TETAP cantik, demikianlah apa yang boleh Cik Normah katakan tatkala memandang muka depan Hip beberapa hari lalu yang menggandingkan Datin Seri Normala Samsudin dan janda anak dua, Rozita Che Wan. Pendek kata, kalau Cik Normah berdiri sebelah Normala, kami macam adik-beradik sebab memang dikurniakan wajah menawan.
Bukan Cik Normah berangan, tapi memang hakikat ada yang tak lena tidur memandang wajah bujur sirih Cik Normah. Lagi pun semuanya semula jadi dan tidak ada unsur cucuk sana, cucuk sini macam sesetengah artis tu yang Cik Normah tengok dah semacam saja.
Berbalik kepada kisah Normala, Cik Normah memang sudah lama menanti kemunculan semulanya di persada seni. Alhamdulillah ibu kepada tiga orang anak yang pernah meletup dengan program Nona itu sudah kembali mengacara program Bersama Normala Samsudin. Malah, untuk program itu, Normala juga bertindak sebagai penerbit.
Yang paling Cik Normah puji ialah hasrat isteri bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid itu untuk memanjangkan bakat mengacara yang dimiliki kepada anaknya dan kepada sesiapa yang berminat.
Apa yang Cik Normah risik-risik daripada teman sepejabat yang menemubualnya pada minggu lalu, Normala ada memberitahunya bahawa dia tidak akan berlakon lagi. Tumpuannya lebih kepada mengacara dan menerbit program. Kalau ada yang ingat Normala pernah berlakon filem Idola dan Gerak Khas The Movie (pada 2001). Boleh tahan jugalah lakonannya itu.
Cik Normah rasa elok jugalah keputusan Normala itu, maklumlah kalau kerap sangat berada di depan kamera, banyak pula ceritanya. Kalau cerita elok tak mengapa, tapi kalau cerita yang tak berapa sedap didengar buat apa. Cik Normah tahu, Normala pun terlalu arif mengenai perkara ini. Dah pernah makan garam, tahulah macam mana masinnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: