Wednesday, May 20, 2009

Bela nasib model


Nasha bersama Aaron dan Fouziah Gous.

Nasha Aziz tidak mahu jadi mangsa agensi cekik darah

SEBELUM menjejakkan kaki ke dalam industri lakonan, popularitinya lebih menyerlah di pentas peragaan. Siapa yang tidak kenal figura jelita dan tinggi lampai bernama Nasha Aziz ini. Wajah penuh karakternya itu sering menghiasi halaman fesyen di majalah. Malah tidak keterlaluan andai dikatakan dia adalah antara model kesayangan kebanyakan pereka fesyen terkenal di negara ini.

Khidmatnya sering digunakan untuk menggayakan rekaan terbaru dan lebih penting, apa saja yang menyaluti tubuhnya akan kelihatan hebat dan sekali gus mengundang orang ramai untuk memilikinya. Itulah kuasa yang ada pada Nasha membuatkan namanya terus gemilang sebagai model terkenal tanah air.

Namun selepas aktif dalam bidang lakonan, sedikit demi sedikit kelibat Nasha di pentas peragaan agak berkurangan. Kalau ada pun jumlahnya tidak banyak. Pun begitu, bukanlah bermakna Nasha meninggalkan terus bidang yang pernah menaikkan namanya suatu ketika dulu cuma dia kini lebih bersikap selektif kerana tidak mahu peragawati berpengalaman sepertinya menjadi mangsa agensi yang cekik darah serta mengaut keuntungan dengan mudah.

“Memang saya kecewa dengan apa yang berlaku dalam dunia peragaan ketika ini. Bayangkan ada sesetengah model yang berpengalaman dan mampu menjual sesebuah produk tetapi bayaran yang diterima amat menyedihkan. Saya sendiri yang bertanyakan perkara ini kepada model terbabit dan dia mengakui bayaran yang diterimanya adalah sebanyak RM600.

“Sebab itulah saya lebih suka memperagakan pakaian pengantin milik pereka berbangsa Cina kerana mereka lebih menghargai usaha dan titik peluh kita,” luah Nasha jujur.

Nasha menerima kejutan sambutan hari lahir dari krew dan pelakon Kasih Tercipta.

Katanya kebanyakan agensi ketika ini lebih senang mengambil peragawati luar kerana bayarannya agak murah. Sikap sedemikianlah membuatkan ramai model tempatan seperti terpinggir di bumi sendiri.

“Kita memang ramai model yang boleh dikatakan setaraf dengan model luar negara. Tetapi dek kerana agensi cekik darah seperti ini, model kita sukar untuk bersaing dengan model luar yang datang ke Malaysia. Mereka ini kebanyakannya adalah pelajar dan membuat kerja peragaan secara sambilan.

“Kebanyakan model luar ini mengenakan bayaran murah berbanding model tempatan dan mereka ini juga sanggup bekerja di luar kawasan tetapi masih mengenakan harga yang murah. Apabila keadaan seperti ini terus berlaku, bagaimana model seperti kami ini ingin survive? Macam saya, saya memang meletakkan harga yang bersesuaian dengan hasil yang akan saya berikan.

“Untuk sesi peragaan, saya kenakan caj sebanyak RM2,000. Kalau mahu menggunakan khidmat saya, itulah harganya,” jelas Nasha yang kesal apabila terpaksa berdepan dengan situasi yang tiada jalan penyelesaian ini.

Bukan niat untuk menjadi wira apabila membangkitkan isu ini tetapi Nasha berharap perkara ini mendapat perhatian mana-mana pihak kerana selagi keadaan ini berlanjutan, selagi itulah model tempatan akan tetap berada di takuk lama.

“Saya simpati dengan nasib model tempatan yang terus dianaktirikan agensi seperti ini. Sudahlah mendapat bayaran sikit, kemudian perlu membayar komisen kepada mereka. Jadi selepas ditolak sana sini, berapalah sangat bayaran yang diterima. Tapi itulah, tak tahu nak buat macam mana sebab kami ini tak ada persatuan, jadi kepada siapa harus kami mengadu?,” tutur Nasha dalam nada kecewa.

Terima cincin tanda

TANYALAH apa saja kepada wanita ini terutama soal membabitkan kerjaya, pasti dia akan berbicara dengan segala senang hati. Namun apabila sesi temu bual menjurus ke arah soal peribadi, seboleh mungkin Nasha akan cuba mengelak. Bagi Nasha, perkara peribadi terutama membabitkan soal hati dan perasaan, adalah sesuatu yang amat berharga buatnya.

Dan kalau boleh biarlah perkara itu tidak dikongsi sesiapa dan menjadi rahsia yang abadi. Namun sebagai public figure, Nasha akhirnya akur bahawa dalam usianya yang baru saja mencecah angka 39 pada tanggal 14 Mei lalu, pasti ramai yang tertanya-tanya bilakah dia akan mengakhiri zaman gadisnya.

Malah ramai juga yang sedia maklum bahawa hatinya kini sudah dimiliki seorang lelaki yang juga saudara baru bernama Nur Iman Tang. Sebelum inipun, Nasha begitu terbuka membicarakan mengenai lelaki itu kepada media. Bukan itu saja, Nasha juga sering kelihatan berjalan berduaan bersama lelaki itu di khalayak.

Justeru tentu ramai yang ingin tahu apakah pengakhiran hubungan merpati dua sejoli ini? Apakah pelamin menjadi persinggahan Nasha dan Iman selepas ini?

“Apa kata awak semua tanyakan pada dia mengenai hal ini. Tak manislah kalau saya yang bercakap mengenainya,” ujar Nasha dalam aksi manja.

Akur dengan kehendak wartawan yang mendambakan penghujung kisah cinta mereka, Nasha dalam malu-malu berkata dia ada menerima bingkisan istimewa dari pemuda itu.

“Pada bulan Mac lalu iaitu pada hari kelahirannya, saya ada menerima cincin darinya. Memang saya terkejut dengan tindakannya itu tapi saya tak adalah memikir cincin itu sebagai ikatan rasmi antara kami. Saya anggap itu cincin tanda saja. Saya ada juga berkata padanya, kalau hendak bagi cincin, biarlah di depan emak saya,” ujar Nasha tanpa berselindung.

Nasha ditemui pada majlis pelancaran drama Kasih Tercipta arahan Rashid Sibir yang berlangsung di Bandar Sri Damansara, petang Jumaat lalu. Dalam drama itu, Nasha memegang watak sebagai Tona, seorang jurugambar yang berperwatakan kasar, keras kepala tetapi lembut di hati.

Nasha juga akan digandingkan dengan pelakon hebat lain antaranya Aaron Aziz, Aida Radziwill, Ahmad Tarmimi Siregar, Aleeza Kassim, Fouziah Gous, Syed Ali dan Dee.

Pada majlis itu Nasha turut menerima kejutan sambutan ulang tahun dari pelakon drama terbabit serta kru produksi Opera Klasik Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: