Friday, May 8, 2009

BDB sedia beraksi


Jatt bersama anggota Black Dog Bone.


MALAM ini, Istana Budaya akan menyaksikan satu lagi rekod bakal dicatat. Menghimpunkan sebuah kumpulan legenda yang pernah membuatkan hati banyak pihak ceria, konsert yang dinamakan Konsert Untukmu Ibu - Black Dog Bone (BDB) sesuatu yang harus dihayati peminat seni.

Ketika ini juga, kesemua anggota BDB sangat terharu dengan undangan mengadakan persembahan istimewa itu.

Paling menyentuh hati mereka ialah diberi peluang mengadakan persembahan di pentas bertaraf antarabangsa.

Apatah lagi selepas hampir empat dekad memperjuangkan muzik, BDB seperti tidak percaya masih ada banyak pihak yang percaya dengan kemampuan yang ada pada mereka.

Justeru, Konsert Untukmu Ibu - Black Dog Bone merupakan saat paling penting untuk mereka kembali bergabung dan mengubat kerinduan peminat selama ini.

Bagi vokalis utama BDB, Jatt, inilah peluang terbaik untuk beliau dan rakan-rakannya menghiburkan peminat mereka.

Setelah berpecah pada tahun 1980, kesemua ahli kumpulan BDB terus membawa haluan masing-masing.

Ada juga di kalangan mereka yang masih lagi bermain muzik di kelab-kelab di Singapura.

Kepada peminat setia BDB, pada awal kemunculan kumpulan itu, lagu-lagu seperti Si Gadis Ayu dah Khayalan memasyhurkan mereka dan sekali gus meletakkan mereka sebagai antara kumpulan popular pada waktu itu selain kumpulan D' Lloyd.

"Kami tidak akan menghampakan penganjur yang mengundang kami membuat persembahan ini. Latihan telah kami lakukan demi memastikan kelancaran konsert berkenaan.

"Ini bukan persembahan biasa. Semuanya kena sempurna. Tambahan pula ada di antara ahli kumpulan kita yang sudah lama tidak bermain muzik seperti saksofon. Jadi, terpaksalah kami mula berlatih lebih kerap sejak bulan lalu.

"Paling penting kami mahu menyajikan satu persembahan yang paling menarik dan akan dikenang oleh peminat sampai bila-bila," ujar Jatt mewakili rakan-rakannya iaitu Izhar (vokalis, gitaris), James (saksofon), Masron (trompet, vokalis), Hamid (basis) dan Michael (keyboard) kepada Hits.

Konsert Untukmu Ibu - Black Dog Bone dianjurkan secara kerjasama oleh Istana Budaya dan Box Office (M) Sdn. Bhd.

Persembahan istimewa selama tiga hari bermula malam ini turut mendapat kerjasama daripada Kumpulan Utusan sebagai rakan media cetak rasmi dan stesen radio Sinar FM sebagai stesen penyiar rasmi.

Pada konsert berkenaan, BDB akan mempersembahkan 25 buah lagu terpilih bersama-sama artis undangan, Jay Jay dan Rahim Othman serta diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).

Ternyata peluang untuk melakukan persembahan bersama OSK menjadikan mereka semakin bersemangat dan mahu melakukan kejutan kepada peminat yang hadir nanti.

"Seronok apabila dapat bekerjasama dengan OSK. Walaupun kami sendiri masih belum pasti corak persembahan itu nanti, kami tetap berharap agar tidak banyak perubahan dari segi muzik yang akan dilakukan oleh mereka.

"Kalau boleh kami mahu lagu-lagu yang dimainkan masih sama seperti dahulu. Ini bukan sahaja mengembalikan memori indah peminat, malah turut sama dapat menilai kemampuan setiap ahli BDB," ujar Jatt lagi.

Trek rekod BDB bukan sesuatu yang mudah untuk dilupakan. Kumpulan itu pernah menarik perhatian apabila menjayakan konsert di Stadium Negara pada tahun 1977.

Ketika itu, persembahan mereka ditonton oleh 50,000 peminat. Dan momen itu ada ketika hadir dalam ruang fikiran anggota-anggota BDB.

"Rasanya seperti baru semalam perkara itu berlaku. Tahu-tahu saja sudah 32 tahun ia berlalu.

"Malam ini pula, kami diberi satu peluang yang besar. Takut, gembira dan macam-macam perasaan yang ada.

"Doa kami ada peminat yang akan datang memberikan sokongan moral. Begitu juga dengan mereka yang mungkin pernah membesar dengan lagu-lagu nyanyian kami, akan datang menyaksikan persembahan BDB," kata Jatt mengenai harapan BDB.

Bagi mereka yang ingin turut serta dalam konsert pada Black Dog Bone pada 8,9 dan 10 Mei ini boleh mendapatkan tiket yang berharga RM65, RM85.

Sementara bagi tiket-tiket berharga RM155 dan RM205 pula anda berpeluang untuk membelinya dengan potongan harga sebanyak 15 peratus.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: