Tuesday, May 26, 2009

Apabila mak yong bertemu Shakespeare


LENTIKKAN lagi tangan tu. Itulah yang dikatakan Zizi sebagai pengarah kepada pelakonnya yang membintangi Mak Yong Titis Sakti.


ADALAH sesuatu yang cukup mengagumkan apabila sebuah karya agung hasil karya seorang penulis yang cukup dikenali di seluruh dunia diangkat dalam bentuk seni yang jarang dilakukan sebelum ini.

Sebelum ini, kebanyakan karya agung William Shakespeare diangkat menjadi filem mahupun drama bersiri dalam pelbagai versi.

Namun hasil idea Norzizi Zulkifli telah membawa satu perubahan dalam pementasan mak yong yang jarang sekali dipersembahkan.

Masakan tidak, belum pernah lagi karya terkenal Shakespeare diadaptasi dalam bentuk seni persembahan mak yong dan ini ternyata begitu mengujakan Norzizi sebagai seorang pengarah teater.

Mak Yong Titis Sakti nama diberi, bukan sebarangan naskah yang hakikatnya menguji kredibiliti bekas graduan Universiti Middlesex, London ini.

Ketika ditemui sewaktu sesi latihan Mak Yong Titis Sakti di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) baru-baru ini, raut wajahnya memang tidak mampu menyembunyikan debaran yang dialami kini.

"Mana tidaknya. Ini pertama kali persembahan seumpama ini diadakan dan sebagai seorang yang masih baru dalam bidang seni pengarahan teater, sememangnya Mak Yong Titis Sakti cukup mencabar saya.

Menghiburkan

"Tetapi saya beruntung kerana mempunyai pasukan yang hebat dan bijak lagi kreatif yang banyak membantu dan memberikan kerjasama yang cukup baik sepanjang hampir dua bulan latihan.

"Apa yang saya lakukan ini adalah sumbangan saya untuk terus memartabatkan seni persembahan mak yong. Saya mahu melihat ia terus dipelihara sebaiknya oleh generasi muda hari ini," katanya yang mesra di sapa sebagai Zizi itu penuh semangat.

Sebelum ini, Zizi pernah mengarahkan dua pementasan mak yong iaitu Mak Yong Anak Raja Gondang dan Mak Yong Raja Tangkai Hati beberapa tahun lalu.

Ditanya bagaimanakah idea untuk mengadaptasi karya Shakespeare itu dalam mak yong, wanita berusia 33 tahun ini menjelaskan semuanya tercetus sewaktu dia masih lagi menuntut di London.

Ketika itu dia perlu memikirkan konsep untuk menzahirkan karya penulis tersohor itu dalam bentuk yang berbeza sebagai salah satu tugasan kuliahnya.

Lantas, A Midsummer's Night Dream berlegar di kepalanya. Bermula daripada situ dia cuba mengolah sebaik mungkin untuk menjelmakan karya romantik komedi itu.

"A Midsummer's Night Dream agak jarang mendapat perhatian berbanding Macbeth, Romeo and Juliet mahupun Julius Caeser yang lebih kepada elemen drama dan tragedi.

"Kisah yang ditonjolkan dalam karya ini sememangnya begitu menghiburkan dan menarik sekali dan disebabkan itu saya memutuskan untuk memilihnya sebagai subjek dalam pementasan ini," ujar Zizi yang juga pensyarah di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor ini lagi.

Tambahnya lagi, peluang untuknya mementaskan karyanya di KLPac bermula apabila dia bertemu dengan aktivis teater, Datuk Faridah Merican yang mengemudikan KLPac.

Tanpa berkata panjang, Faridah terus bersetuju tatkala Zizi rancak berbicara dengannya tentang Mak Yong Titis Sakti.

"Untuk itu juga, ia menambahkan lagi keyakinan saya untuk teater ini kerana adanya sokongan daripada mereka yang terus mahu melihat seni persembahan tradisional terus mekar," kata ibu kepada Muhammad Armada Jiwa ini tersenyum.

Energetik

Jelasnya, kisah yang dipamerkan dalam Mak Yong Titis Sakti tidak mengambil keseluruhan kisah A Midsummer's Night Dream sebaliknya sebahagiannya sahaja yang dilihat relevan dengan jalan ceritanya.

Untuk itu juga, lagu-lagu makyung yang bakal dipersembahkan dalam Mak Yong Titis Sakti itu nanti turut mengalami sedikit perubahan bagi menyesuaikan dengan naskhah yang diolah oleh Zizi sendiri dan dibantu oleh Nan Megat.

"Apa yang saya lakukan bukannya perubahan secara total dan saya masih lagi mengikut gaya tradisional mak yong kerana itu adalah satu warisan yang tidak mampu diubah.

"Tetapi, sebagai generasi baru tidak salah rasanya kalau saya memodenkan sedikit persembahan mak yong dengan menerapkan elemen kontemporari untuk memperindahkan lagi karya itu," kata Zizi yang bekerjasama dengan suaminya, Bayu Utomo Radjikin yang bertindak sebagai pereka set dalam pementasan ini.

Ditanya tentang komitmen pelakonnya, ternyata Zizi tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya apabila mendapat barisan pelakon muda yang begitu energetik dan bersemangat untuk melibatkan diri dalam mak yong.

Begitu juga ketika uji bakat yang berlangsung sekitar bulan April lalu yang mendapat respons yang cukup positif dan menggalakkan.

"Saya sendiri terkejut apabila ada yang datang merupakan golongan profesional yang mencurahkan tenaga dan bakat mereka dalam mak yong.

"Ini adalah salah satu petanda positif dan saya percaya ia mampu menarik lebih ramai lagi golongan muda untuk bergiat aktif dalam bidang seni persembahan," ujar anak pasangan pelakon terkenal, Zulkifli Zain dan Normala Omar ini lagi.

Antara pelakon yang membintangi Mak Yong Titis Sakti adalah Zamzuriah Zahari yang memegang watak Raja Dewa Kayangan, Asrulfaizal (Peran Tua), Rosdeen Suboh (Peran Muda), Tisha Zarina Zainal (Pak Yong) dan Elza Irdalynna (Indera Putra).

Mak Yong Titis Sakti akan dipentaskan di KLPac bermula pada 3 hingga 7 Jun ini dan tiket-tiket berharga RM35 dan RM18 khusus untuk pelajar, warga tua dan orang kurang upaya sudah pun mula di jual.

Untuk malam prebiu pada 3 Jun pada pukul 8.30 malam pula, harga tiketnya hanyalah sebanyak RM10 sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: