![]() |
| Gandingan Awal dan Heliza tarikan Syurga Cinta. |
Kegagalan filem Syukur 21 tidak pernah memadamkan niat David Teo untuk terus menghasilkan filem bercorak keagamaan walaupun pada zahirnya kurang mendapat sokongan daripada peminat.
Atas kegagalan lalu, selaku penerbit David sekali lagi bangkit dan berpadu tenaga bersama dengan Ahmad Idham untuk filem ke-29 terbitan Metrowealth International Group (MIG).
Sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab penggiat filem yang merupakan medium berpengaruh mendidik masyarakat untuk memaparkan sesuatu yang mampu dijadikan tauladan.
MIG menganggap cara sebegini mampu mengimbangi pelbagai medium lain yang dilihat mampu memesong akidah dan minda remaja di era globalisasi ini.
Kebimbangan terhadap gejala sosial menjadi salah satu agenda terpenting negara untuk menanganinya dan MIG cuba memainkan sedikit peranan dalam menjayakan usaha tersebut.
Syurga Cinta akan mengupas kehidupan dua Melayu Islam dengan dua fahaman atau pegangan yang jauh berbeza. Pertama yang mengagungkan gaya hidup barat dan seorang lagi yang masih teguh mempertahan keimanan kepada Islam dan nilai-nilai ketimuran.
Pertembungan dua gaya hidup inilah yang akan menonjolkan nilai yang akan menyentuh dan menggeletek hati para penonton. Biarpun filem Syurga Cinta ini mengutarakan kisah cinta namun, ia tetap mempunyai kekuatan dan keistimewaan tersendiri apabila ia akan digarap melalui pendekatan Islamik.
Syurga Cinta dibarisi pelakon yang hebat termasuklah Awal Ashaari, Mustapha Kamal, Dian P. Ramlee, Hisham Ahmad Tajuddin, Fizz Fairuz, Shaheizy Sam dan Wazata Zain.
Dan untuk pertama kalinya Heliza AF5 terlibat di layar perak sebagai heroin dan pelakon kanak-kanak yang terkenal melalui rancangan Tom Tom Bak iaitu Hadziq yang baru menjangkau usia lapan tahun.
Selaku pengarah filem, Ahmad Idham mengakui bahawa Syurga Cinta merupakan satu filem yang agak berbeza daripada filem yang pernah diarahkan sebelum ini terutama apabila mengangkat cinta sebagai tema utama.
"Ini filem cinta. Perlu dimasukkan unsur Islamik dan dikomersialkan. Sudah pasti ia sesuatu yang sukar dan saya sendiri mengakui yang sangat risau menerima respons daripada peminat yang menonton nanti.
"Dengan lambakan drama-drama cinta sudah pasti akan ada yang mengatakan ia sama dengan cerita yang lain. Itu merupakan cabaran yang paling besar kepada kita sebenarnya," jelas Idham ketika ditemui di Restoran Lemon, The Mines.
Akui Idham dia resah menantikan tayangan filem ini memandangkan reputasinya akan terjejas jika filem ini tidak mendapat sambutan.
Jelasnya lagi kepercayaan yang telah diberikan oleh David Teo kepadanya merupakan sesuatu yang tidak harus dipandang ringan dan sekurang-kurangnya filem ini mencapai kutipan box office.
"Ini filem kesepuluh saya dan kali terakhir saya mengarahkan filem bertemakan cinta menerusi filem Mr. Cinderella. Apa yang saya harapkan filem ini tidak menghampakan saya dan penerbit," jelas Idham lagi.
l Cinta suci Irham
Irham berusia lewat 20-an anak kepada pasangan Tan Sri Zakaria dan Puan Sri Mahani telah membesar di luar negara sejak berumur 12 tahun lagi.
Dia telah bersekolah dan bekerja di sana untuk beberapa tahun dan pulang ke Malaysia kerana perlu mengambil alih syarikat milik keluarganya. Kerana terlalu lama di luar negara, cara dan gaya hidupnya tidak ubah seperti orang Barat.
Sekembalinya ke Malaysia, Irham telah bertemu dengan rakan-rakan lamanya ketika belajar di luar negara iaitu Zainal dan Alex yang sangat mengenali hati budi Irham.
Irham sememangnya seorang lelaki yang handal memikat gadis yang diinginkan. Alex dan Zainal sering kalah jika bertaruh. Bagi memastikan Irham kalah, mereka mencabar Irham memikat gadis bertudung kerana mereka tahu Irham tidak menyukai gadis sebegini.
Gadis tersebut adalah Syuhadah, seorang gadis moden namun masih mempertahankan nilai-nilai sebagai seorang Muslimah sejati. Dia merupakan anak yatim dan dipelihara oleh datuknya sejak dari kecil.
Walaupun hidup mewah namun dia tetap memperolehi didikan agama yang cukup. Irham melakukan pelbagai cara untuk memikat Syuhadah yang secara kebetulan merupakan guru agama di sekolah adik angkatnya iaitu Ikmal.
Hubungan Irham dan Ikmal yang tidak begitu baik sebelum ini berubah apabila Irham memerlukan bantuan Ikmal dalam menjayakan misinya.
Melihat ketulusan Irham mendalami ajaran Islam, hati Syuhadah terbuka untuk menerima Irham sebagai kawan dan dalam tempoh berkawan dalam diam-diam wujudnya perasaan kasih dan sayang.
Irham pula sedikit sebanyak dibimbing oleh Syuhada sehinggakan dalam tempoh sebulan tanpa dia sedari dia telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim dan dia merasa selesa dan tanpa disedari telah menunaikan tanggungjawab sebagai orang Islam seperti mendirikan solat.
Namun tempoh sebulan telah pun tamat dan Irham perlu berjumpa dengan Zainal dan Alex bagi menunaikan janjinya dengan membawa Syuhadah. Di depan Zainal dan Alex, Irham telah berterus-terang kepada Syuhada.
Bagaimana Irham menangani konflik tersebut dan bagaimana kesudahannya? Nantikan tayangan filem ini pada 21 Mei nanti.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: