![]() |
| Jamal (kiri) dan Saleem akan menjanjikan persembahan hebat. |
PENDUDUK Kuantan, Pahang seharusnya berasa bertuah kerana bermula hari Jumaat ini segerombolan artis akan berkampung di bandar itu. Ini merupakan satu peluang yang amat baik buat mereka untuk bertemu dengan para artis popular yang akan membuat persembahan dan beramah mesra sempena Zoom! Malaysia Travel Fair 2009.
Kehadiran artis-artis popular seperti Jamal Abdillah, Mila, Stacy, Tomok dan Saleem dijangka mampu menarik ribuan peminat untuk sama-sama menyertai acara tersebut yang tentunya hebat dan menarik.
Artis popular lain yang akan turut tampil menghiburkan orang Kuantan ialah Along dan Angah (Raja Lawak), Ifa Raziah, Farah (AF), Helmi The Gimmik dan Roslan Shah.
Zoom! Malaysia Travel Fair 2009 yang akan berlangsung pada 22 hingga 25 Mei ini akan diadakan di East Coast Mall, Kuantan, Pahang.
Kumpulan indie yang sedang mencipta nama dengan lagu Situasi iaitu Bunkface juga bakal muncul menemui peminat mereka di lokasi berkenaan.
Acara ini diadakan bertujuan untuk mempromosikan destinasi pelancongan melalui kempen Pelancongan Domestik Zoom! Malaysia bagi memudahkan semua lapisan masyarakat untuk membeli pakej pelancongan domestik yang menarik.
"Selain itu juga kempen ini akan memberi peluang perniagaan kepada pengusaha pelancongan yang ada di negara ini untuk memasarkan pakej pelancongan domestik bagi memastikan perkembangan ekonomi dalam sektor pelancongan," jelas Ketua Jawatankuasa Penganjur, Azhari Haron.
Menurut Azhari, beliau percaya penyertaan artis-artis popular ini akan memeriahkan lagi acara yang buat julung kalinya diadakan di negeri Pantai Timur ini.
"Artis-artis yang bukan sahaja akan menyanyi dan menghibur pengunjung, tetapi juga akan berkongsi pengalaman mereka mengunjungi tempat-tempat menarik di dalam negara sesuai dengan kempen pelancongan domestik yang diadakan oleh pihak kerajaan," katanya.
Travel Fair ini akan bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam pada tarikh tersebut.
Artis-artis popular yang diundang akan sentiasa berada di lokasi untuk memeriahkan acara dan bertemu dengan peminat secara langsung.
Majlis perasmian Zoom! Malaysia Travel Fair dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pada 22 Mei, pukul 5 petang.
Aktiviti sampingan lain yang terbuka kepada pengunjung ialah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, sudut juruhebah, kuiz pelancongan dan cabutan bertuah yang menyediakan hadiah cukup menarik.
Jadi apa ditunggu lagi. Mari serbu East Coast Mallbermula Jumaat ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: