|
| HAMPIR 35 tahun bertahan, banyak nama besar dilahirkan. Mengenali lagenda Allahyarham Sudirman Arshad, Jamal Abdillah, Datuk Siti Nurhaliza, Ramlah Ram, Rohana Jalil dan Noraniza Idris, semuanya dilahirkan menerusi satu program pencarian bakat terawal — Bintang RTM. |
Meskipun popularitinya kini mungkin ditenggelami program pencarian bakat lain yang lebih dikenali realiti TV, sukar dinafikan betapa Bintang RTM tetap punya kekuatan tersendiri.
Paling ketara, kualiti penyanyi yang dilahirkan menerusi Bintang RTM dianggap lebih tinggi dan mereka juga mampu bertahan lama dalam dunia seni tanah air.
Hakikatnya bukan mudah mahu mencipta nama, tetapi untuk mengekalkannya nyata lebih payah. Kali pertama dianjurkan ialah pada 1959 oleh Radio Malaya, namun ketika itu Bintang RTM dikenali sebagai Bintang Radio.
Pengarah Penerbitan TV RTM, Rokiah Norma Ramli, berkata antara faktor yang menjadikan penyanyi kelahiran Bintang RTM lebih istimewa berbanding program lain ialah konsepnya yang mengutamakan kualiti dan bukan populariti.
Rokiah berkata, Bintang RTM berbangga kerana memiliki format tersendiri dan tidak membeli lesen daripada stesen TV luar seperti kebanyakan program realiti lain.
“Sejak mula bersiaran menerusi Bintang Radio, kami hadir dengan konsep dan format tersendiri. Program realiti ini menjadi yang pertama diadakan pada tahun itu. Malah, kami tidak pernah mengikat mana-mana peserta menerusi kontrak dan sebagainya.
“Tugas kami ialah mencungkil dan melahirkan bakat baru. Selepas itu terpulang kepada mereka untuk membawa hala tuju masing-masing. Mungkin kerana perkara itu, peserta dilahirkan menerusi program ini mampu mengecapi kejayaan untuk jangkamasa panjang.
“Meskipun kebanyakan peserta tidak mengecapi populariti ketika di dalam pertandingan, rezeki mereka murah dan berjaya membina nama dalam dunia seni,” katanya.
Tambah Rokiah, jika kebanyakan program realiti TV pada hari ini bersandarkan populariti apabila penentuan pemenang berdasarkan undian penonton, Bintang RTM pula lebih mengutamakan kualiti.
“Sebab itu pemilihan juara dari semasa ke semasa diadili 100 peratus oleh juri berpengalaman. Kami mahukan peserta yang benar-benar layak menyertai program ini dan bila bergelar juara, mereka ada kekuatan untuk terus berkarya.
“Contohnya seperti Sudirman dan Datuk Siti Nurhaliza. Pada permulaannya mereka hanya orang biasa, malah ketika menyertai pertandingan ini mereka juga kurang dikenali. Begitupun, berkat ilmu dan bakat yang ada berjaya dikembangkan dengan baik, mereka akhirnya menjadi anak seni disegani.
“Jika mahu bersandarkan populariti semata-mata, artis yang lahir akan menjadi ‘tidak cukup masak’. Malah, populariti itu akan hilang jika mereka tidak terbabit lagi dengan program realiti berkenaan. Sebab itu Bintang RTM meletakkan populariti di tempat kedua dan kami lebih fokus kepada kualiti,” katanya.
Tidak disangkal, meskipun Bintang RTM tidak sepopular Akademi Fantasia, produk dikeluarkan lebih bermutu dan berbakat besar. Lihat saja Siti, Azharina, Farawahida dan Misha Omar. Masing-masing berjaya mencipta nama dan menyinari pentas nyanyian.
Begitupun, tidak semua peserta program ini mampu membina nama dalam dunia seni kita. Malah, menjadi lumrah rezeki manusia juga berbeza-beza.
Menurut Rokiah, Bintang RTM hanya melahirkan bakat baru tetapi program ini tidak menyediakan pengurusan kepada bekas pesertanya. Mungkin sebab itu hanya segelintir berjaya meluaskan legasi seni mereka.
“Setiap tahun kami melahirkan ramai bakat baru. Begitupun, selepas meninggalkan medan ini mereka perlu bergerak sendirian.
“Kerana persaingan hebat dan tidak dapat memberi komitmen dalam bidang ini membuatkan mereka tenggelam. Namun jika melihat bakat diperoleh, mereka boleh diibaratkan sebagai sebutir mutiara yang mampu bersinar terang,” katanya.
Mengulas mengenai Bintang RTM 2009 yang memasuki minggu kelima, siapa sangka berdasarkan format baru yang ditampil, ia berjaya mencapai purata jumlah penonton yang tinggi.
“Alhamdulillah, musim ini kami menerima hampir 750,000 penonton setiap minggu. Malah, jumlah itu sentiasa meningkat. Mungkin kerana format asal yang diubah sedikit sejak tahun lalu dan promosi yang baik membantu perkembangan program ini.
“Untuk musim ini Bintang RTM turut menerima undian SMS daripada penonton. Namun, jangan salah sangka kerana undian mereka tidak mempengaruhi siapa juara program ini.
“Sebaliknya, undian itu bertujuan memberi peluang kedua kepada peserta yang tersingkir untuk meneruskan perjuangan. Kami juga memberi peluang kepada penonton memilih siapa peserta paling popular dalam pertandingan ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: