Di bawah telunjuk JJ Abrams, pencipta siri Lost, filem ini bagai memiliki nafas baru setelah menghiburkan peminatnya sejak lebih empat dekad lalu
Filem: Star Trek
Genre: Fiksyen Sains, Aksi
Pengarah: J J Abrams
Penulis: Roberto Orci, Alex Kurtzman
Pelakon: Chris Pine, Zachary Quinto, John Cho, Ben Cross, Bruce Greenwood, Simon Pegg, Winona Ryder, Zoë Saldana, Karl Urban, Anton Yelchin, Eric Bana, Leonard Nimoy
Tayangan: Mulai 7 Mei.
PENGEMBARAAN paling hebat bermula kembali dengan Star Trek, sebuah filem yang memaparkan penerbangan sulung sepasukan kru muda di atas kapal angkasa teragung pernah disaksikan, U.S.S Enterprise. Dalam pengembaraan yang penuh dengan keyakinan, debaran, kelucuan dan penjelajahan cakerawala, rekrut baru itu perlu mencari jalan menyekat sekumpulan penjahat sebelum seluruh umat manusia pupus akibat dendam.
Kini, takdir galaksi terletak di tangan dua lelaki yang bermusuhan, dilahirkan di dua dunia berbeza. James Tiberius Kirk (Chris Pine) ialah budak ladang dari Iowa yang nakal dan sukakan cabaran serta dianugerahkan sifat kepemimpinan tinggi.
Spock (Zachary Quinto) pula membesar di bintang Vulcan, serta sukar diterima di kalangan kaumnya kerana dia mempunyai ibu dari bangsa manusia. Dia dewasa dalam suasana tidak beremosi sebagaimana ditekankan kaum Vulcan, tetapi pelajar yang pintar dan muncul orang pertama daripada bangsanya yang diterima masuk ke Akademi Starfleet.
Kirk dan Spock nyata amat berbeza. Dalam usaha mencari jati diri serta apakah sumbangan mampu mereka hulurkan kepada dunia, kedua-duanya menjadi dua insan kompetitif dalam latihan. Dengan gaya berbeza masing-masing, seorang dengan keghairahan yang berapi, manakala seorang lagi berpaksikan kepada logik, mereka terus bertelingkah untuk muncul sebagai kru terpilih menyertai kapal angkasa paling maju pernah dicipta.
Kru diketuai Kapten Christopher Pike (Bruce Greenwood). Ia disertai juga Pegawai Perubatan, Leonard "Bones" McCoy (Karl Urban); lelaki yang kemudiannya menjadi Ketua Jurutera, Montgomery ‘Scotty’ Scott (Simon Pegg); Pegawai Komunikasi, Uhura (Zoë Saldana); Jurumudi berpengalaman, Sulu (John Cho); serta remaja pintar, Chekov (Anton Yelchin). Kesemuanya akan melalui ujian pertama cukup getir yang bakal mencabar kesetiaan, kepemimpinan, persahabatan, keberanian dan kelucuan yang sebenarnya menyatukan mereka semua.
Di tengah-tengah semua itu, Kirk dan Spock akan berdepan dengan ketentuan - mereka mesti mengetepikan segala perbezaan, seterusnya mencipta persahabatan kental, bagi membolehkan mereka mengetuai kru berkenaan ke sebuah tempat yang belum pernah diteroka sesiapa.
Di bawah telunjuk JJ Abrams (pencipta siri Lost), Star Trek bagai memiliki nafas baru setelah jenama berkenaan menghiburkan peminatnya sejak lebih empat dekad lalu. Dengan barisan pelakon terkini, serta kemunculan bersejarah pelakon asal, Leonard Nimoy, Star Trek versi 2009 muncul filem yang segar lagi menghiburkan.
Tidak mengikut rentak asal, sebaliknya memilih untuk membawa penonton ke permulaan cerita bagaimana dua sahabat, Kirk dan Spock, ditemukan, serta kisah di sebalik hidup serta keazaman yang dimiliki kedua-duanya, Abrams dengan jaya mencetuskan kembali semarak api Star Trek yang sebenarnya bagai mula padam.
Menekankan cerita pada dua anak muda yang sangat berbeza, akhirnya bersatu demi matlamat suci yang sama - untuk menyelamatkan umat sejagat - serta penggunaan teknologi sinematik terkini, Star Trek pastinya bakal menarik kalangan penggemar baru, di samping memuaskan hati kelompok besar pengikut setia yang lama.
Bukan saja jalan cerita tampak lebih segar, kesan visual hebat yang menggegarkan dada, malah elemen kelakar yang banyak disuntik menerusi pengucapan dialog ringkas, menjadikan filem ini tidak bosan diikuti sehingga tamat cerita.
Filem ini kelihatan lebih muda dan berada pada tahap yang sepatutnya. Apatah lagi apabila diciptakan watak penjahat yang baru, Nero (Eric Bana), bersama kapalnya yang menggerunkan, Narada. Setiap kali kumpulan itu muncul, debaran di dada terasa begitu kencang. Pembikin Star Trek versi baru amat tahu apa yang mampu menarik peminat untuk menonton filem mereka.
Jelas sekali, Abrams berjaya mengecas semula api francais Star Trek dengan imaginasi dan kreativiti miliknya. Sentuhannya terhadap Star Trek lebih kurang sama bisanya dengan Christopher Nolan yang menghidupkan semula kepercayaan peminat terhadap Batman, menerusi filem Batman Begins dan The Dark Knight.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: