Thursday, May 21, 2009

Ketentuan hidup Rossa

MEMILIKI raut wajah yang lembut di samping tutur kata yang penuh hemah dan sopan membuatkan sesiapa berada di sampingnya terasa begitu senang sekali.

Tidak cukup dengan itu, personalitinya yang ceria dan tidak lokek dengan senyuman itu juga merupakan salah satu faktor mengapa penyanyi wanita popular seberang, Rossa begitu mudah didekati.

Namun di sebalik keceriaan yang terpancar jelas di wajahnya itu, lara hidup yang dihadapinya ternyata begitu berat untuk ditanggung.

Masyarakat hanya mampu menafsir tetapi apa sahaja yang berlaku dalam kehidupannya, hanya tuan punya badan dan Sang Pencipta sahaja yang tahu.

Umum sudah mengetahui tentang kisah pergolakan rumah tangganya bersama pemain drum kumpulan Padi, Yoyo Prasetyo yang terbina pada tahun 2004 itu.

Pemilik nama lengkap Sri Rossa Roslaina Handiyani ini mengakui, kasih sayang terhadap suaminya itu masih tebal dan tidak pernah sesekali berganjak.

Kerana itu jugalah, Rossa sendiri belum lagi mengambil keputusan untuk bercerai biarpun mereka berdua tidak lagi tinggal sebumbung sejak setahun yang lalu.

Biarpun sempat mengerjakan umrah buat kali kedua pada bulan April lalu agar diberikan petunjuk selain daripada mencari ketenangan, namun Rossa cukup mengerti dengan kehidupan fana yang penuh misteri ini.

"Apa sahaja yang berlaku semuanya sudah ditentukan oleh Allah. Saya tidak pernah menyesal atas apa yang berlaku kerana saya percaya dengan ketentuanNya.

"Bohong kalau saya bilang saya tidak pernah berasa tertekan dengan apa yang saya hadapi dan memikirkan tentang masa depan perkahwinan saya.

"Tetapi, saya harus bangkit dan meneruskan kehidupan ini demi anak saya, Muhammad Rizky Langit Ramadhan.

"Dia masih kecil dan dia juga tidak seharusnya tahu tentang permasalahan kami berdua. Saya mahu dia menikmati kehidupan ini dengan lancar dan gembira," jelas Rossa dalam satu pertemuan dengan media tempatan baru-baru ini.

Tambahnya, sudah pasti dia mahu dan mengharapkan akan ada jalan penyelesaian terhadap kemelut rumah tangganya.

Tetapi katanya, dia menyerahkan kepada takdir dan waktu yang akan menentukannya kelak kerana buat masa ini karier dan anaknya itu menjadi keutamaan dalam hidupnya.

Sejak tidak lagi tinggal sebumbung dengan suaminya itu, pelantun lagu Aku Bukan Untukmu dan Ayat-Ayat Cinta ini menjaga dan memelihara putera kesayangannya itu dengan dibantu ibunya, Eni Kusmiani.

Namun begitu jelas Rossa, dia tidak pernah menghalang Yoyo untuk menjenguk dan bergilir menjaga anak mereka kerana apa pun yang terjadi, Rizky yang berusia dua tahun setengah itu tetap darah daging Yoyo.

"Kami masih lagi berhubungan dan apa yang penting, hubungan kami ini adalah demi kebahagiaan Rizky.

"Saya tidak mahu menjadi seorang yang kejam apabila memisahkan serta memutuskan kasih sayang seorang bapa kepada anaknya," tuturnya penuh makna.

Menutup kisah peribadinya dan beralih bicara kepada penghasilan album keenamnya yang diangkat daripada nama komersialnya itu, Rossa ternyata tidak mampu menyembunyikan perasaan teruja dan gembiranya.

Masakan tidak, selepas kelahiran album Kembali tiga tahun lalu, Rossa gigih mengumpul material terbaik untuk menjadikan album Rossa sebagai sebuah album yang mampu memberikan kepuasan kepada peminatnya.

Dia juga berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Melly Goeslaw, Enda dari kumpulan Ungu, Aji Mirza Hakim, Badai dari kumpulan Kerispatih serta adiknya, 'Nda yang pernah mencipta lagu popularnya, Pudar.

Disebabkan itu juga dia menamakan albumnya itu hanya sebagai Rossa kerana album ini katanya, merupakan terjemahan dan luahan isi hatinya terhadap setiap lagu yang disampaikannya.

Begitu juga dengan kisah dalam lagu popularnya masa kini, Terlanjur Cinta yang disampaikannya secara duet bersama Pasha iaitu vokalis kumpulan Ungu yang dikatakan adalah tentang kisah hidupnya.

Apatah lagi lagu berkenaan dicipta sepenuhnya oleh suaminya menguatkan kesahihan khabar angin tentang kebenaran di sebalik lagu berkenaan.

Hanya mampu tersenyum Rossa memberitahu, kisah Terlanjur Cinta hakikatnya diangkat daripada sebuah filem Hollywood yang diadaptasi daripada sebuah kisah benar yang pernah ditontonnya di saluran HBO.

"Apabila kita mencintai seseorang itu dengan sepenuh jiwa dan raga, apa pun yang terjadi dan seburuk mana pun dirinya perasaan itu tetap ada dalam diri kerana masing-masing sudah terlanjur cinta.

"Cinta adalah satu perasaan yang amat sukar dibendung dan ia tidak boleh hilang dengan sekelip mata biarpun seberat mana masalah dan dugaan yang timbul di antara dua insan," cerita Rossa penuh makna yang cukup mendalam dan tersirat tentang lagu yang turut terpilih menjadi lagu tema bagi sinetron, Dewi itu.

Diusik tentang album Rossa yang lebih bersifat peribadi, sambil ketawa kecil anak kelahiran Sumedang, Jawa Barat, Indonesia ini bagaimanapun tidak menafikannya.

Bukan sifat peribadi secara total jelasnya, Rossa adalah sebuah album tentang warna cinta dan kehidupan yang dilalui oleh seorang wanita yang mudah rapuh hatinya.

"Cinta sememangnya satu subjek yang begitu universal dan ia juga tidak mampu untuk dipisahkan dengan wanita. Atas dasar itu, karya yang terkandung sememangnya berkisar tentang cinta dan permasalahan yang dihadapi kaum wanita," katanya yang mula mencipta nama di Malaysia lewat lagu Tegar pada tahun 2000.

Selain Terlanjur Cinta, antara lagu lain yang dimuatkan dalam album ini adalah Hey Ladies, Hati Yang Kau Sakiti, Tega, Cerita Cinta, Keajaiban Cinta, 1000 Malam dan Sakit Hatiku.

Malah, Rossa begitu menggemari lagu Takkan Berpaling DariMu ciptaan Aji Mirza Hakim yang begitu mendalam maksudnya.

"Setiap kali saya berhadapan dengan masalah dan menikmati kejayaan yang manis, itu semua adalah ujian Allah kepada diri saya dan kepadaNya jugalh saya menyerahkan diri kerana Dia mahu mengetahui segala-galanya," katanya yang bersyukur dengan sokongan peminatnya yang tidak pernah henti sejak dia mula menjadi penyanyi 12 tahun lalu.

Rossa juga akan kembali ke ibu negara untuk mempromosikan albumnya itu dan akan mengadakan persembahan istimewa khusus buat peminatnya di negara ini pada 27 Jun depan.

Dalam pada itu, Rossa sempat menyatakan kekagumannya terhadap komposer dan bintang baru tempatan yang disifatkannya sebagai kreatif.

Begitu meminati album sulung Faizal Tahir berjudul Aku.Muzik.Kamu dan juga karya komposer Audi Mok, penyanyi berusia 30 tahun ini tidak keberatan untuk berkolaborasi dengan penyanyi dan komposer hebat itu.

"Saya memang meminati album Faizal yang begitu hebat dan segar muziknya. Malah, dia juga mempunyai mutu vokal yang baik. Insya Allah, mana tahu nanti saya bisa berduet dan meminta lagu daripadanya," ujarnya yang cukup meminati lagu Cuba dan tidak henti memutarkan lagu berkenaan di dalam keretanya.

Rossa juga sempat berduet dengan Faizal pada malam Anugerah Industri Muzik Ke-16 yang lalu menerusi lagu Terlanjur Cinta dan Cuba.

Malah, malam kemuncak itu juga menyaksikan Rossa memenangi kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Disampaikan Oleh Artis Luar Negara untuk tahun kedua berturut-turut.

Dia memenanginya untuk persembahannya menerusi lagu Ayat-Ayat Cinta manakala tahun lalu untuk lagu Terlalu Cinta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: