|
SELEPAS berjaya menerima hampir 200,000 pengunjung di Terengganu pada 1 dan 2 Mei lalu, program Sua Rasa bersama Celcom beralih ke Negeri Cik Siti Wan Kembang. |
Acara anjuran TV9 dan kerajaan negeri serta Celcom selaku penaja utama itu diharapkan berjaya memupuk hubungan yang lebih erat dengan masyarakat.
Acara ini diserikan lagi dengan kunjungan Yang Amat Mulia Temenggong Kelantan serta Yang Amat Mulia Cik Puan Temenggong Kelantan.
Sua Rasa bermakna bertemu, berkumpul dan bersantai di samping mengeratkan silaturahim bersama ahli keluarga dalam suasana meriah. Pengunjung juga dapat beramah mesra dan bergambar dengan personaliti TV9 dan TV3 seperti Farrah Adeeba, Syarifah Nur Syed Mohd, Aziz Desa, Mek Nik Sayyidah, Khairul Normaidah (Gadis Melayu), Fimie, Aien Adik Di 9, Halim Din (999), D' Putra dan Cicik.
Pengunjung juga dapat melihat rakaman rancangan Warna-Warni Sua Rasa, Rentak Sua Rasa dan Halaqah selain melihat kru TV9 menyelenggara program siaran langsung itu.
Mereka yang tidak berkesempatan mengunjungi tapak pesta, dapat menyaksikan program itu yang disiarkan secara langsung menerusi program Warna-Warni Sua Rasa yang bersiaran secara langsung dari tapak pesta itu pada jam 8 pagi. Ia dihoskan Aziz Desa dan Nik Sayyidah.
Tarikan lain yang disediakan, gerai TV9, Adik di 9, Celcom, 999 dan pameran Al-Risaalah. Diadakan juga pameran buah-buahan, dikir barat antarabangsa, pertunjukan seni silat cantik, persembahan gasing terbang dan persembahan nyanyian artis terkenal. Acara padang Sua Rasa ini turut menampilkan makanan kegemaran rakyat negara ini dengan menganjurkan pesta makanan bagi melengkapkan mesej yang ingin disampaikan melalui Sua Rasa.
Seterusnya, diadakan rakaman rancangan bual bicara keagamaan Halaqah dihoskan Ustaz Ahmad Shukri Yusof. Halaqah menjemput dua ahli panel, Pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, ustaz Roslan Che Rus dan Pensyarah Kanan Universiti Malaya, ustaz Roslan Mohamed.
Rakaman Halaqah bermula jam 9 malam itu membincangkan tajuk Emas iaitu subjek simpanan yang kukuh dan fleksibel dalam semua keadaan walaupun ketika kelembapan ekonomi dunia kini. Bagi mengetahui kupasan lanjut, saksikan Halaqah setiap hari Khamis, jam 10.00 malam.
Turut diadakan, persembahan artis yang dapat disaksikan menerusi program Rentak Sua Rasa diacarakan Mr Os dan Danny. Ia menampilkan artis terkenal tanah air seperti kumpulan In Team dengan lagunya Allahurabbi dan Ya Muhammad, Nash (Pada Syurga Di Wajahmu/Tiada Lagi Kidungmu), Cat Farish & Adeep (Lemas/Dari Sinar Mata), Dafi (Lemah/Seumur Hidup), Azhan (Kemanisan Dunia/Ku Milikmu) dan Infinatez (Paparazzi/Siti Situ Sana Sini/Ada Masa).
Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda, berkata pihak TV9 menjangkakan sambutan Sua Rasa tahun ini lebih mendapat sambutan dan meriah berbanding tahun sebelumnya.
"Sua Rasa tahun ini menampilkan banyak kelainan dan dengan kerjasama kerajaan negeri, Celcom dan penaja lain akan membuka lebaran baru untuk bersama-sama merapatkan silaturahim tanpa mengira bangsa dan agama.
"Saya berharap rakan perniagaan yang hadir pada hari ini dan yang belum menyertai program ini, penyertaan anda semua amat dialu-alukan. Masih belum terlambat untuk memeriahkan Sua Rasa kerana banyak lagi lokasi untuk dijelajahi bersama kami pada tahun ini," katanya.
Usaha murni TV9 bertujuan mengembangkan mesej positif kepada masyarakat adalah usaha utama stesen televisyen ini bagi menempatkan diri di hati penonton.
Lokasi Sua Rasa seterusnya di Kedah pada 5 dan 6 Jun ini, Muar (4 dan 5 Julai), Seremban (1 dan 2 Ogos), Ipoh (31 Oktober dan 1 November), Klang (29 dan 30 Ogos) dan Hulu Langat (17 dan 18 Ogos).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: