Monday, May 18, 2009

Misha Omar ceburi perniagaan

BAGI Misha Omar, dia tidak dapat membayangkan kariernya sebagai penyanyi akan berpanjangan sehinggalah ke usia tua. Justeru, penyanyi berasal dari Kelantan ini sedang mempersiapkan dirinya dengan karier baru sebagai persediaan ke arah itu kelak.

Selain menyanyi, Misha atau pemilik nama sebenar Samihah Omar itu kini membabitkan diri dalam perniagaan salun kecantikan.

Menurutnya yang popular dengan lagu terbaru Cinta Adam Dan Hawa, bidang baru itu memberi keyakinan kepadanya.

Apatah lagi kata Misha, pembabitannya dalam bidang tersebut mendapat sokongan dan tunjuk ajar daripada rakan niaganya, Derrick Ho.

"Derrick yang saya kenali sejak tujuh tahun lalu merupakan sahabat baik saya. Dialah orang yang selalu memotong dan mendandan rambut saya.

"Selain itu, dia jugalah yang mewarna dan menjadikan rambut saya lebih stylish. Semua itu 'angkara' Derricklah.

"Saya kini merupakan rakan kongsinya dalam salun Derrick & Team," katanya pada sidang media selepas pelancaran salun itu di pusat membeli-belah The Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Misha diberi penghormatan oleh Derrick bagi merasmikan pembukaan salun tersebut.

Selain wakil-wakil media massa, para peminat bertuah yang hadir juga menerima cakera padat album Misha Omar dengan ditandatangani sendiri oleh beliau.

Salun itu merupakan salun kelima cawangan Derrick And Team dan ia merupakan cawangan pertama yang membabitkan perkongsian perniagaan Misha dan Derrick.

Kata Misha, pembabitannya dalam bidang perniagaan itu merupakan perancangannya untuk masa depan selepas tidak menyanyi kelak.

"Ini memang perancangan untuk masa depan saya. Saya memang sudah lama terfikir, apatah lagi selepas Derrick tawarkan saya sebagai rakan kongsinya, maka saya tidak tolak.

"Selepas tujuh tahun dalam bidang nyanyian, sudah sampailah masanya saya mencuba bidang ini," ujarnya.

Sebagai orang baru dalam bidang perniagaan, Misha sanggup melakukannya daripada bawah supaya dia lebih menyelami bidang tersebut.

Jelas penyanyi bersuara lantang ini, dia misalnya, sanggup menjadi 'shampoo girl' di salun yang terletak di tingkat tiga The Mall itu.

"Saya sedikit sebanyak perlu tahu dan belajar cara-cara cuci rambut pelanggan. Mungkin selepas ini kena cuba jadi 'shampoo girl' pula.

"Cara itu bukan sahaja akan mendekatkan saya dengan bidang ini tetapi juga boleh merapatkan hubungan dengan para peminat saya," katanya.

Bagaimanapun, Misha enggan mendedahkan jumlah peratusan perkongsian perniagaannya dengan pendandan rambut terkemuka itu.

Ini kerana, katanya ia bagi mengelakkan pelbagai spekulasi selain menjaga hati serta kepentingan Derrick & Team yang mempunyai empat lagi cawangan di sekitar Kuala Lumpur.

Misha yang baru memenangi kategori Lagu Terbaik berjudul Nafas Cinta Pada Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) pada 2 Mei lalu yakin perniagaan itu mampu membeli pulangan setimpal.

"Bagi saya, perniagaan ini (salun) amat dekat dengan orang ramai. Ini kerana, dalam sebulan sekali orang akan pergi ke salun untuk potong atau cuci rambut.

"Kalau berjaya, selepas ini saya mahu menceburkan diri dalam perniagaan makanan pula," ceritanya dalam nada optimis.

Sementara itu, sewaktu berbicara tentang bidang nyanyian, Misha tidak menafikan selepas AIM16 lalu dia semakin tertarik untuk berkolaborasi dengan kumpulan-kumpulan indie.

Beliau contohnya, akan bekerjasama dengan penyanyi kumpulan Hujan, Noh dalam albumnya yang akan datang.

"Setakat ini, Noh sudahpun memberi saya sebuah lagu ciptaannya kepada saya. Ia akan dimuatkan dalam album saya akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: