![]() |
| Pengkritik tetap pilih kasih - Rosyam Nor |
DUNIA hiburan tempatan memang tidak pernah sepi daripada pelbagai isu kontroversi. Baik yang melibatkan isu 'panas' mahupun yang 'suam-suam kuku', semuanya bagaikan tiada penghujung diperkatakan.
Kalau bukan isu peribadi artis dan selebriti yang melibatkan kisah percintaan mahupun rumahtangga, masalah disiplin dan lagak 'diva', tentu sahaja perihal program-program hiburan terutamanya yang menyentuh rancangan realiti TV heboh diperkatakan.
Jika rancangan realiti TV berbentuk nyanyian, seperti Akademi Fantasia dan One In A Million yang menjadi pilihan penonton dikritik hebat kerana babak-babak 'dramanya', kontroversi apa pula yang bakal melanda program baru berkaitan pencarian bakat lakonan Pilih Kasih dan Anak Wayang?.
Biarpun satu bakal ditayangkan di RTM manakala satu lagi di Astro, tetapi hebahan, uji bakat dan promosi yang dilakukan hampir serentak, cukup membuatkan ramai tertanya-tanya benarkah kedua-dua program ini sengaja mewujudkan persaingan di antara satu sama lain?.
Pilih Kasih mahupun Anak Wayang, sudah pasti kedua-duanya mempunyai kelebihan dan cara tersendiri dalam menyediakan bahan bermutu bagi mengisi kandungan yang bakal dipersembahkan kelak.
Program Pilih Kasih yang baru sahaja menamatkan sesi jelajah di tujuh lokasi sekitar Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada 3 Mei lalu dikatakan mendapat sambutan hangat apabila hampir 4,000 peserta hadir mencuba nasib.
Bagaimanapun, pengasas program Pilih Kasih, Rosyam Nor pada satu sidang media baru-baru ini, mengumumkan pembatalan sesi uji bakat yang bakal diadakan di The Spring, Kuching, Sarawak pada 9 dan 10 Mei (Sabtu dan Ahad) ini.
"Saya mohon maaf kepada para peminat di Sarawak kerana tidak dapat mengadakan sesi uji bakat di sana untuk musim ini. Bagaimanapun, untuk musim akan datang kami akan cuba ke sana (Sarawak) untuk mencari bakat-bakat lakonan yang baru.
"Ingin saya jelaskan, pada sesi uji bakat yang diadakan di Plaza Alam Sentral, 3 Mei lalu, seramai 2,000 peserta telah mendaftar untuk di uji bakat. Bagaimanapun, kerana kesuntukan waktu hanya 300 orang sahaja yang sempat diuji.
"Untuk memberi keadilan, kami terpaksa batalkan uji bakat di Sarawak dan menggantikan satu sesi uji bakat lain yang bakal diadakan di Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada hari Sabtu dan Ahad ini," katanya.
Menurut Rosyam, pada 15 Mei ini pihaknya bakal membuat senarai pendek iaitu 20 peserta termasuk 10 peserta wanita dan 10 peserta lelaki yang bakal diserapkan ke dalam program Pilih Kasih.
Para peserta akan muncul dalam persembahan mingguan Pentas Pilih Kasih setiap hari Sabtu yang di siarkansecara langsung pada pukul 8.30 malam di TV 2 mulai 6 Jun ini.
Selama empat bulan di akademi, para peserta bakal dilatih dengan teknik lakonan, tarian, nyanyian, lontaran suara, intonasi serta gerak badan oleh Erma Fatima, Amy Maziah dan Along Kamarudin.
Sementara pengacara yang bakal terlibat sepanjang program tersebut termasuklah Raja Azura, Pasha Abdul Rahim dan Reza.
Pengkritik tetap untuk program ini ialah Dr. Abu Hassan dan Rosyam Nor.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: