Thursday, May 14, 2009

Dengarnya...: Meluat komen juri rancangan realiti


CIK NORMAH bukanlah gemar sangat menonton program realiti tempatan kita ni. Bukannya Cik Normah memilih bulu, tetapi masa kurang mengizinkan. Maklumlah, mana masa nak buat kerja cari rezeki, mana pula masa hendak layan suami supaya sentiasa dekat di hati?

Tetapi, sekali-sekala, ada juga Cik Normah menonton beberapa program pertandingan nyanyian tu. Selepas menyapu pelembap di muka dan memasang lilin aroma terapi, Cik Normah pun duduklah depan TV, kalau mood hendak berbuat begitu tiba-tiba menjelma. Masalahnya, baru saja hendak layan program tu, tiba-tiba komen juri pula yang buat Cik Normah naik hantu.

Iyalah, pada pandangan mata dan pendengaran telinga Cik Normah, peserta sebuah rancangan realiti ini bukanlah baik sangat. Tetapi, apabila tiba saat juri beri komen, terus saja mereka memuji. Naik pelik jadinya Cik Normah ni. Pada hal, boleh dikatakan semua peserta pada malam itu bukanlah hebat pun di pentas. Menyanyi pun masih lintang pukang. Tetapi, juri bukan main lagi memuji.

Jadi, Cik Normah terfikir sendiri. Juri tu sebenarnya beri komen atas dasar apa? Takkan hendak komen sambil menjaga hati? Atau mereka memang disuruh pihak penganjur atau dengan perkataan lain, stesen televisyen penyiar, untuk berlembut dan banyakkan memuji? Dengan cara itu, mungkin mereka agak peminat akan lebih suka program terbabit. Entahlah.

Bagi Cik Normah, kalau juri tidak memberitahu perkara sebenar, macam mana seseorang peserta pertandingan seperti itu hendak mengetahui dia bagus atau sebaliknya. Kalau asyik menyanyi sumbang, tetapi dikata hebat, sampai kiamatlah peserta tadi menyanyi sumbang.

Kalau Cik Normahlah yang diundang sebagai juri, Cik Normah pasti akan berlaku jujur. Mana yang tak sedap, Cik Normah akan cakap tak sedap, begitulah sebaliknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: