SEJAK dilancarkan pada 1 Januari 1997, Hitz.fm berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai stesen radio Inggeris nombor satu negara. Malah, rekod yang dicipta selama sedekad itu jelas membuktikan stesen radio berkenaan masih lagi unggul dan diminati ramai meskipun ada penyampai radionya silih berganti.
Menyajikan ritma dan lagu-lagu yang terkini, segar dan menepati cita rasa muzik muda-mudi hari ini menjadikan stesen radio naungan Astro itu diterima dengan baik oleh pendengar setia mereka.
Malah, Hitz.fm tidak pernah putus idea kreatif untuk terus memastikan stesen mereka terus mendapat tempat di hati pendengar mereka meskipun terpaksa bersaing dengan stesen radio baru.
Tidak cukup dengan itu, pengisian dan kandungan yang serupa dilangsungkan pula menerusi saluran Hitz.TV (saluran 705, Astro) yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2003.
Percaturan Astro memperkenalkan saluran berkenaan mendapat respons yang positif daripada peminat Hitz.fm sendiri yang sentiasa mencari ruang untuk menghiburkan diri mereka.
Demi memastikan pendengar dan penonton setia mereka tidak akan berasa bosan dengan apa yang dihidangkan kepada mereka, Astro telah pun merangka beberapa strategi untuk memperkasakan label Hitz itu sendiri.
Antaranya adalah penyelarasan isi kandungan radio dan televisyen agar kedua-dua medium ini mampu dinikmati sebaiknya oleh pendengar dan penonton.
Selain itu, bermula 1 April lalu saluran Hitz.TV juga mula dikenali dengan nama Astro Hitz seiring dengan perubahan yang dilakukan oleh Astro.
Perkara ini sendiri dijelaskan oleh Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah yang memberitahu perubahan yang dilakukan adalah daripada hasil keputusan penyelidikan yang dilakukan oleh pihaknya.
"Tidak dinafikan hiburan merupakan elemen penting dalam kehidupan kita terutama bagi remaja. Apa yang kami persembahkan menerusi Hitz.fm dan Astro Hitz telah memberikan mereka peluang untuk menikmati hiburan terkini dan segar.
"Bukan itu sahaja, kami juga membuka peluang kepada bakat-bakat baru tempatan untuk diperkenalkan kepada masyarakat yang mungkin tidak pernah mengenali mereka secara dekat melainkan lagu-lagu dendangan mereka.
"Kesimpulannya, dengan penggabungan kandungan Hitz.fm dan Astro Hitz mampu memberikan pulangan dan keuntungan kepada semua pihak. Ini juga salah satu cara kami untuk terus menyemarakkan industri hiburan tanah air," katanya dalam satu pertemuan di ibu pejabat Astro, Bukit Jalil, baru-baru ini yang turut disertai Pengurus Saluran Astro Hitz, Mackenna Singh.
Tambahnya, walaupun isi kandungan kedua-kedua kandungan itu hampir sama tetapi pendekatannya adalah berbeza.
Perubahan yang Astro lakukan adalah untuk pendengar Hitz.fm menikmati apa yang mereka dengar di radio menerusi kaca televisyen selain daripada kedua-dua medium itu melengkapi sesama sendiri.
Setidak-tidaknya kata Zainir, ia mampu menambahkan lagi penonton Astro Hitz di samping mengumpul penonton baru.
"Kita tidak dapat menafikan kuasa muzik kerana ada kalanya apa yang kita dengar di radio tidak sama apa yang dipertontonkan di televisyen.
"Begitu juga sebaliknya. Kini, ia menjadi tugas kami untuk membantu bakat tempatan mendapat tempat di kalangan peminat di negara mereka sendiri.
"Bukan itu sahaja, kami juga mahu memberikan sesuatu yang berbeza berbanding saluran muzik yang ada kerana apa yang kami tampilkan masih lagi dalam acuan tempatan," jelasnya yang menyifatkan peluang itu juga adalah untuk memperluaskan lagi bakat penyampai radio dalam beberapa rancangan yang akan disiarkan kelak.
Tambahnya, evolusi yang dialami oleh jenama Hitz ini mampu dinikmati oleh semua pihak terutama penaja.
"Selain daripada penajaan di radio, kami juga menyakinkan mereka menerusi beberapa pelan yang disediakan untuk penajaan di televisyen menerusi segmen yang ada di dalam Astro Hitz.
"Sudah semestinya ia mampu memberikan keuntungan serta pulangan lumayan kepada mereka dan juga kami," ujarnya penuh optimis tentang perancangan yang sudah dirangka sejak setahun yang lalu itu.
Bagi Mackenna atau lebih dikenali dengan panggilan Mack pula, tugasnya sebagai pengurus saluran sememangnya menuntut tugas yang lebih besar.
"Saya bersama pasukan saya sudah memikirkan beberapa rancangan untuk menjadikan Astro Hitz merupakan saluran yang tidak akan jemu ditonton.
"Selain itu juga, kami juga mahu membuka peluang kepada semua bakat tempatan di luar sana untuk mempamerkan hasil kerja mereka untuk ditayangkan kepada penonton saluran Hitz.
"Tidak perlu hasilkan muzik video yang mahal dan berteknologi tinggi. Cukup hanya sekadar video ketika melakukan persembahan ataupun apa sahaja yang mampu memberikan pendedahan kepada penonton tentang hasil dan bakat mereka," katanya yang sudah lapan bulan memegang jawatan berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: