kajian Galileo tersebut bertentangan dengan fahaman yang dipegang sedemikian lama oleh mereka. Isu yang pernah menjadi pertentangan antara pihak Katholik dan golongan saintis digunakan semula oleh Dan Brown untuk mewujudkan komplot, konspirasi dan perbuatan jenayah segolongan pemimpin Katholik di Vatican.
Sebagai sebuah filem, Angels and Demons hanyalah seperti mana-mana filem aksi cemas dan penyiasatan Holywood yang plotnya sekadar mengulang formula dan pendekatan filem-filem sebelum ini. Filem ini mengulang semula pendekatan plot The Da Vinci Code dan juga elemen jenayah yang pernah dipaparkan dalam novel Name of the Rose tulisan Umberto Eco.
Cuma Ron Howard cuba memberikan tempo yang lebih pantas dalam kerja kamera dan suntingan filem ini. Bagaimanapun naratif filem ini sendiri kelihatan tidak bermaya yang menjadikannya gagal menarik perhatian khalayak. Malah Tom Hanks sebagai Dr. Robert Langdon dalam misinya memecahkan komplot jahat di Vatican itu memperlihatkan watak penyiasat yang letih dan tidak bertenaga. Latar agama dan gereja Katholik yang begitu rahsia dengan kawalan oleh golongan pimpinan Katholik dengan penuh tradisi lama yang digunakan oleh filem Angels and Demons untuk mewujudkan elemen jenayah dan misteri bagaimanapun sudah menjadi tidak panas lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: