SAAT menimang cahaya mata memang dinantikan setiap bakal ibu terutama pada tiga bulan terakhir sebelum kelahiran. Persiapan mental, fizikal, emosi dan material hampir 100 peratus lengkap untuk menyambut kedatangan 'orang baru' yang turut menjadi penyeri kepada pasangan suami isteri.
Bagaimanapun kita tidak tahu apa yang tersirat dalam Luh Mahfuz yang menentukan takdir berbanding perkara jelas dan boleh difikirkan menerusi pancaindera.
Ketika menerima berita 'kehilangan' sedang sarat mengandung tujuh bulan, ia bagaikan ditimpa himpunan blok batu yang jatuh dari tingkat atas.
Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar (Dynas) yang amat mengharapkan anak hasil perkahwinan dengan Mohd. Hafizy Mohd. Hafiz, 36, berdepan dengan tekanan setelah pegawai perubatan yang merawatnya mengesahkan kandungannya gagal diselamatkan.
''Emma Malissa tinggal kenangan. Pemeriksaan doktor mendapati degupan jantungnya terhenti. Hanya Allah yang tahu tentang perasaan kami berdua semasa mengkebumikannya di Tanah Perkuburan Islam Mont Kiara pada 10 April lalu," katanya sebagai memulakan bicara semasa dihubungi baru-baru ini.
Pelakon dan model ini juga tidak dapat menggambarkan perasaan sedih dan kecewa yang dialaminya bersama suami pada ketika itu kerana naluri ibu masih bersemadi walaupun sukar untuk menerima kenyataan tersebut.
Semasa melihat anak sendiri dikebumikan, barulah Dynas mulai kembali ke alam nyata dan percaya segala suratan telah ditentukan serta perlu mengembalikan semangat yang ada.
Bagaimanapun, ada perkara yang kurang enak didengar mengenai keguguran kali kedua kerana ada yang mengaitkan kejadian itu dengan tingkah lakunya dalam tempoh mengandung.
Benarkah Dynas terkena sumpahan atau doa yang kurang baik untuk dirinya dari pihak yang berkecil hati kerana kelantangan kata-katanya yang menjadi punca keguguran itu?
"Dynas rasa itu tidak betul. Dynas tahu, orang mengandung tidak boleh maki sesiapa sahaja tanpa sebab kerana ia memberi kesan kepada bayi. Sepanjang penglibatan Dynas sendiri dalam dunia seni, tidak pernah Dynas menyakitkan hati orang.
"Walaupun orang kata yang Dynas suka cakap lepas, tak kanlah Dynas nak maki sesuka hati kerana Dynas tidak akan marah melainkan ada orang yang memulakannya," jelasnya yang kini berpantang hari ke-32.
Tambah pelakon ini, peristiwa yang berlaku pada dirinya itu adalah takdir.
Katanya, tiada halangan buat ibu mengandung untuk berbuat apa sahaja yang mereka sukakan asalkan mendapat nasihat daripada doktor pakar terlebih dahulu kerana setiap individu mempunyai alahan masing-masing.
Dynas turut memberi petua kepada wanita yang mahukan anak dengan menjadikan asid folik sebagai 'makanan tambahan' setiap hari untuk jangka masa tiga bulan tanpa henti agar keadaan badan sebati dengan perubahan hormon mereka.
"Bakal ibu juga dinasihatkan agar tidak mengharapkan kehamilan dalam jangka masa yang cepat dan tidak terlalu memikirkan perkara itu. Apa yang perlu dilakukan adalah doa selalu," kata wanita berusia 26 tahun ini.
Ditanya tentang rancangan Dynas selepas tamat tempoh berpantang yang dijangka pada 22 Mei ini, dia kini sedang mempertimbangkan tawaran drama komedi berbanding cerita hantu.
Kata pelakon drama Susuk ini, watak itu perlu dielakkan buat sementara waktu memandangkan keadaan yang dialami sebelum ini dan memerlukan sedikit masa untuk dipulihkan.
Bercerita tentang butik DnA Celebrity Stail yang diusahakan bersama Awal di Hartamas sejak sembilan bulan lalu, Dynas berkata, ia masih beroperasi seperti biasa.
Buat sementara waktu, semua pembelian pakaian lelaki dan perempuan dari luar negara dilakukan menerusi talian memandangkan keadaan penyakit selesema babi atau virus H1N1 yang sedang hangat diperkatakan boleh menyebabkan jangkitan sekiranya mereka ke luar negara.
Kata Dynas, minat untuk bergelar usahawan berputik sewaktu dia mendapat tajaan baju untuk sesi fotografi daripada Awal yang lebih dahulu menceburi jualan pakaian secara online.
Lagi pun Dynas memang suka berniaga mengikut resam keluarganya yang mempunyai perniagaan sendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: