KEHEBATAN konsert minggu ke-8 Akademi Fantasia (AF) memang tidak dapat dinafikan lagi. Tapi konsert tersebut akhirnya 'dicemari' oleh lakonan pihak produksi Astro yang 'dilakonkan' oleh pengetua Akademi Fantasia 7, Tiara Jacquelina (gambar).
Lakonan yang begitu mantap sekali tetapi malangnya tidak begitu menjadi. Segalanya bermula sebaik sahaja dua pelajar dari Sarawak diumumkan tersingkir di akhir konsert.
Tiara dilihat begitu sebak sehingga kelihatan tak tentu arah konon-kononnya terkejut dengan keputusan tersebut sehingga bergegas menemui orang kuat produksi seperti berbincang sesuatu.
Pada awal tanggapan saya Tiara kelihatan seperti membantah keputusan menyingkirkan dua pelajar sekali gus tapi sangkaan saya ternyata meleset apabila dengan sayu dan pilunya Tiara menaiki pentas dan mengumumkan tentang AFMASUK.
Apa ini? Terdahulu Tiara menyatakan di media yang beliau tidak mempunyai apa-apa kuasa langsung dalam pemberian lagu dan tugasan tetapi pada malam tersebut dengan tiba-tiba beliau mempunyai kuasa ajaib untuk mengumumkan AFMASUK.
Persoalannya apakah ini keputusan beliau ataupun pihak produksi? Keputusan ini langsung tidak relevan dengan kesedihan yang beliau pamerkan pada malam itu.
Jelas bahawa AFMASUK memang telah dirancang terlebih awal. Rata-rata menganggap keputusan ini hanya bermotifkan keuntungan kerana pelajar yang telah tersingkir di minggu ke-7 sebenarnya mampu memberi lebih keuntungan SMS kepada Astro.
Kebanyakan chatters yang juga pengundi di Astro (astro@15) menyatakan rasa dipermainkan oleh pihak astro kerana konsep 'jari menjadi juri' telah 'dicabul' dengan konspirasi untuk menyerap pelajar yang telah tersingkir.
Ini kerana taktik ini sudah lama diamalkan astro pada AF1,AF2,AF3 dan AF4. Kini ia berulang dan ternyata permainan 'basi' Astro ini sudah terlalu mudah untuk dikesan oleh pengundi.
Kalau alasan mereka ingin memberi peluang kepada pelajar yang 'berbakat besar' yang tersingkir untuk beraksi semula di final dan berpeluang untuk menang, senang sahaja, hapuskan sistem undian dan gunakan khidmat juri profesional. Kalau mahu menggunakan sistem undian, terima sajalah keputusan yang ditentukan oleh pengundi.
AF juga dilihat semakin mengarut dan tidak berpendirian. Pada pandangan saya, kalau beginilah keadaannya, AF sememangnya tidak relevan lagi dan perlu direhatkan.
Percaturan yang dimainkan pihak Astro kelihatan terlalu klise, basi dan murahan. Harap ambil perhatian!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: