"SAYA tidak mahu tunggu lama-lama. Kalau boleh dalam tempoh dua tahun lagi saya mahu berkahwin.
"Tapi, buat masa ini, antara saya dan Irma masih belum berbincang tentang soal itu.''
Itu penjelasan Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil saat diajukan persoalan tentang masa depan cintanya bersama pelakon bernama Irma Hasmie.
Menurutnya, walaupun mungkin ada kalangan peminat yang tidak menyukai akan hubungannya dengan Irma, itu adalah hak masing-masing untuk menyatakan perasaan mereka.
Sungguhpun begitu, Nabil menjelaskan, dia dan Irma akan tetap berkahwin andai sampai masanya nanti.
Baginya, di sebalik ada yang enggan menerima hubungannya bersama Irma, sesetengah peminat bertindak sebaliknya apabila memberikan sokongan terhadap soal masa depannya itu.
"Ada peminat yang mendoakan kebahagiaan kami. Kalau ada yang tidak suka, itu hak masing-masing,'' jelas Nabil ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah Anugerah Bintang Popular 2008 di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor.
Nama Nabil dan Irma secara tiba-tiba menjadi 'panas' baru-baru ini ekoran tindakan Nabil memeluk Irma di hadapan khalayak tatkala diumumkan sebagai Bintang Paling Popular dalam majlis penganugerahan itu yang berlangsung di Genting Highlands.
Hal tersebut mendapat reaksi negatif pelbagai pihak dengan mengklasifikasikan perbuatan itu sebagai merosakkan nama artis.
Tertekan dan rimas dengan segala kritikan berkenaan, yang jelas untuk Nabil, ia banyak tersimpan seribu satu pengajaran buat dirinya.
"Ini adalah cubaan dan dugaan yang menimpa saya. Saya tidak cakap imej dan diri saya semakin teruk akibat insiden itu tetapi ia sememangnya memberikan tekanan dalam hidup.
"Saya memang tidak membaca apa sahaja laporan negatif mengenai insiden itu di surat khabar. Kawan saya yang membacakan segala laporan itu.
"Kesannya juga cukup besar sehingga saya tidak dapat memberikan fokus sepenuhnya terhadap kerja,'' ujar Nabil tanpa berselindung.
Menurut pelawak yang sentiasa tenang menghadapi apa jua cabaran mendatang ini, segala yang telah berlaku membuatkannya lebih bersikap berhati-hati dalam melakukan apa jua tindakan.
Itu adalah tindakan yang tepat untuk Nabil lakukan kerana sebaik bergelar selebriti, Nabil bukan lagi seperti Nabil sebelum ini.
Apa sahaja gerak geri Nabil di hadapan masyarakat akan diperhati dan dinilai baik buruknya oleh peminat.
Terbuka soal cinta
Lebih suka berterus terang dan tidak mahu menafi atau berselindung soal cinta, Nabil punyai alasan sendiri mengapa dirinya menyenangi akan tindakannya itu.
Mudah untuk bergerak ke sana sini, ia juga membuatkannya dan Irma tidak akan disalah sangka andai menyembunyikan mengenai status hubungan masing-masing.
"Jika saya menafikan mengenai hubungan saya dengan Irma, nanti letihlah hendak menjawab itu ini. Baik saya mengaku sahaja.
"Bila semua orang sudah tahu, ia akan lebih memudahkan hidup saya. Sudah tentu saya lega apabila sudah berterus terang,'' jelas jejaka kelahiran Negeri Sembilan ini lagi.
Ujarnya, peminat juga dapat menerimanya dengan baik andai dirinya terbuka dan tidak berbohong mengenai soal cinta.
Kepada soalan tentang dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan Irma menumpang atau mengambil kesempatan terhadap popularitinya, Nabil berkata : "Saya tidak merasakan perkara itu.
Irma juga ujar Nabil, sudah ada populariti tersendiri selain berada di tahap selesa.
"Dia sudah enam tahun berada dalam industri seni hiburan justeru, saya tidak nampak Irma mengambil kesempatan atau menumpang populariti dengan merapati saya,'' katanya mempertahankan kekasihnya itu.
Perkembangan karier
Nabil merupakan salah seorang bintang muda yang berjaya mencipta nama dengan pantas.
Sebaik menjuarai Raja Lawak musim kedua, dirinya dilihat laku apabila menerima banyak tawaran berlakon dan pengacara program televisyen.
Dalam bidang perfileman, Nabil juga menjadi sasaran penerbit dan pengarah.
Dengan beberapa buah filem lakonannya sudah ditayangkan di pawagam, Nabil teruja untuk menanti lapan lagi filem yang bakal menemui peminat tidak lama lagi.
Filem tersebut adalah Kecoh Betul, Fikirlah Sendiri The Movie, Jin Notti, e-Hantu, Momok The Movie, Pisau Cukur, Magika dan Uncle Hussain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: