![]() Normala Samsudin |
SETIAP wanita tidak dapat dipisahkan daripada berbicara soal kecantikan sama ada secara luaran mahu pun dalaman. Ia dapat dijadikan daya tarikan dan pada masa sama mencetuskan kepuasan dalam diri sendiri apabila sentiasa tampil cantik dan memikat terutama apabila berhadapan dengan insan tersayang. Begitu juga kepentingan berfesyen di kalangan wanita yang semakin diutamakan golongan wanita yang bekerjaya mahupun suri rumah tangga.
Prihatin terhadap isu yang dipandang serius golongan wanita itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan program majalah Bersama Normala Samsudin setiap Ahad, jam 3.05 petang di TV1. Program itu dibuat dalam tiga ]segmen yang membabitkan Kecantikan Luaran, Kecantikan Dalaman dan Kecantikan Spiritual. Ia cuba mengupas dengan lebih mendalam mengenai topik yang diketengahkan selain memberikan tips berguna menerusi setiap episod siarannya.
Program ini turut memaparkan episod fesyen gaya muslimah yang berada di pasaran bersesuaian dengan wanita hari ini. Malah segmen itu turut berkongsi pengalaman artis terkenal mengenai Butik Faiz dan Butik Safira yang menjual pakaian muslimah.
Menariknya juga episod ini diserikan dengan kemunculan Ekin yang merakamkan teknik pemakaian tudung yang menjadi ikutan masa kini.
Malah menerusi 26 episod siarannya, program Bersama Normala Samsudin turut mempelbagaikan isu seperti kesuburan dan kehamilan, mengenai mata yang berbentuk pengajaran termasuklah apa saja yang anda ingin tahu mengenai mata, penjagaan wanita Melayu dan bukan Melayu selepas bersalin.
Diselitkan juga temu bual dengan bidan Cina dan India untuk mengetahui cara mereka berpantang dan menjaga bayi selepas bersalin termasuk juga bidan Melayu yang menyentuh amalan memakan jamu, berurut, bertungku dan sebagainya.
Kepada penonton yang ternanti-nantikan tips percuma untuk menjaga bentuk badan agar cantik dan kekal langsing selari dengan teknik rawatan moden dan tradisional, mereka juga boleh mendapatkannya menerusi program ini.
Begitu juga diketengahkan teknik kecantikan model dan tradisional yang popular di kalangan wanita tempatan masa kini.
Justeru kepada golongan bergelar wanita, usah ketinggalan mengisi waktu senggang petang hujung minggu anda dengan menyaksikan Bersama Normala Samsudin pada setiap hari Ahad, jam 3.05 petang di TV1. Ia mula bersiaran sejak 17 Mei lalu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: