Monday, May 18, 2009

Misha terokai perniagaan


MISHA bersama Derrick (tengah) dan Stefan Zimmermann melancarkan cawangan kelima Derrick & Team.

Bermula dengan menjadi rakan kongsi salun Derrick & Team

BENIH yang disemai selama tujuh tahun bergelumang dalam dunia nyanyian sudah pun dinikmati hasilnya dan kini, Misha Omar, 27, sedang berjinak-jinak pula untuk bergelar usahawan.

Memulakan langkah pertama dalam dunia perniagaan, Misha atau nama sebenarnya Samihah@Aishah menjalin usaha sama dengan salun Derrick & Team untuk cawangan kelimanya di The Mall.

Keserasian yang wujud antara pemiliknya, Derrick dan Misha yang terjalin seusia pembabitan penyanyi kelahiran Machang, Kelantan itu menyebabkan Derrick mempelawa penyanyi ini menjadi rakan perniagaan. Namun, penyanyi itu terpaksa menolaknya atas alasan belum bersedia untuk memberikan perhatian kepada bidang lain.

“Tujuh tahun Derrick mendandan saya iaitu sejak kemunculan pertama saya dalam industri ini. Setelah semakin serasi bersama, Derrick mempelawa saya menyertai perniagaannya tetapi saya terpaksa menolak kerana merasakan masanya belum sesuai untuk saya menceburi bidang perniagaan.

“Ketika itu saya masih terlalu baru dan belum mendapat gambaran sebenar kerjaya sebagai penyanyi dan pelakon, jadi saya bimbang tidak mampu memberikan fokus terhadap perniagaan jika menceburi bidang itu. Kini selepas tujuh tahun, barulah keyakinan itu datang dan apabila sekali lagi Derrick mengundang, saya tidak lagi menolaknya kerana merasakan sudah tiba masanya untuk saya mencuba bidang lain selain hiburan.

“Buat masa ini saya hanya menjadi rakan kongsi untuk cawangan kelimanya di The Mall. Jika rezeki mengizinkan mungkin saya ingin melebarkan lagi perniagaan ini. Bagaimanapun terlebih dulu saya mahu mempelajari ilmu asas dandanan rambut, paling tidak belajar mencuci rambut kerana saya seorang yang sangat cerewet ketika mendapatkan khidmat cucian rambut” katanya yang turut bergelar Duta Derrick & Team.

Selain salun, penyanyi dan pelakon itu juga menyimpan angan-angan mengintai peluang perniagaan dalam bidang pemakanan untuk menguji sejauh mana keupayaan dan kelebihannya mengendalikan restoran.

“Perniagaan dalam bidang dandanan adalah satu permulaan baik sebelum saya mengintai peluang dalam perniagaan lain. Perniagaan ini juga dapat mendekatkan hubungan saya dengan peminat. Selain ke spa untuk merehatkan pemikiran dan badan, peminat boleh memilih salon untuk melepaskan lelah mereka.

“Selain salun, saya juga menyimpan hasrat membuka perniagaan makanan bagi meluaskan lagi empayar dalam bidang perniagaan,” katanya.

Tak mahu tunggu terlalu lama

KEJAYAAN meraih empat anugerah pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 16 baru-baru ini iaitu untuk kategori Lagu Terbaik Sepanjang Tahun, Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Album Pop Terbaik walaupun terpaksa menanti sehingga empat tahun menantikan kemunculan album ketiganya sekurang-kurangnya berbaloi dengan anugerah itu.

Semakin lama dalam industri menjadikan Misha semakin matang dan lebih memahami selok belok dunia seni. Selepas penantian selama empat tahun, dia tidak mahu lagi menanti selama itu semata-mata untuk memiliki sebuah album.

“Kini saya belajar bagaimana mahu menggerakkan kerja yang perlahan untuk dipercepatkan. Lagipun ‘chemistry’ antara saya dengan komposer yang saya mahukan sudah ada. Mungkin dulu saya terlalu berharap hingga mengamalkan sikap tunggu dan tunggu tetapi sekarang saya sudah semakin belajar.

“Saya sudah mula bertanya teman-teman yang berminat untuk terbabit dalam album terbaru nanti. Untuk album keempat, saya teringin sekali bekerjasama dengan artis Indie untuk menjana idea yang segar dalam album terbaru nanti. Bagaimanapun itu tidak bermakna saya berkiblatkan mereka.

“Saya masih lagi mahu bekerja dengan M Nasir, Nurfatimah, Azmeer dan ramai lagi tetapi paling penting perlu ada Penerbit Eksekutif yang dapat menyeragamkan pembikinan album itu seperti mana khidmat Ramli MS yang saya gunakan dalam album berjudul Misha Omar,” katanya yang sudah pun meminta lagu daripada Noh Hujan dan ingin sekali bekerja dengan penyanyi dan komposer sedang meningkat, Yuna.

Bagi Misha, tidak salah dia cuba mempelbagaikan lagu di dalam albumnya kerana muzik adalah universal dan seorang penyanyi itu bebas untuk bekerja dengan sesiapa saja bagi menjamin kualiti lagu yang dipertaruhkan.

“Pada saya rugi jika seorang tidak mempelbagaikan lagu mereka. Jika terlalu bergantung kepada satu genre saja, peminat tidak dapat melihat kreativiti seorang artis itu,” katanya yang menjadikan album Ziana Zain yang mengenengahkan lagu pelbagai rentak sebagai inspirasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: