Sunday, May 17, 2009

Irwansyah bukan lagi pencinta wanita




DIA datang sendirian kali ini ke kota Kuala Lumpur. Atas tugasan mahu mempromosikan album solo perdananya yang mengandungi pelbagai penyampaian.

Lihat sahaja tajuk yang dipilih oleh Melly Goeslow mewakili album dan jiwa Irwansyah. Soliter yang bermaksud sendiri seperti kena benar dengan kisah hidup Irwansyah kini.

Awalnya dia bercerita tentang albumnya yang mengangkat dirinya sebagai penyanyi. Album yang diserahkan kepada Melly Goeslow dan Anto Hoed untuk hala tuju dan Irwansyah memberikan sedikit sebanyak kata untuk mencerminkan dirinya sebagai penyanyi yang terarah kepada pengaruh pop British.

Mendapat sentuhan para komposer yang terkenal seperti Dewiq, Tohpati, Pay, Opick dan Dodhy Kangen Band, ada yang merasakan album ini berdaulatkan rasa sedih si jejaka.

Namun, kata Irwansyah, album ini sedang dihasilkan sebelum dia berpisah secara baik dengan pelakon Indonesia, Acha Septriasa.

“Saya mahu dilihat sebagai penyanyi yang mempunyai pengaruh band. Paling sukar ialah membawakan lagu Ku Tunggu Jandamu. Lagunya riang tetapi liriknya bertemakan cinta sejati.

“Melly memberikan lagu itu kepada saya sehari sebelum masuk rakaman. Tetapi saya bawakan dengan baik. Lagu Wajahmu pula benar-benar mencerminkan diri saya. Realitinya saya memang ditinggalkan kekasih.”

Walau diminta bercerita tentang album, akhirnya perbualan akan menjuruskan ke arah kisah peribadinya. Bagaimana hati yang rawan itu ditinggalkan kekasih dan kini hidup sendiri.

Saya bertanyakan Irwansyah, sampai bila dia akan bercerita dan dikaitkan dengan mantan kekasihnya, Acha.

Jawab lelaki berusia 24 tahun ini mudah sambil tersenyum: “Saya akan terus dikaitkan dengan Acha.”

Masakan tidak, awal pembabitan dan kebangkitan nama mereka dilalui bersama sejak muncul sebagai kekasih dalam filem Heart dan berlanjutan kepada Love Is Cinta.

Dahulu, katanya, semua perkara akan dibincangkan bersama Acha. Dia akui Acha lebih pintar daripada dirinya dalam soal menghadapi masalah.

Namun kini setelah hidup solo, dia banyak membuat keputusan sendiri selain bantuan pihak pengurusan dan label rakamannya.

“Dulu saya hadapi saat-saat sukar dan sering teringat-ingatkan bekas kekasih. Tapi kini saya lebih bersahaja. Terima sahaja kenyataan bahawa saya solo dan akan jadi lebih kuat.”

Setelah album Soliter menaikkan namanya, Irwansyah mahu meneruskan kerjaya itu dengan album seterusnya. Syukur, katanya, nada dering dan muat turun terjual sebanyak 500,000 unit untuk lagu Ku Tunggu Jandamu dan sejuta unit untuk lagu Camelia, single keduanya dalam album Soliter.

Akan muncul dengan album bungkus semula, dia akan memasukkan lagu bonus yang turut dijadikan single ketiga. Menurut Irwansyah album seterusnya akan mempunyai suntikan band dan akan dilancarkan akhir tahun nanti.

“Dulu saya dilihat sebagai pencinta wanita. Sekarang mahu dilihat lebih dewasa, santai dan deras sedikit.”

Ditanya bilakah waktu paling sukar baginya setelah hidup solo, dia tergelak kuat. Jawabnya: “Saya jenis yang suka tonton wayang. Kalau dulu ada teman tapi sekarang tonton sendiri. Itu waktu paling sukar.

“Juga jika jalan-jalan bersama teman atau adik saya ke pusat beli-belah. Mereka bersama pasangan dan saya sendiri. Sukar betul.”

Kini setelah ‘soliter’, hidupnya dipenuhi dengan jadual penggambaran filem dan drama.

“Dalam lima tahun lagi saya mahu menjadikan diri saya seorang produser. Dan juga berkahwin,” azamnya mengakhiri perbualan petang tersebut di Hotel Istana, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: