Sunday, May 17, 2009

Rossa pasrah


Rossa


DIA genit. Sangat mesra dan ramah tamah orangnya. Senyuman sentiasa mekar menghiasi bibir mungilnya. Dia juga mudah diajak berbicara.

Namun jauh di sudut hatinya, siapa dapat menelah lara yang dipikul.

Hatinya menangis siapa yang tahu.

Tetapi itulah Rossa, wanita kecil molek bersuara lunak yang terus tegar mendepani kehidupannya. Kehidupan selepas tidak lagi bersama suaminya, Yoyo yang merupakan pemain deram kumpulan Padi.

Tetapi jangan cepat membuat telahan. Rossa dan Yoyo tidak pernah bercerai dan belum ada ura-ura ke arah itu.

Namun Rossa mengakui bahawa mereka sudah lagi tidak hidup sebumbung sejak setahun yang lalu, selepas Yoyo dikatakan curang terhadap isterinya.

Biar mengakui sudah tidak lagi sebumbung namun Rossa menegaskan baik dirinya mahupun Yoyo kini sedang berusaha keras untuk mengembalikan kejernihan hubungan masing-masing.

“Kita tidak tahu misteri kehidupan yang diatur oleh Tuhan. Hari ini kita menerima musibah mungkin selepas itu dianugerah sesuatu yang lebih baik,” ujar Rossa yang ditemui baru-baru ini.

Hadir memberikan sokongan dan menghibur penonton di Anugerah Industri Muzik (AIM) baru lalu, Rossa yang turut memenangi Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Disampaikan Oleh Artis Luar Negara juga tanpa berselindung mengakui bahawa perasaan kasih dan sayang terhadap suaminya itu masih berbisa.

“Sayang masih ada. Tapi itulah... Begini sahaja dahulu. Itu lebih baik,” katanya sambil tersenyum manja.

“Saya menikah kerana Allah. Semua kerana Allah. Saya tidak mahu beremosi. Yang saya mahukan adalah yang terbaik buat saya, Yoyo dan Rizky di dunia dan akhirat,” tambahnya.

Malah Rossa memberitahu tidak pernah menunjukkan kekecewaan mahupun rasa tertekan dengan permasalahan rumah tangga yang sedang dihadapi demi anak tunggal mereka yang kini sudah berusia dua tahun setengah.

Kata Rossa, Rizky tidak seharusnya tahu mengenai masalah dan kesusahan yang dialami orang tuanya.

l Terlanjur Cinta

Kesibukan diri dengan pelbagai urusan show juga membuatkan Rossa tidak terlalu memikirkan masalah rumah tangga yang sedang diharungi.

Malah ia membuatkan hidup Rossa lebih terisi dan membuatkan dia lupa tentang masalah hati dan perasaan yang sedang dilalui.

Sedang galak mempromosikan album terbarunya, Rossa, penyanyi comel itu juga turut mengadakan konsert siri jelajah Persembahan Cinta di tujuh kota di Indonesia termasuk di Jakarta, Surabaya, Bandung, Yogyakarta dan Sumatera.

Malah pada 27 Jun nanti, Rossa akan mengadakan persembahan istimewa buat para peminatnya di negara ini.

Mendengarkan himpunan lagu-lagu yang terkandung dalam album terbarunya itu, nyata ia sangat bersifat peribadi.

Lagu Hey Ladies, Hati Yang Kau Sakiti juga single popularnya dengan Pasha (Ungu), Terlanjur Cinta misalnya seolah-olah gambaran isi hatinya terhadap apa yang sedang dihadapi.

Rossa hanya tersenyum saat ditebak mengenainya dan mengungkapkan bahawa setiap album itu adalah refleksi daripada penyanyinya.

Dan dia juga mengakui, sejak akhir-akhir ini begitu gemar dengan lagu-lagu yang bersifat sendu.

“Memang ini (himpunan lagu-lagunya) adalah yang saya ingini. Album ini adalah diari tetapi bukan curahan hati. Cuma ada suatu rasa pada suatu masa,” tegasnya.

Ditanya mengenai lagu Terlanjur Cinta ciptaan Yoyo yang mungkin merupakan luahan rasa hati suaminya kepada dirinya, kata Rossa, lagu itu telah dicipta tiga tahun lepas.

“Ia dicipta sebelum kecoh hal-hal berkaitan kami. Malah ketika itu saya masih belum hamil,” ujar Rossa yang mengumpul lagu-lagu selama dua tahun sebelum melancarkannya pada Januari lalu di Indonesia.

Malah kata Rossa, dia memang memilih Pasha untuk berduet kerana merasakan vokal mereka secocok.

Lagu tersebut juga menjadi pilihan untuk dijadikan lagu tema sebuah sinetron selain lagu Hati Yang Kau Sakiti.

Rossa juga mengakui amat menyenangi lagu Hey Ladies yang menggabungkan teman-teman rapatnya seperti Melly Goeslow, Kris Dayanti, Yuni Shara dan beberapa lagi.

“Memangnya seronok sekali lagu ini. Ia sebuah lagu yang penuh semangat. Anak saya juga sukakannya,” ujar Rossa lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: