Friday, May 8, 2009

Versi cetak rompak dimuat turun 4 juta kali

LOS ANGELES 7 Mei - Versi tidak lengkap X-Men Origins: Wolverine yang tersebar di Internet sejak 30 Mac lalu, sebelum filem itu mencatat kutipan tertinggi di pawagam, telah dimuat turun lebih empat juta kali.

Syarikat perfileman 20th Century Fox dalam kenyataannya semalam, menyatakan ia tidak pasti sama ada perhatian dalam Internet terhadap Wolverine memberi kesan buruk kepada kutipan, namun dakwaan muat turut sebanyak itu adalah empat kali lebih tinggi daripada yang dianggarkan sebelum ini.

Purata tiket wayang tahun lalu dijual pada AS$7.18 (RM25.40), bermakna kerugian jualan bagi Fox dianggarkan setinggi AS$28.7 juta (RM101.3 juta).

"Cetak rompak adalah isu serius buat kami. Kami menganggarkan lebih empat juta muat turun filem Wolverine di luar sana," kata Ketua Pegawai Operasi News Corp., Peter Chernin kepada penganalisis Wall Street semalam.

Chernin dan Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif News Corp., Rupert Murdoch bercakap pada satu persidangan dan jurucakap syarikat itu mengesahkan statistik empat juta itu.

Chernin berkata, banyak lama web yang menjual Wolverine secara haram telah berjaya ditutup.

Jelasnya, cetak rompak terhadap harta intelektual termasuk filem adalah 'seberat jenayah risikan dan sabotaj industri jika dilihat dari sudut impak kepada ekonomi'.

Bagaimanapun, Wolverine telah berjaya 'mencakar' tempat terbaik dalam minggu pembukaannya berbanding filem lain tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: