Thursday, May 21, 2009

Artis-artis popular 'serang' Kuantan!

APA lagi yang sering dilakukan oleh sebilangan besar daripada kita pada hujung minggu selain daripada membawa keluarga melakukan aktiviti riadah. Bahkan, peluang menghabiskan masa berkualiti lazimnya dinantikan pada waktu tersebut.

Bagaimanapun, bagi penduduk-penduduk di Kuantan, Pahang, mereka ditawarkan peluang yang cukup menarik menjelang hujung minggu ini.

Ini kerana bermula esok (22 Mei) sehingga larut malam Ahad (24 Mei), serombongan artis popular akan 'berkampung' di ibu negeri Pahang, Darul Makmur itu.

Kehadiran artis-artis popular seperti Jamal Abdillah, Mila, Stacy, Tomok dan Saleem ini adalah dengan tujuan untuk menjayakan acara Zoom! Malaysia Travel Fair 2009 yang sudah pastinya meriah dengan pelbagai acara hebat dan menarik.

Tidak ketinggalan, artis-artis lain yang akan turut tampil menghiburkan orang Kuantan ialah Along dan Angah (Raja Lawak), Ifa Raziah, Farah (AF), Helmi The Gimmik serta Roslan Shah.

Sudah tentu juga peminat-peminat setia kumpulan Bunkface pastinya tidak akan ketinggalan untuk menemui mereka di lokasi berkenaan.

Kesemua bintang-bintang ternama itu diundang ke sana untuk menjayakan acara Zoom! Malaysia Travel Fair 2009 akan berlangsung pada 22 hingga 25 Mei ini di East Coast Mall, Kuantan, Pahang.

Acara ini diadakan adalah dengan tujuan mempromosikan kepada umum destinasi pelancongan melalui kempen Pelancongan Domestik Zoom! Malaysia dan memudahkan semua lapisan masyarakat untuk membeli pakej pelancongan domestik yang menarik.

"Selain itu, kempen ini juga menawarkan peluang perniagaan kepada pengusaha pelancongan yang akan di negara ini untuk memasarkan pakej pelancongan domestik untuk perkembangan ekonomi dalam sektor pelancongan," jelas Ketua Jawatankuasa Penganjur, Azhari Haron.

Menurut Azhari, beliau percaya penyertaan artis-artis popular ini akan memeriahkan lagi acara yang buat julung kalinya diadakan di negeri Pantai Timur ini.

"Artis-artis yang diundang bukan sahaja akan menyanyi dan menghibur pengunjung, tetapi juga berkongsi pengalaman-pengalaman mereka mengunjungi tempat-tempat menarik di dalam negara sesuai dengan kempen pelancongan domestik yang diadakan oleh pihak kerajaan," katanya.

Travel Fair ini akan bermula pada pukul 10 pagi sehingga 10 malam selama tiga hari berturut-turut.

Artis-artis popular ini akan sentiasa berada di lokasi untuk memeriahkan acara dan bertemu dengan peminat secara langsung.

Majlis perasmian Zoom! Malaysia Travel Fair bakal dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pada 22 Mei, pukul 5 petang.

Aktiviti sampingan lain yang terbuka kepada pengunjung ialah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, sudut juruhebah, kuiz pelancongan dan cabutan bertuah yang menyediakan hadiah cukup menarik.

Pastinya hujung minggu anda menjadi lebih menarik dengan mengunjungi Zoom! Malaysia Travel Fair 2009 bermula esok.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: