Sunday, May 3, 2009

Jarum Emas: Nabil ‘tergelincir’ lidah


MULANYA terkejut lalu terpeluk, lusa terjatuh, selang seminggu ketika di Lumut, Nabil tergelincir pula lidahnya.

Barangkali bagi Nabil, apa dicakapkan itu biasa untuk bergurau senda, tetapi bagi yang menjunjung adat, adalah sesuatu yang luar biasa dan jelik apabila Nabil selaku pengacara Konsert Ulangtahun Ketiga TV9, meminta tanah daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Memang tidak pernah dibuat pengacara atau pelawak sebelum ini, tetapi Nabil secara terang-terangan di depan jutaan penonton, sama ada di televisyen dan di tapak Jom Heboh di perkarangan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), dengan selamba minta tanah daripada Tuanku walau sekangkang kera untuk bercucuk tanam.

Kebetulan saya menonton konsert itu di tapak berkenaan, duduk selang tiga baris di belakang Tuanku selaku Kapten Yang Dipertua TLDM.

Bagaimana reaksi Tuanku, saya tidak nampak secara berdepan, cuma sebaik konsert berakhir timbul desas desus yang menilai Nabil agak kalut menjadi pengacara. Tidak sewajarnya Nabil bergurau senda dengan Tuanku dengan cara bergitu.

Melihat cara lawak Nabil bersama ‘otai’ Mr Os dan Shamsul Ghau Ghau, boleh kita nilai sendiri siapa mengena siapa. Nabil cuba mengajuk Os dengan gigi ‘rezekinya’, tetapi kita lihat bagaimana Os ‘smash’ Nabil dengan loghat Perak, “iyale, mike tu popular, terpeluk orang, terbaring.”

Mendengar kata-kata Os, Nabil seperti terbaring di pentas sambil menutup telinganya: “Jangan cakap bang, tajam, tajam.” Saya faham maksud Nabil, tajam itu dituju pada gigi rezeki Mr Os.

Andai Os membaca kolum ini, dia boleh tambah lagi satu perkataan untuk mengajuk Nabil selepas ini iaitu ‘tergelincir’.

Usahkan Nabil, kalangan artis muda yang beraksi di depan Tuanku pada malam itu rata-rata tergelincir lidah mereka, sebab saya tidak nampak ada di antara mereka mengangkat sembah.

Kumpulan indie Hujan lagilah haru biru dibuatnya mengucapkan selamat pada VVIP semua. Adakah mereka tidak tahu siapa tetamu istimewa mereka pada malam itu? Adakah salah mereka atau salah pihak TV9 yang tidak memaklumkan kehadiran Tuanku pada kalangan artis?



Lebih mengecewakan, tiada satu ucapan daripada artis sempena Sambutan Jubli Intan TLDM Ke-75. Andai ada, pasti tersenyum bangga Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar selaku tuan rumah.



Kita maklum TV9 dalam proses ‘meremajakan’ stesen mereka, justeru daripada tagline Dekat Di Hati kini bertukar Di Hati. Namun berhati-hatilah, dek gara-gara pengacara muda atau artis yang bercakap ala serbu tembok membiarkan lidah mereka tergelincir sana sini, kelak ramai yang sakit hati.

Sememangnya saya kesal tidak nampak artis muda mengangkat sembah. Kalaupun kekok mengangkat sembah, memadailah berbahasa elok sikit umpama berpatik, bertuanku, bukan ‘saya’ di depan raja.

Sebagai orang Melayu, saya malu sendiri, apatah lagi terkenang saat menonton filem seram di Siam Peragon Cineplex bersama Pengarah Pemasaran Sun Master (Bangkok) yang juga Ahli Jawatankuasa Persekutuan Filem Kebangsaan Thailand, Michael Rafiq di Bangkok pada 2007.

Sebelum filem Train Of The Dead (Ghost Train) bermula, visual Raja Bhumibol Adullyadej dipaparkan dengan lagu kebangsaan mereka, lalu semua penonton berdiri. Melihat saya seperti tercengang-cengang, Rafiq mencuit minta saya berdiri sama tanda memberi penghormatan kepada Raja Siam yang dikasihi rakyatnya.

Saya toleh kiri kanan, tiada pun raja mereka di dalam pawagam itu dan rata-rata penontonnya anak muda Thailand. Walaupun ranggi, adat tetap dijunjung.

Kita sendiri maklum bagaimana pembesar negara Gajah Putih itu bila menghadap raja mereka, sampai mengesot, tidak seperti kita cuma mengangkat sembah sebagai taat setia kepada raja dan negara.

Itu yang dicatat dalam Rukun Negara, malangnya kian tergelincir di minda generasi muda kita dan lebih mengecewakan jika ia tidak disemai oleh artis selaku cermin pada masyarakat.

Lalu benarlah apa disuarakan penyanyi Ismail Haron pada 1972 melalui lagu Ilham Pujangga, betapa anak muda matinya bukan kerana kakinya, tetapi kerana tergelincir lidahnya.

“Ia anak muda tidak kerana tergelincir kakinya, tetapi matinya anak muda itu kerana tergelincir lidahnya, berdiam dirilah kamu daripada perkara yang bukan-bukan, bersuaralah kamu kepada perkara yang memberi kebaikan.”

Natijahnya, untuk artis generasi baru yang sewaktu dengan Nabil, lu fikirlah sendiri.

2 comments:

  1. Lupe diri da...
    Mlt cm longkang r 2... kihkihkih..
    xde sifat hormat lgsg.. xpe2 xlame r 2...

    ReplyDelete
  2. belasah jerlah.....yg penting..hepi..hepi..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: