Monday, May 18, 2009

Hawa mahu menyanyi semula

PADA awal kehadirannya dalam bidang seni suara, ramai yang menganggap dia sekadar menumpang populariti kakaknya iaitu penyanyi yang tidak asing lagi, Wann.

Biarpun banyak cakap-cakap yang kurang menyenangi kehadirannya, namun Wan Salamiah Meor Abdul Rashid, 30, atau lebih dikenali Hawa, tidak pernah patah semangat.

Sebaliknya, penyanyi berbadan kecil ini terus melangkah dengan teratur tanpa menoleh ke belakang.

Bagi Hawa, sokongan keluarga dan segelintir peminat yang menerima kehadirannya dalam bidang seni, sudah cukup membantu langkahnya.

Bermula dengan album Bisa Semalam yang diterbitkan pada 1995 di bawah syarikat Suara Cipta Sempurna (SCS), Hawa meneruskan kerjaya seninya.

Walaupun nama Hawa tidak segah kakaknya, namun Hawa tetap berusaha dan terus mencari punca mencipta populariti sendiri.

Tanpa diduga dengan album pertama Hawa tidak cukup nafas memenuhi undangan menyanyi untuk majlis makan malam.

"Memang pada mulanya, saya bimbang juga apakah saya akan diterima oleh peminat seni tempatan. Tetapi kalau sudah rezeki, tidak ke mana.

"Bukan itu sahaja, malah apabila mula melangkah dalam bidang seni saya menjadi semakin kuat dan tabah.

"Sebab itu, apa juga tanggapan negatif orang terhadap kehadiran saya, saya tidak pernah ambil peduli.

"Biar ada yang mengatakan saya tumpang populariti kakak saya, Wan, saya tak kecil hati. Bagi saya kita adik beradik dan memang tidak boleh dielakkan, tapi kalau suara tak ada tak jadi juga," cerita Hawa ketika ditemui baru-baru ini.

Hawa, ibu tunggal kepada seorang anak perempuan Fachrunnisa, 10, berkata, walaupun kehadirannya hanya seketika dalam bidang seni suara namun minat dan rindunya pada bidang nyanyian tidak pernah luntur.

"Memang saya terlalu sekejap dalam bidang ini kerana apabila berkahwin pada akhir 1999, saya terus berhenti. Bagaimanapun, kini saya mahu bangun semula dan saya yakin dengan bakat yang ada.

"Mulanya saya memang tidak pernah terfikir untuk menyanyi lagi. Tetapi apabila memikirkan sejak rumah tangga yang dibina runtuh dan anak saya pula kini di bawa jagaan bekas ibu mertua, saya rasa lebih baik masa itu dipenuhi dengan aktiviti seni.

"Jika ada tawaran, Hawa ingin rakamkan lagu pelbagai genre termasuk rock. Hawa yakin mampu membawakan lagu itu dengan baik," kata Hawa.

Penyanyi ini mula aktif dalam gelanggang seni pada usia 12 tahun. Ketika itu. Hawa sering diundang menyanyi di Balai Polis Shah Alam dengan sebuah band yang mengiringi Wann menyanyi.

Bayaran yang diterimanya ketika itu cuma RM50 sahaja.

Walaupun bayaran sebanyak itu, namun bagi Hawa, ia terlalu bermakna kerana bakat dan suaranya dihargai.

Dan ketika usianya 16 tahun dan masih menduduki sekolah menengah, Hawa merakamkan album pertamanya Bisa Semalam.

Bagaimanapun, kata Hawa ketika dia sedang meniti tangga-tangga kejayaan, jodoh memisahkannya dengan dunia seni.

Bagi Hawa, meskipun kahwin ketika usianya masih muda namun dia tidak menyesal kerana perkahwinan itu telah mendewasakannya.

"Walaupun bekas ibu mertua memelihara anak saya, tapi saya amat bersyukur kerana ibu mertua saya terlalu baik bukan sahaja dengan anak saya malah jika saya mahu bertemu Fachrunnisa mereka mengizinkan," ujar Hawa yang muncul dengan album kedua Melodi Kasih pada tahun 2000.

Dia yang kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah sedang mencari peluang merakamkan lagu di samping berlakon untuk menampung kehidupan.

"Selepas bercerai, Hawa memang tak ada undangan menyanyi. Memandangkan keadaan sekarang, Hawa rasa ada eloknya bekerja.

"Kalau tak dapat menyanyi, Hawa mahu berlakon kerana Hawa tidak pernah serik untuk mencuba," katanya lagi.

Hawa yang kini sedang sibuk menjengah beberapa studio rakaman dan pihak penerbit untuk mencari peluang merakamkan album.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: