Monday, May 4, 2009

Black tie di karpet biru

Glamor adalah satu perkataan untuk menggambarkan dunia selebriti. Tampil cantik, anggun, mewah dan bergaya dengan busana eksklusif adalah antara keperluan untuk mengangkat aura glamor. Siapakah yang memenuhi syarat glamor di pentas AIM16?




MENGANGKAT tema pakaian Black tie, karpet biru acara Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) ternyata disimbah gemerlapan stail dan busana fesyen kontemporari para selebriti.

Yang pasti, tema itu ternyata memberi kelebihan kepada bintang-bintang wanita untuk melaram tanpa had kod yang terbatas.

Black tie merujuk kepada kod pakaian khusus untuk majlis semi-formal yang berlangsung pada sebelah malam.

Di kalangan lelaki, komponen utama pemakaian adalah jaket, biasanya dirujuk sebagai jaket makan malam di Britain, tuksedo di Kanada dan di Amerika Syarikat kebiasaannya jaket berwarna hitam atau biru gelap.


KIRI: KAKAK diva kebanggaan negara Datuk Siti Nurhaliza, Siti Saida Taruddin anggun dengan busana merah jambu hasil tangan Rizman Ruzaini.
TENGAH: GAUN rona lembut Rossa yang bertatahkan manik menarik perhatian ramai.
KANAN: GELARAN bintang paling anggun AIM layak diserahkan kepada Noryn Aziz.


Antara yang cuba mematuhi kod pakaian AIM16 termasuklah Faizal Tahir, Joe Flizzow, serta anggota band indie Meet Uncle Hussain dan Hujan. Ada yang menggayakan sut penuh berwarna gelap, ada juga yang memberikan suntikan sedikit suntikan kreativiti pada rekaan jaket dan warna agar tidak terlalu membosankan.

Bagi tetamu wanita pula tema acara memberikan mereka lebih ruang untuk bergaya sama ada dengan gaun koktel hinggalah dres majlis makan malam yang diterjemahkan oleh fesyen terkini, rekaan tempatan dan waktu acara.

Antara yang paling menyerlah malam itu termasuklah Noryn Aziz dengan gaun hitam, pelakon muda, Intan Ladyana yang tampil bersama dres paras lutut serta Jaclyn Victor yang jelita bersama busana rona jingga lembut yang menyelit elemen sari.

Menurut Noryn Aziz, dia menyarung pakaian pereka terkenal, Bill Keith dengan kilauan aksesori permata daripada Butik Faiq yang bernilai jutaan ringgit.


KIRI: DAFI menggayakan sut denim rekaan Rizman Ruzaini.
KANAN: GAYA remaja Shila OIAM2 menyerlah dengan gaun biru kehijau-hijauan.


Misha Omar yang menang besar malam itu tampak berseri dengan gaun beropol moden berona perak rekaan Saiful Baharin. Selari dengan kemewahan warna gaunnya, penyanyi kelahiran Kelantan itu tambah anggun dengan padanan hiasan aksesori daripada Perte Jewelleries.

Syafinaz pula memilih untuk memakai pakaian unik versi Dior dalam rona coklat cair. Timbunan fabrik yang berlipat-lipat pada bahagian bawah menyerlahkan kelainan pada penampilannya malam itu.

Sementara itu, pasangan romantis Mawi dan Ikin begitu sedondon dengan pemakaian berwarna putih dan merah jambu rekaan dari butik Cosry. Kedua-duanya menampakkan kombinasi yang menarik dan elegan.

Melinda Looi pula memberikan sentuhannya untuk Maya Karin yang tampak anggun dengan gaun labuh berwarna jingga cair, sesuai dengan dirinya yang bertubuh langsing.

Sut denim merah rekaan Rizman Ruzaini dengan rambut perang menampakkan Dafi agak 'garang' di pentas AIM.

"Saya tidak boleh pakai gincu merah, jadi saya pakailah baju merah," ujarnya bergurau mengenai busananya itu.


ANGGOTA Meet Uncle Hussain bergaya ala militari, manakala SUKI menampilkan kelainan dengan menggayakan uniform PLKN.


Pentas AIM juga menyaksikan artis dari Tanah Seberang tidak kurang tampil glamor. Pemenang kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang dipersembahkan oleh artis luar negara, Rossa kelihatan ayu dengan gaun bertatah batu permata berkilauan. Gaun rona jingga itu juga diserlahkan dengan sulaman renda yang menambah kemewahan busananya.

Seorang lagi artis Indonesia yang turun ke Kuala Lumpur ialah Yuni Shara. Yuni tampil ringkas dengan dres putih paras lutut.

Selain itu, pereka lain yang turut menyerlahkan aura glamor selebriti malam itu termasuklah Rizman Ruzaini yang menghasilkan rekaan untuk Siti Saida, Dafi dan Alyah, manakala penyampai radio Hot.fm, Sharifah Aleya pula diberi sentuhan fesyen daripada Sya Shaharani.

Turut menyumbang busana termasuklah ialah Faizal Azraf (Ayu), Daniel Shu (Reshmonu), Shegar (Jaclyn Victor), Norita Harith (Hunny Madu) dan Khairi Sufi (Dyna).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: