CIK Normah nak ucapkan tahniah kepada kumpulan Sepah kerana diberi peluang mengendalikan slot pagi stesen radio nombor satu mana lagi kalau bukan Era FM. Baru beberapa bulan menjadi juara Raja Lawak musim ketiga, rezeki mereka nampaknya begitu murah sekali. Ketika mereka berada dalam Raja Lawak, Cik Normah akui memang suka dengan lawak mereka yang bersahaja dan mencuit hati itu.
Cik Normah dengar program kendalian Sepah pada waktu pagi mendapat sambutan menggalakkan daripada pendengar. Baguslah, nampaknya pelawak kini mendapat tempat setanding dengan artis lain. Pelawak sekarang ini bukan sekadar picisan atau tempelan, tetapi satu kategori baru yang perlu dihargai seperti artis lain.
Bagaimanapun, ada teman Cik Normah yang sering menjadikan slot pagi di Era sebagai pilihan setiap kali untuk ke pejabat berkata, dia bukan tidak suka dengan Sepah cuma katanya mereka sepatutnya ditemani oleh seorang penyampai yang lebih senior untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka.
Bukan apa, ada ketikanya kumpulan Sepah seperti kekeringan idea hingga terhenti seketika celoteh mereka. Sepah juga nampaknya masih belum pandai lagi nak mengawal keadaan dan konti yang sememangnya serba baru dalam kehidupan mereka. Tetapi teman Cik Normah tak salahkan kumpulan itu kerana mereka masih baru belajar.
Cuma dia berharap ada yang lebih arif menemani mereka supaya Sepah tidak kelihatan janggal ketika mengendalikan program pagi itu kerana mereka memang berbakat untuk bergelar penyampai radio, tetapi perlu mengambil sedikit masa untuk memperbaiki lagi cara penyampaian mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: