|
 |
| SEKALIPUN debar menyambut kehadiran menantu pertama pada 11 Julai ini, tukang masak terkenal, Redzuawan Ismail (Chef Wan), 51, masih sibuk mempromosikan masakan tempatan di seluruh dunia. |
Bagaimanapun persiapan majlis pernikahan anak bongsunya, Serina, 25, berjalan lancar dan dia sudah pun memilih beberapa menu istimewa untuk hidangan tetamu pada hari berbahagia itu nanti. Santapan istana akan dihidangkan untuk bakal menantu dan tetamu yang hadir.
Menurut Chef Wan, majlis pernikahan akan dilangsungkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur, jam 10 pagi. Selesai diijab kabul itu, diadakan pula majlis persandingan dan kenduri bagi menjamu 200 tetamu yang terdiri daripada adik-beradik dan saudara mara kedua-dua pihak.
"Majlis kenduri dan persandingan sebenar akan diadakan 1 Januari depan kerana ketika itu adik-beradik Salahudin atau nama asalnya Gavin (bakal menantu) yang menetap di London bercuti.
" Mereka akan menyambut tahun baru dan Krismas di sini serta terus meraikan perkahwinan mempelai.
"Ramai kenalan saya dari luar negara akan menghadiri majlis perkahwinan Serina. Majlis perkahwinan akan dibuat dalam suasana sederhana kerana majlis kenduri kendara adalah acara berkumpul adik-beradik, saudara mara dan kawan untuk berkongsi kegembiraan bukannya menunjuk-nunjuk.
"Ramai ingin menaja tetapi saya tak mahu kerana masih mampu menyediakan segalanya. Kepada yang ingin menaja lebih baik bajet yang ada disedekahkan kepada anak yatim dan mereka yang tidak berkemampuan.
"Saya sudah berbincang dengan Serina dan Salahudin, mereka setuju cadangan saya.
"Biarpun sederhana biarlah majlis perkahwinan itu menjadi sesuatu yang indah dalam hidup Serina dan semoga jodohnya berkekalan sehingga ke akhir usia. Serina impikan perkahwinan dalam taman dan buat masa ini lokasi belum ditetapkan lagi," katanya.
Chef Wan yang terus aktif dengan kerja memasak, baru balik menjalani penggambaran masakan dengan Ayamas di Itali. Program itu akan disiarkan di TV3 penghujung Jun ini. Julung kali juga Chef Wan bekerja dengan kru produksi dari New York yang sangat profesional.
"Sebelum itu saya sempat menyiapkan program masakan di Maghribi untuk siaran RTM (Radio Televisyen Malaysia) Mei ini. Khusus untuk program masakan untuk Ramadan dan Syawal ini saya akan berganding bahu dengan chef muda yang juga anak saya, Chef Nazri.
"Saya juga menandatangani kontrak dengan BBC2 London untuk menjayakan program masakan dengan stesen televisyen terkenal itu. Gembira dan bangga kerana saya satu-satunya chef dari Asia ditawarkan bekerjasama dengan mereka. Tawaran ini sangat menarik dan menjadi idaman chef terkemuka dari seluruh negara untuk menjayakan program masakan terbitan BBC2.
"Dapatlah saya duduk sebaris dengan chef terkenal saluran televisyen itu antaranya, Nigella, Gordon Ramsy dan Jimmy Oliver.
"Bagaimanapun saya pernah berjumpa dengan mereka semua ketika pergi ke pesta buku di London. Mereka baik dan peramah belaka. Paling seronok apabila penulis ruang resipi majalah terkenal di London memuji saya mudah didekati, merendah diri dan berada dalam kelas tersendiri.
"Program masakan yang akan saya hoskan itu diterbitkan 13 episod dan akan disiarkan pada waktu perdana jam 7 malam setiap Jumaat. Program masakan yang belum diberi nama itu akan dibuat di luar studio. Pihak produksi merancang membawa saya mengembara menaiki karavan ke seluruh Great Britain dan singgah di pasar tani dan memasak di situ. Ia sangat santai.
"Berikutan ekonomi dunia yang tidak begitu baik sekarang, pihak produksi mahu saya menunjuk cara menyediakan pelbagai masakan dari negara Asean yang bajet kurang RM50.
Mengikut kajian, lima hari dalam seminggu masyarakat di sana pergi ke restoran makanan Melayu, Cina, Thailand dan India. Mereka sangat menggemari masakan orang Asean.
"Bagaimanapun menikmati hidangan di luar bersama keluarga agak mahal dan tidak begitu praktikal dalam keadaan ekonomi merudum. Masakan dari negara Asean bukan saja lazat tetapi jimat, baik untuk kesihatan dan bahan masakannya murah.
"Saya akan ke London Julai ini kerana program itu akan disiarkan September ini," katanya.
Selain itu Chef Wan juga akan ke Turki untuk rakaman Ole Ole Chef Wan khusus untuk siaran TV9 pada Ramadan ini. Dia akan menunjukkan cara penyediaan menu yang biasa dihidangkan masyarakat negara itu pada bulan puasa.
Mula menceburi dunia masakan secara profesional pada usia 24 tahun Chef Wan gembira dengan kejayaan dikecapinya sekarang. Menerusi hasil titik peluhnya itu dia dapat membantu dan memberi kesenangan kepada seluruh keluarganya terutama adik-beradik, bekas isteri dan anak.
"Puas dapat membantu orang lain. Allah swt memberi saya rezeki melimpah ruah dan ia perlu dikongsi bersama. Rezeki yang saya dapat umpama payung untuk adik-beradik saya berteduh. Yang mana bercerai dengan suami termasuk bekas isteri saya, semuanya di bawah tanggungjawab saya.
"Baru-baru ini saya hantar anak saudara melanjutkan pelajaran ke luar negara, menghantar dua orang yang tidak berkemampuan dan emak angkat menunaikan haji. Saya turut berkongsi rezeki dengan anak yatim. Allah swt juga melimpahkan rahmat kepada saya, ke mana pergi orang kenal tanpa mengira bangsa.
"Melihatkan kejayaan saya hari ini, saya nasihatkan chef baru jangan lupa asal usul dan bermegah apabila mahir masak masakan Barat sedangkan mat salih suka dengan makanan kita.
"Terdapat terlalu banyak pilihan resipi tempatan untuk diketengahkan kepada masyarakat luar. Jika mereka tak suka makanan berlemak atau berkari, kita boleh sedia hidangan dengan cara membakar, memanggang dan merebus.
"Yang penting rajin, mahu berusaha, jangan berlagak diva dan kuasai kemahiran berkomunikasi. Saya berjaya cipta nama di luar negara kerana mempopularkan masakan tradisional di sana.
"Orang muda sekarang malu hendak mengetengahkan budaya sendiri. Saya sama seperti orang lain, tiada formula istimewa untuk berjaya. Ketika tunjuk cara masakan di luar negara saya pernah buat jemput pisang, cucur udang dan ayam percik. Mat salih teruja dan minta resipi.
"Dalam beberapa tahun ini saya banyak mendapat anugerah dalam bidang masakan dari dalam dan luar negara. Oktober lepas saya dapat pingat Raja Majapahit, Ahli Mangku Nogora Pakubono.
"Beliau menganugerahi saya pingat AMP kelas pertama dengan gelaran Tuan Yang Terhormat. Syukur dengan rezeki pemberian Allah swt," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: