Thursday, May 7, 2009

Mana Setangginya masuk IB


JOHARI (kiri) dan Zaifri percaya naskhah hebat seperti Mana Setangginya ada tempat di kalangan peminat seni.


SEPULUH tahun lalu, ketika penulisnya, Sasterawan Negara (SN) Datuk Noordin Hassan masih ada kudrat, naskhah itu dibiarkan sepi. Tidak dijamah, tidak dipedulikan, seakan-akan tiada nilai untuk dipersembahkan kepada umum.

Kekecewaan pernah meribut di jiwa sang penulis agung itu, tetapi kerana tiada yang bergagah untuk karya yang dianggap istimewa itu menjengah ke mana-mana panggung, maka Mana Setangginya sekadar dibukukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, pada tahun 2000.

Rintihan hati Noordin atau lebih disenangi dengan panggilan Cikgu Noordin, yang mahu karya, Mana Setangginya itu direalisasikan di pentas Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bertahun lama, akhirnya menemui jalan penyudah.

Atas inisiatif Ketua Pengarah IB, Mohamed Johari Shaarani, Mana Setangginya dipilih sebagai pengisi tema Naskhah Sasterawan Negara yang bakal dilaksanakan IB sekitar Jun nanti.

Tarikh 13 hingga 21 Jun sudah diputuskan sebagai tarikh bermulanya pementasan Mana Setangginya. Bukan di tangan Noordin ataupun Adnan Hamzah, orang yang pernah bersungguh-sungguh mahu teater itu dipentaskan di IB suatu masa dahulu, tetapi kali ini tanggungjawab menterjemahkan Mana Setangginya diserahkan kepada Zaifri Husin, orang lama dalam teater yang cukup disegani kerana kredibilitinya.

Ditanya kenapa hampir sedekad, barulah karya yang sengaja ditulis khas bersempena pembukaan IB sekitar tahun 1998 itu baru tahun ini dipetik pihak IB, Johari sendiri tiada jawapan kukuh.

"Untuk persoalan itu, saya tidak boleh berikan jawapan tepat maklumlah, saya pun baru sahaja jadi KP di IB, itu kisah dan masalah lama. Bila saya 'jaga' IB, saya fikir tiba masanya untuk kita ketengahkan slot khas untuk naskhah-naskhah agung atau naskhah Sasterawan Negara, lagipun sudah ada yang bersungut kenapa IB hanya berorientasikan karya komersial, muzikal contohnya.

"Jadi, Mana Setangginya adalah naskhah paling tepat sebagai perintis slot berkenaan. Saya rancangkan, sepanjang minggu berkenaan IB sedang menjalankan kempen sastera, ada bacaan puisi dan sebagainya, Jadi saya kahwinkan, Mana Setangginya dengan acara berkenaan. Harap mencapai impak," kata Johari atau lebih mesra berbahasa diri sebagai Abang Joe di kalangan media.

Selepas ini, Johari memberi jaminan tiada lagi kekontangan naskhah SN atau naskhah sastera 'besar' di IB.

"Bukan tidak ada langsung, ada. Cuma akhir-akhir ini sahaja, dua tahun lepas pun IB ada pentaskan Lantai T. Pinkie karya Datuk A. Samad Said tetapi dalam bentuk muzikal. Petunjuk paling jelas adalah Mahsuri.

"Sambutan luar biasa yang diterima menunjukkan masyarakat sudah menerima teater daripada naskhah sastera. Tapi untuk teater ini, sudah-sudahlah muzikal," katanya penuh yakin bahawa Zaifri mampu menterjemahkan Mana Setangginya sebagai teater tulen tanpa mengecewakan Cikgu Noordin, 80, yang sedang uzur akibat sakit tua.

Kesihatan yang tidak menentu juga menyebabkan majlis sidang media pengumuman teater berkenaan di IB, baru-baru ini tidak dapat dihadiri Noordin sedangkan beliaulah orang yang paling gembira ketika menyambut berita daripada Johari tentang pementasan Mana Setangginya.

"Itu juga antara sebab kenapa saya percepatkan tarikh pementasan berkenaan. Ia sebagai penghargaan untuk Cikgu Noordin. ketika hayatnya masih ada," cerita Johari tentang kesihatan SN yang terkenal sebagai sifu di kalangan ramai nama besar di pentas teater.

Tentang pemilihan Zaifri pula, dalam satu temuramah yang disiarkan dalam majalah Pentas terbitan Mac/April tahun 2007, Noordin sendiri pernah memuji Zaifri. Bunyinya begini: "Nampaknya Zaifri ini, bolehlah kita bercakap. Kalau yang lama-lama, ego terlampau kuat, kita tak boleh bercakap langsung, tak boleh cakap!"

Berdasarkan tulisan itu, Noordin seolah-olah telah memberi restu untuk karyanya itu mendapat sentuhan pengarah muda seperti Zaifri yang sebelum ini pernah mengarah karya seperti teater antaranya Gadis Melayu, Bawang Putih Bawang Merah, Taman Baginda, Belalang Kenit, Muzikal Ali Baba dan Gamat. Muzikal Ali Baba pernah diangkat sebagai Persembahan Terbaik di Festival Persembahan Kesenian Kanak-Kanak kelapan di New Delhi, India pada 2007.

"Naskhah Mana Setangginya nampak berat, tapi saya 'dekat' dengan naskhah berkenaan sejak tahun 1998 lagi. Saya berharap kepada sokongan dan kepakaran yang ada di IB akan berikan kekuatan kepada pementasan teater itu nanti.

"Bagi saya, Mana Setangginya sebuah naskhah yang universal, ia berlaku di seantero dunia bukan hanya bertempat di Malaysia sahaja," kata Zaifri, kini menyandang tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengukuhan Seni Budaya di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: