Wednesday, May 20, 2009

Sukar jadi Syuhadah


BERBEKALKAN raut wajah jelita dan ditambah pula pandangan mata bundarnya yang sungguh tajam, dikatakan mampu mencairkan hati mana-mana lelaki apabila melihatnya.

Malah, ia dilihat satu pakej lengkap bagi bintang kelahiran Akademi Fantasia 5 (AF5), Nur Heliza Helmi, 23, untuk memiliki harapan cerah bergelar anak seni berjaya suatu hari nanti.

Namun begitu, pembabitannya dalam dunia seni dilihat tidak ‘semegah’ rakan seperjuangannya yang lain seperti Mila yang semakin hari kian menyinari industri hiburan.

Bukan kerana ingin ‘menoktahkan’ perjalanan seni, tetapi gadis kelahiran Terengganu ini terikat dengan komitmen sebagai mahasiswa ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains (major Biologi dan minor Kimia) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dalam begitu ghairah memahat setiap ilmu yang dipelajarinya, tidak bermakna dia melupakan terus perjuangannya di persada seni dan ini terbukti apabila kemunculan sulungnya di layar perak, Syurga Cinta yang bakal memeriahkan panggung mulai 21 Mei ini.

Tambah mengagumkan, penampilan buat julung kali ini, Heliza diberi kepercayaan menggalas watak utama sebagai heroin di samping heronya, Awal Ashaari.

Mengetengahkan genre keagamaan, gadis manis berusia 23 tahun ini mengakui agak sukar untuk membawakan watak Syuhadah yang dilakonkannya dalam Syurga Cinta.

“Syuhadah, gadis lemah-lembut dan filem ini mengutarakan kisah percintaannya yang penuh air mata.

“Jelas sekali, karakter yang dipegang saya dalam filem itu sangat bertentangan dengan sahsiah diri dan berikutan itu, amat sukar untuk menjiwai watak Syuhadah pada peringkat awal.

“Ketika itu, hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana susahnya untuk mengadaptasikan emosi daripada catatan skrip ke alam lakonan,” katanya.



Menyentuh mengenai perwatakannya yang seakan-akan gadis ayu yang lemah-gemalai dan dilihat berupaya menjiwai lakonan Syuhadah dengan senang, kata Heliza, itu hanyalah sekadar gambaran umum.



“Walaupun, ekspresi wajah mempamerkan kelembutan, secara realitinya saya berpersonaliti selamba, tahan lasak dan susah mengalirkan air mata.

“Justeru, jika ada yang perasan ketika dalam program realiti Akademi Fantasia, saya tidak mudah menangis sewaktu penyingkiran pelajar diumumkan.

“Bukannya kerana ego ataupun tidak sedih dengan pemergian rakan seperjuangan, namun mungkin kerana saya dilahirkan dan dikurniakan Allah sikap yang tidak mudah tersinggung dengan sesuatu perkara,” katanya.

Bercerita bagaimana dia menjiwai watak Syuhadah yang dikatakan sangat bertentangan dengan keperibadian diri, kata Heliza, pengarah Ahmad Idham, Awal dan semua tenaga produksi sentiasa memberi tunjuk ajar dan nasihat berguna kepadanya.

“Terus terang, pada mulanya permasalahan saya bukan hanya tertumpu kepada proses menjiwai emosi malah ketika pembacaan skrip.

“Boleh dikatakan ketika itu saya menghafal skrip bulat-bulat seperti menelaah pelajaran dan nampak sangat tidak natural.

“Namun, saya bersyukur kerana mendapat bimbingan daripada mereka yang berpengalaman dan tidak lokek menurunkan sesuatu pengetahuan.

“Untuk babak air mata, saya mengimaginasikan diri berhadapan konflik keluarga kerana hanya benda sebegini yang mampu mengerahkan air mata saya untuk menitis,” katanya.

Menyentuh mengenai kritikan yang bakal diterima, beritahu Heliza, itu semua adalah proses pembelajaran yang membantu dirinya untuk membaiki diri dan maju ke hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: