Wednesday, May 20, 2009

Bangga jadi sebahagian Mana Setangginya


KEMAMPUAN membawa pelbagai watak dalam drama televisyen sudah dibuktikan Sabrina Ali, 29. Sejak dikenali melalui lakonan pertama di layar kaca, Lady Anne hinggalah beberapa drama lain, Astana Idaman, Misteri Jeram Lesung, Villa Dr Brown, Sephia, Haryati, Mahligai Gading dan Janji Diana, Sabrina belum puas hati dengan mutu lakonannya.

Malah wanita kacukan Melayu dan Afghanistan ini masih mencari kelainan pada setiap watak dijayakan. Peluang menjayakan karakter antagonis dalam drama bersiri Puteri Salju dan Matahari, nyata meninggalkan impak tersendiri.

Ternyata kemampuan Sabrina mula dipandang orang teater apabila menjadi pilihan menjayakan pementasan Mana Setangginya karya Sasterawan Negara ke-7, Datuk Noordin Hassan arahan Zaifri Husin.

Teater yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 13 hingga 21 Jun ini turut dibintangi pelakon popular, Tony Eusoff sebagai Juda, Shaharuddin Thamby (Hawar) dan Azizah Mahzan (Mira).

Sebagai teraju utama, sudah tentu Sabrina berdepan cabaran besar apatah lagi kali pertama terbabit dalam pementasan teater itu.

Kata Sabrina, dia memang teruja menerima tawaran membintangi teater ini kerana minat membabitkan diri dalam dunia teater sudah lama terpendam. Apatah lagi selepas dimaklumkan karya Sasterawan Negara itu sepatutnya dipentaskan 10 tahun lalu.

"Semuanya bermula secara tidak sengaja apabila saya yang ditugaskan mengacara program televisyen, Sihat, Cergas dan Cerdas menemu bual pelakon dan pereka tari, Korie Adam di IB, April lalu.

"Itulah kali pertama saya menjejakkan kaki di IB dan kagum melihat kelengkapannya yang tersergam indah hingga menyimpan impian beraksi di pentas gah itu.

"Sebelum ini saya pernah menyimpan impian membabitkan diri dalam pentas teater, tetapi tidak menyangka peluang itu muncul menerusi karya agung ini.

"Semuanya berlaku secara kebetulan dan saya menganggapnya sebagai rezeki. Alhamdulillah, selepas kali pertama terbabit dalam program pengacaraan dan kini pementasan teater pula," katanya yang turut menyertai program Sehati Berdansa.



Sabrina yang memainkan peranan Iriam mengakui pada mulanya berasa sangsi ketika ditawarkan menjayakan pementasan itu. Katanya, berdasarkan pengalaman lalu ada di antara produksi mengambil kira rupa paras (kacukan) yang dikatakan tidak sesuai membintangi karya mereka terutama teater bangsawan.



"Apabila dihubungi IB untuk membintangi teater itu, saya bertanya sama ada pementasan teater bangsawan atau muzikal sebelum memberi persetujuan.

"Tawaran ini satu penghormatan besar buat saya dan cukup bangga kerana menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menjayakan pementasan ini," katanya.

Ibu kepada Ariana, 2, berkata, pertama kali membaca skrip teater memang sukar untuk difahami, tetapi melalui perbincangan dan pemahaman bersama mereka yang terbabit, mesej berkenaan dapat dikupas sedikit demi sedikit.

"Melalui pemahaman saya, karya ini bukan membabitkan penceritaan pada zaman tertentu. Malah ia sentiasa tidak lapuk dek zaman. Karya ini ternyata dekat dengan jiwa manusia.

"Biarpun sudah berkecimpung dalam dunia lakonan, saya tidak ada pengalaman berlakon teater sebaliknya bersandarkan kepada tunjuk ajar dan bimbingan rakan artis dan pengarah.

"Saya pula jenis suka bercakap terus terang dengan ekspresi yang tersendiri. Kata pengarah, ia baik dan berguna untuk pelakon teater. Justeru saya harap dapat membawa watak diberikan dan mementaskan teater dengan baik," katanya.

Dalam majlis memperkenalkan barisan pelakon dan watak teater Mana Setangginya baru-baru ini, Bilik Seri Nilam, IB, media turut menyaksikan serba sedikit persembahan teater itu. Ia turut dihadiri Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani.

Pelakon lain yang menjayakan pementasan ini ialah Rudy De Luna Jr (Subat), Azman Abu Bakar (Ibra), Mohd Nor Fatih Moktar (Silbi), Iqbal Taufik (Uzza), Norhana Othman (Megda), Aniza Baharom (Naomi), Zambri Mohamad (Paderi Tua), Abd Mutalif Abu Bakar (Paderi), Mohd Nizam Alias (Sami), Mahmood Ibrahim (Menteri Pembiakan Zuriat) dan Razwan Raimin (Pemuda Seberang Laut).

Zaifri yang diberi tanggungjawab mengarahkan teater itu mengakui ianya satu penghormatan besar buatnya memandangkan karya itu disimpan selama 10 tahun.

"Naskhah teater ini nampak berat namun saya cukup dekat dengan naskhah berkenaan sejak 1998 lagi. Saya berharap sokongan dan kepakaran yang ada di IB akan berikan kekuatan kepada pementasan ini.

"Pada saya, teater ini sebuah naskhah yang universal, ia berlaku di seluruh dunia dan bukan hanya di Malaysia saja," katanya.

Zaifri sebelum ini berpengalaman mengarah teater Bawang Putih Bawang Merah, Taman Baginda, Belalang Kenit, Muzikal Ali Baba dan Gamat. Muzikal Ali Baba mencipta sejarah apabila meraih Persembahan Terbaik di Festival Persembahan Kesenian Kanak-Kanak kelapan di New Delhi, India pada 2007.

Mana Setangginya berkisar kepada perkampungan nelayan yang menyara hidup dengan menangkap ikan dan menjual hasil pokok setanggi. Nelayan dilarang menangkap ikan pada hari beribadat iaitu Sabtu.

Kumpulan nelayan yang derhaka di bawah pimpinan Hawar sudah berpindah ke bukit. Walaupun hidup mewah, mereka melanggar perintah. Kedatangan Uzza sebagai orang asing membawa falsafah baru dalam kehidupan mereka.

Juda anak Hiwar mengahwini kekasihnya, Iriam anak Ibra tetapi Silbi dan Subhat menabur fitnah asal-usul Iriam. Juda bermuka-muka akan kebaikannya untuk mengaburi penduduk kampung.

Lantaran itu, dia dan ayahnya mahu kampung nelayan yang bertaburan mengiktiraf kedudukan mereka sebagai raja. Mereka yang ingkar akan diserang dan segala tangkapan hendaklah dijual kepada mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: