Sunday, May 17, 2009

Ke mana arah artis baru kita?




SEJAK saya terbaca ruangan ini, terpanggil untuk saya mengetengahkan rasa luahan hati saya terhadap hala tuju penghargaan kepada artis-artis kita.

Maksud saya di sini adalah mengapa dunia seni kita pada hari ini masih mengagung-agungkan Datuk Siti Nurhaliza?

Kita sedia maklum bahawa dia adalah merupakan artis/penyanyi No.1 di Malaysia dan sehingga ke hari ini juara-juara yang lahir daripada program realiti tidak mampu menandingi kehebatan vokal dan persembahannya.

Saya tidak mengatakan yang saya ini anti-Siti malah saya sendiri peminat fanatik Datuk Siti dan juga memiliki albumnya yang pertama sehinggalah ke Lentera Timur.

Cuma apa yang saya kesalkan, ke mana arahnya industri kita yang kecil ini dan apakah perkembangan yang dicapai kiranya artis-artis yang lain tidak diberi penghargaan dan anugerah dan bagaimana mereka hendak menonjolkan kehebatan bakat yang ada sekiranya tidak pernah dipandang oleh pihak tertentu, hanya mengharapkan lagu mereka diputar di radio dan jualan album yang semakin dingin ketika ini. Lihatlah anugerah-anugerah seperti ABPBH, AIM dan sebagainya. Siapa yang merangkul anugerah sekiranya nama yang dicalonkan 'diselitkan' nama Datuk Siti Nurhaliza. Semua sudah tahu jawapannya bukan. Siti telah merangkul anugerah AIM sejak 1999 dan sehingga kini tiada juara-juara yang mampu menandinginya.

Jadi di sini saya menyarankan agar pihak tertentu berbuat sesuatu, berilah peluang kepada artis perempuan yang lain khususnya untuk berasa dihargai dan memperbaiki serta sentiasa memberikan yang terbaik sebelum dunia seni kita ini semakin suram dan kemungkinan akan melahirkan artis yang suam-suam kuku sahaja ataupun tinggal yang ala-ala kadar sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: