|
| RAMAI yang cuba mendapatkan penjelasan daripada Mohd Zulkefli Mohd Idir (Keifli), 26, membabitkan isu hubungan cintanya dengan Marsha Milan Londoh yang tidak kesampaian. |
Ini juga bukan pertama kali Keifli dan Marsha dilanda kontroversi membabitkan percintaan mereka yang terjalin sebaik keluar daripada program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), tiga tahun lalu.
"Bukan mahu merahsiakan daripada pengetahuan umum, tetapi tiada apa yang perlu saya ceritakan kerana ia terlalu peribadi," kata Keifli.
Pelbagai cerita panas timbul termasuk Marsha didakwa dipukul Keifli sehingga mengalami kecederaan dan lebih mengaibkan apabila bintang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu dituduh menggugurkan kandungan.
Ketika ditemui sewaktu mengikuti Karnival TV3 di Lumut, Perak, baru-baru ini, Keifli berkali-kali menegaskan tidak mahu memberi sebarang komen membabitkan hubungannya dengan Marsha dan menganggap antara mereka sudah tiada jodoh.
"Saya sedar sebelum ini ada beberapa media menyiarkan kisah hubungan kami yang tidak kesampaian. Masalahnya saya sendiri tidak tahu dari mana mereka mendapat kenyataan kami. Setahu saya, setakat ini saya tidak pernah memberikan sebarang komen membabitkan perkara itu," katanya.
Apabila ditanya lanjut mengenai hubungan mereka sekarang, jelas Keifli dia tidak menghadapi masalah termasuk jika ada pihak yang mahu menggandingkan mereka berdua dalam drama atau filem.
"Pada saya, hal peribadi dan kerja tidak boleh dicampuradukkan. Begitupun, saya perlu lihat dulu tawaran itu sama ada ia baik untuk kami atau tidak. Apa yang penting, kami berdua perlu bersikap profesional.
"Saya sendiri kalau boleh tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. Dunia hiburan ini kecil, ke mana saja kita pergi pasti akan bertemu. Jadi, buat apa kita tarik muka hanya kerana masalah peribadi," katanya.
Bercerita lanjut mengenai kerjaya seni, kata Keifli dia gembira apabila bakat lakonannya semakin mendapat perhatian dan sentiasa mendapat tawaran daripada penerbit dan pengarah drama tempatan.
"Sekarang ini saya sibuk dengan penggambaran dan mempromosikan drama bersiri terbaru lakonan saya, Berek dan Comel. Sebelum itu, saya sudah membintangi banyak drama terutama bersiri seperti Campakkan Aku Kembali Ke Laut dan Impian Laili.
"Tidak dinafikan ketika menyertai AF3, perhatian saya lebih tertumpu kepada nyanyian dan sekarang tidak sangka pula beralih ke bidang lakonan.
"Apapun, saya seronok kerana dapat menimba ilmu dalam bidang baru. Pendek kata, saya dapat mengembangkan bakat dalam cabang seni lain. Walaupun susah pada peringkat awal, saya bertuah kerana digandingkan dengan pelakon berpengalaman yang tidak kedekut ilmu," katanya.
Walaupun bintangnya dalam lakonan semakin menyinar, Keifli berkata dia tidak akan sesekali melupakan bidang nyanyian.
"Sekarang ini saya merancang menerbitkan lagu ciptaan dan nyanyian sendiri. Ia sedang saya usahakan cuma biasalah dalam hal ini banyak perkara perlu diberikan perhatian terutama membabitkan melodi sesuai dan susunan lagu.
"Saya bertuah kerana keluarga terutama ibu dan ayah banyak memberikan sokongan supaya terus mengejar apa yang diimpikan dalam bidang seni ini," katanya yang turut berkecimpung dalam dunia perniagaan lain bagi menambah pendapatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: