Monday, May 18, 2009

Kerana jodoh yang kuat


PASANGAN ini berharap rumah tangga bahagia dan kekal hingga ke akhir hayat.

Zamarul dan Diana sah bergelar suami, isteri selepas lapan tahun menganyam cinta

LAPAN tahun bukanlah satu tempoh perkenalan yang singkat. Sudah tentu dalam tempoh berkenaan, ada cubaan dan rintangan yang datang menguji kasih sayang dan kesetiaan antara Zamarul Hisham dan Diana Rafar.

Sememangnya, jika bukan kerana jodoh yang kuat, dibantu kebijaksanaan anak sulung Zamarul iaitu Izzat Haiqal, 10 tahun, yang sering menjadi pendamai antara mereka, belum tentu pasangan ini akhirnya dapat disatukan.

Zamarul, 38, dan Diana, 27, selamat diijabkabulkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 16 Mei lalu, jam 10.30 pagi di hadapan kira-kira 100 anggota keluarga terdekat masing-masing.

Mengahwini Zamarul juga bermakna, Diana bergelar ‘ibu segera’ kerana suaminya itu pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini. Hasil perkahwinan berkenaan, Zamarul dikurniakan dua anak lelaki, Izzat yang juga dipanggil Aboy, serta adiknya, Iqmal Haiqal, 7 tahun. Izzat dijaga ibu Zamarul manakala adiknya pula dalam jagaan keluarga bekas isteri.

Kata Diana, sejak tahun pertama mereka berkenalan, pelakon lelaki berkenaan sudah pun memperkenalkan Izzat kepadanya dan sering membawa anak sulungnya itu keluar bersama-sama mereka.

DIANA bersama sebahagian keluarganya sebelum acara akad nikah.

"Wajah Aboy sendiri lebih kurang sama dengan keluarga kami. Jadi, dari situ kasih sayang terhadapnya timbul dengan mudah sekali. Aboy juga seorang kanak-kanak yang tidak banyak kerenah dan berfikiran matang. Dia anak yang suka berdikari, apabila dia dijaga oleh ibu Zamarul.

"Sebenarnya, Aboy yang banyak merapatkan lagi perhubungan kami. Apabila timbul perselisihan faham, dia menjadi tempat saya meluahkan perasaan dan boleh dibawa berbincang. Aboy banyak membantu kami menjadi pasangan yang lebih memahami antara satu sama lain," kata Diana ketika ditemui selepas majlis akad nikah.

Katanya, dia sendiri mempunyai 13 anak saudara. Justeru, sejak dulu dia sudah biasa dengan kerenah serta perangai budak-budak.

"Bagaimanapun, saya belum bertemu dengan anak kedua suami saya. Saya memang teringin sangat hendak bertemu dengannya. Moga-moga, selepas ini bolehlah kami sekeluarga berjumpa dengannya pula," ujar pelakon cantik ini.

PENGANTIN bersama anak sulung Zamarul, Izzat Haiqal.

Diana rapat dengan Aboy

Zamarul sendiri mengaku, isterinya cukup rapat dengan anak sulungnya itu.

"Aboy boleh diibaratkan sebagai rakan baik Diana. Mereka boleh berbincang seperti rakan sebaya, kerana Aboy sendiri agak dewasa cara pemikirannya," kata Zamarul.

Diusik pertanyaan apakah dia tidak teringin mempunyai anak bersama Diana, pelakon berkenaan berkata, sememangnya dia ingin sekali untuk bergelar bapa kepada anak hasil perkongsian hidupnya bersama pelakon itu. Apatah lagi apabila Izzat sendiri sering bertanyakan bilakah lagi dia akan mendapat seorang adik.

"Namun, saya dan Diana tidaklah merancang apabila bercerita mengenai bab ini. Jika cepat rezeki kami mendapat anak, maka cepatlah kami menambah bilangan anggota keluarga. Saya juga tidak kisah berapa ramai cahaya mata yang dianugerahkan Maha Kuasa. Lagi ramai, lagi meriah rasanya," katanya.

Menurut Zamarul lagi, selepas berkahwin, mereka akan meneruskan karier sebagai anak seni di samping meningkatkan perniagaan diceburi.

"Saya tidak menghalang Diana daripada terus aktif sebagai pelakon dan penyanyi. Saya amat memahami, sekali kita bergelar anak seni, amat sukar sekali untuk kita berhenti," katanya yang mengharapkan mahligai baru dibina itu mampu kekal selama-lama dilimpahi rahmat Yang Esa.

Diana turut mengimpikan rumah tangga penuh bahagia bersama suami yang begitu lama dikenalinya.

"Selama lapan tahun bercinta, Zamarul tidak pernah berubah. Sebagaimana dia hari ini, begitulah dirinya sebelum ini. Saya amat berharap dia berupaya menjadi suami yang bertanggungjawab, serta mampu membimbing saya ke arah yang lebih baik," kata pemilik nama sebenar Adiana Abdul Rafar ini.

Sementara itu, Izzat mengaku amat gembira dengan perkahwinan Diana dan bapanya.

"Saya sangat gembira apabila mendapat mama yang baru, kerana dia seorang wanita yang sangat baik. Kami sering keluar bersama-sama, seperti ke kompleks beli-belah dan sebagainya.

"Saya cukup berharap, perkahwinan mereka akan dipenuhi dengan kebahagiaan," kata Izzat yang mengharapkan kehadiran seorang adik perempuan menerusi penyatuan dua pelakon berkenaan.

Info:

  • PASANGAN ini dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam, Khairuddin Haiyon. Zamarul sah bergelar suami kepada Diana dengan hanya sekali lafaz.

  • ZAMARUL mengaku berasa begitu tenang dan cukup lega sebaik saja acara akad nikah selesai dilangsungkan. Diana pula berkata, dek debaran yang teramat sangat, dia berasa seperti hendak pengsan pada hari bersejarahnya itu. Bukan sekadar memikirkan acara akad nikah, malah majlis resepsi yang diadakan pada sebelah malam, di rumah keluarganya, turut meresahkan dirinya.

  • ANGKA 165 amat bererti buat kedua-dua mempelai ini. Mereka dinikahkan pada 16 Mei (16/5) dan angka itu sendiri mewakili Rukun Ehsan, Rukun Iman dan Rukun Islam. Atas alasan itu juga mereka bersetuju menjadikan nilai RM165 sebagai mas kahwin dan RM16,500 sebagai wang hantaran.

  • PADA majlis akad nikah, rombongan pengantin lelaki membawa tujuh dulang hantaran yang dibalas sembilan oleh keluarga pengantin perempuan.

  • BERIKUTAN Diana sudah pun kehilangan bapa tercinta, Abdul Rafar Ahmad, dia diwalikan oleh abangnya, Airu Azmi Rafar, yang kemudian bersetuju agar Diana dikahwinkan oleh Penolong Pendaftar Nikah masjid berkenaan.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: