Friday, May 8, 2009

Ciptaan membran komposit pensyarah UTM bertaraf dunia


AHMAD FAUZI menunjukkan gentian gelonggang bahan yang digunakan pada teknologi Membran Komposit Matrik Campuran Hibrid di UTM Skudai semalam.


JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menghasilkan teknologi Membran Komposit Matrik Campuran Hibrid (H2MC) bertaraf dunia yang dihasilkan oleh pensyarahnya, Prof. Ahmad Fauzi Ismail.

Ahmad Fauzi yang bertugas di Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) di universiti itu berkata, kajian berhubung teknologi membran H2MC itu telah dijalankannya kira-kira empat tahun lalu bersama empat penyelidik lain dari UTM.

Perkembangan dalam teknologi pembuatan membran dan bahan termaju membolehkan teknologi itu dibangunkan secara komersial dengan kos yang munasabah.

“Teknologi membran ini sudah lama diperkenalkan tetapi masyarakat kurang mendapat pendedahan. Kebiasaannya teknologi membran digunakan oleh pihak industri termasuk minyak, perkapalan, minuman, perubatan (dialisis), farmasi dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui semalam.

Contohnya, menurut beliau, mesin tersebut boleh digunakan untuk menangani masalah peningkatan kepekatan gas karbon dioksida di dalam gas asli di pelantar minyak yang boleh menyebabkan karat kepada peralatan bernilai tinggi.

Katanya, saiz mesin yang kecil bukan saja dapat mengoptimumkan ruang malah tidak memerlukan pengendalian rapi dan menjimatkan kerana hanya menggunakan 50 peratus tenaga selain mesra alam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: