| PERNAH menang Anugerah Pereka Kostum Terbaik menerusi drama Haryati dan Kala Malam Bulan Mengambang, Nasirah Ramlan, kini antara pereka kostum yang menjadi rebutan pengarah drama dan filem. Orangnya sangat sederhana dan merendah diri. |
Dek kemampuannya dapat menyediakan kostum mengikut kehendak dan cita rasa pengarah serta jalan cerita, Azizi Adnan (Chunk), Nasirah ditugaskan menghasilkan kostum kepada semua superhero dalam Kapoww.
Kerja Nasirah menjadi agak mudah kerana suaminya, Nazrul Ashraff Mahzan, adalah pengarah seni untuk filem itu. Apabila dua fikiran bergabung, wujudlah hasil yang sangat cantik dan indah dipandang mata.
"Sebelum mereka kostum saya berbincang dengan suami apakah elemen yang perlu ditonjolkan terutama dalam filem ini. Kostum superhero mestilah nampak lebih dan saya perlu banyak berimaginasi. Untuk mencari ilham, saya juga banyak menonton filem superhero luar negara kerana selain kekuatan yang dimilikinya, kostum superhero juga antara elemen untuk menyerlahkan lagi kegagahannya.
"Saya mereka kostum berdasarkan watak dan bajet yang diberi. Semua kostum dalam filem ini dibuat dalam negara kerana kita juga ada tukang jahit yang hebat dan harga pun lebih murah. Saya sudah lama bekerjasama dengan tukang jahit sehingga dia sangat faham apa yang saya mahukan. Kostum yang saya hasilkan ini adalah idea bersama suami," katanya.
Dalam Kapoww lebih 10 watak yang memerlukan kostum hebat antaranya untuk Zizan Raja Lawak (superhero), Rosnah Mat Aris (Astromen Mak), Khir Rahman (Faibo), Harun Salim Bachik (Astromen Belalang), Awie (Astromen Wau) dan Delyla (Astromen Sedut).
"Untuk keluarga Astromen ada kostum mereka yang tersendiri. Bagi menghasilkan semua kostum itu saya perlu cari bahan yang bersesuaian cuaca negara ini yang panas. Saya berusaha mencari kulit jenis PVC yang paling nipis untuk memberi keselesaan kepada pelakon. Saya ingin mereka kostum yang lebih hebat untuk Kapoww, tetapi tak cukup masa," katanya.
Sebelum bergiat aktif dalam penyediaan kostum untuk produksi, Nasirah pernah bekerja di butik dan juga mahir melukis batik.
"Apabila sudah berkahwin dengan suami yang terbabit dalam bidang ini saya pun cuba mengembang minat yang ada dengan mereka kostum untuk produksi. Sebenarnya saya mula mereka kostum untuk filem Sayang Salmah dan drama berepisod. Alhamdulillah, kebolehan saya ini semakin mendapat perhatian penggiat seni tanah air dan insya-Allah saya akan terus melakukan yang terbaik untuk industri filem dan drama tempatan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: