Thursday, May 14, 2009

Dengarnya...: Pelakon tak kenang budi


KALAU Cik Normah sebut nama pelakon ini mesti ramai yang dapat teka. Iyalah, mana taknya, namanya menjadi sebutan dan sedikit sensasi kebelakangan ini apabila cerita rumah tangganya yang sudah berakhir menjadi topik perdebatan ramai.

Cik Normah pula bukannya kenal rapat sangat dengan pelakon ini. Air mukanya kelihatan macam sombong. Jadi, Cik Normah yakin ramai yang takut untuk bertegur sapa dengannya. Tapi, kalau berjumpa buku dengan ruas macam Cik Normah ni, mungkin dia tak berani kot nak buat muka ‘kerek’. Apa ingat Cik Normah takut sangat dengan dia? Eh, melalut pula. Cik Normah gurau saja ye, sebab Cik Normah tak ada hutang atau pun masalah dengan pelakon itu.

Yang Cik Normah nak kongsi ialah cerita pelakon itu yang boleh dikelaskan sebagai menjengkelkan. Ia diberitahu kawan Cik Normah, Donna Marcella yang memang antara lubuk gosip yang sering menjadi tempat rujukan.

Dengan nada tinggi Donna berkata kepada Cik Normah, "Boleh kau bayangkan, sudahlah pelakon itu meminta jasa baik orang untuk menumpangkan dirinya ke sebuah acara berprestij baru-baru ini, alih-alih dia boleh buat tak tahu saja.

"Kau tahu apa terjadi, dia boleh selamba saja tak menjawab telefon hingga membuatkan orang yang baik hati nak menumpangkan dirinya boleh jadi panas membara. Yang nak menumpangkan dia pun bukanlah orang asing dalam industri. Dia dengan rela hati hendak memberikan khidmat percuma kerana mengenangkan diri pelakon itu yang kononnya tidak mempunyai kenderaan.

"Sudahlah telefon tidak berjawab, tup-tup pada hari berlangsungnya majlis anugerah itu, pelakon itu hadir juga, tetapi bersama lelaki yang khabarnya adalah kekasih barunya. Amboi, boleh pula macam itu. Mula-mula nak menumpang orang, kemudian tak angkat telefon dan seterusnya muncul dengan bangganya bersama seorang lelaki muda."

Kalau perkara ini berlaku kat batang hidung Donna, siaplah pelakon itu dia kerjakan. Tolonglah, tak reti malu agaknya pelakon itu, tanpa segan silu meminta bantuan, kemudian selamba menyusahkan orang. Masya-Allah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: