Thursday, May 14, 2009

Dengarnya...: Ajai yang 'cool'


BARU-BARU ini, kawan Cik Normah sempat membuat liputan konsert Mentor musim ketiga. Bukan setakat itu saja, dia juga diundang sebagai juri awam mengadili persembahan peserta pertandingan. Wah, hebat kawan Cik Normah tu.

Bagaimanapun, bukannya Cik Normah hendak cerita fasal kawan yang tak berapa dikenali ramai itu. Sebaliknya, Cik Normah terpikat dengan kisah yang dibawa balik olehnya mengenai komposer Ajai yang menjadi mentor kepada Chaq. Kisahnya mengenai sikap ‘cool’ kekasih hati kepada Norliza Illias (Liza), bekas Ketua Pengurusan Artis dan Bakat, Maestro Talent & Management (Maestro) itu.

Pada hari itu, akhbar sisipan B*pop mendedahkan kenyataan seorang gadis, Sharifah Nor Idayu Syed Abdul Rahman Raden Al-Yahya yang mesra disapa Ayu. Dalam kenyataannya rentetan tersebar foto mesranya bersama komposer itu di laman maya, Ayu memberitahu mengenali Ajai dan mendakwa kononnya mereka sebenarnya pernah dilamun asmara.

Cik Normah pun tidak tahu situasi sebenar apa yang berlaku. Cik Normah tak ada hak nak jatuh hukum siapa betul, siapa salah. Tapi apa yang kawan Cik Normah beritahu, pada sidang media sejurus selepas konsert berakhir, Ajai tidak melenting langsung dengan pendedahan Ayu. Malahan, Ajai berkata, dia faham tugas sebenar rakan wartawan yang cuba mencari bahan untuk diisi dalam surat khabar, internet mahupun majalah.

Katanya lagi, kebetulan Liza juga berada berdekatan dengan Ajai dan tidak menaruh perasaan ragu terhadap cinta hatinya itu. Liza sempat mencelah, selagi mereka tidak mempunyai ikatan yang sah, mereka berhak berkawan dengan sesiapa pun selagi mampu meletakkan kepercayaan di antara satu sama lain. Terbuka sungguh sikap Liza dan Ajai.

Kata kawan Cik Normah lagi, Ajai memberitahu dia selalu bergambar bersama wanita lain termasuklah penyanyi Marsha dan Tasha. Ia dilakukan tidak lebih atas dasar hubungan sesama kawan. Alah, biasalah, Cik Normah pun selalu bergambar dengan lelaki yang mendakwa cukup meminati Cik Normah. Mujur suami memahami dengan tugas Cik Normah yang selalu berdampingan dengan lelaki.

Cik Normah pun malas nak ulas mengenai apa sebenarnya yang berlaku di antara Ayu dan Ajai. Apa yang Cik Normah nak dengar ialah kisah mengenai berita baik apabila Ajai dan Liza akan disatukan sebagai suami isteri. Cik Normah sudah tak sabar nak tunggu kenyataan mereka mengenai benda baik membina masjid ini.

Tak silap Cik Normah seperti yang dimaklumkan Ajai kepada kawan sepejabat, Ajai kini sedang menanti segala saki baki urusan perceraiannya dengan bekas isterinya, Nurul, selesai. Selepas itu, baru Ajai akan memikirkan mengenai rencana hari bahagianya bersama Liza. Kalau nak kahwin, Ajai dan Liza jangan lupa jemput Cik Normah dan kawan-kawan dekat sini!

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: