Tuesday, May 26, 2009

Dari Batman ke Terminator


KALI ini, John Connor (Christian Bale) akan merungkai rahsia sebenar di sebalik rancangan Skynet dan Terminator.


CHRISTIAN Bale sememangnya dikenali sebagai seorang pelakon yang cukup berdedikasi serta mempunyai prinsip yang tersendiri dalam dunia seni.

Berikanlah apa sahaja watak kepadanya nescaya dia akan melunaskan dengan baik. Jarang sekali dia mengecewakan penerbit dan pengarah filem-filemnya.

Baginya, apabila melibatkan diri dalam dunia lakonan apa yang penting memberikan yang terbaik kepada mereka yang mempercayai kebolehannya.

Malah, dia juga menolak dengan keras apabila didatangi oleh penerbit mahupun pengarah yang mahukan dirinya membintangi sesebuah filem atas nama populariti dan mengenepikan kualiti.

Memang pantang pada dirinya jika diperlakukan sedemikian kerana dia tidak mahu dianggap sebagai seorang aktor yang mementingkan populariti dan sentiasa diuliti glamor.

Anak kelahiran Wales, United Kingdom ini sudah membuktikan dalam beberapa buah filemnya bahawa dia bukanlah pelakon sembarangan.

Biarpun namanya tidak sepopular aktor Hollywood yang lain, tetapi Bale tidak pernah mengendahkan tentang apa yang diperkatakan tentang dirinya.

Yang penting baginya adalah hasil kerjanya yang mampu membuatkan peminat dan pencinta filem berupaya menontonnya untuk jangka masa yang panjang.

Lihatlah sahaja lakonannya dalam filem-filem seperti American Psycho, Reign of Fire, I'm Not There., 3:10 To Yuma, The Prestige dan The Machinist yang semuanya mendapat perhatian dan pujian daripada pengkritik filem.

Kemuncak kerjaya seni Bale bermula saat dia menerima tawaran Christopher Nolan untuk membintangi filem Batman Begins dan seterusnya dalam sekuel berjudul The Dark Knight.

Bale telah dianggap sebagai salah seorang aktor yang berjaya membawa watak adi wira, Batman dan alter egonya, Bruce Wayne dengan baik sekali sehingga mampu menjadikan kedua-dua buah filem itu mencatatkan kutipan box-office yang cukup menguntungkan.

Kini, dia mengorak setapak lagi dalam profil seninya apabila bakal muncul dengan sebuah lagi filem yang sememangnya cukup dinanti-nantikan tahun ini iaitu Terminator Salvation.

Filem berkenaan merupakan filem sekuel keempat dari siri filem Terminator yang bermula pada tahun 1984 dengan filem The Terminator dan seterusnya diikuti pula dengan filem Terminator 2: Judgement Day (1992) dan Terminator 3: Rise of the Machines (2003).

Percayalah, Bale bukan pilihan utama untuk memegang watak John Connor dalam filem Terminator Salvation kerana dikhabarkan terdapat enam lagi calon aktor untuk membawakan watak ikonik itu.

Kata Bale, sememangnya sejak awal lagi dia menolak untuk membintangi filem meskipun dipujuk berkali-kali oleh pengarahnya, McG yang melihatnya mempunyai karisma sebagai John Connor.

Tetapi pelakon berusia 35 tahun ini menjelaskan dia tertarik dengan kesungguhan McG yang telah memberinya sebuah naskhah yang cemerlang serta kuat dari segi permainan watak serta plot.

Namun, semua itu tidak terjadi di awal sejarah dirinya sewaktu ditawarkan dengan watak itu.

"Secara jujur, pada mulanya skrip yang diberikan tidak begitu bagus dan membuatkan saya langsung tidak tertarik untuk membacanya. Kita juga kena memikirkan tujuan untuk menerbitkan sekuel ini.

"Saya cukup suka dan menggemari dua filem Terminator yang pertama tetapi saya memang tidak sukakan filem ketiga dan ia gagal kerana mereka memang mahukan menerbitkan filem itu.

"Itu juga yang saya nampak di dalam skrip awal Terminator Salvation. Namun, saya mengalah kepada permintaan McG apabila dia bersetuju untuk merombak skripnya dan melakukannya semula demi siri filem yang sudah dianggap sebagai terhebat dalam sinema dunia," jelas Bale yang buat pertama kalinya berlakon di bawah arahan McG.

Berbicara lanjut tentang watak John Connor dalam filem lanjutan ini, Bale dengan tegas memberitahu dia tidak langsung memikirkan untuk meneruskan kesinambungan watak yang pernah dijayakan oleh pelakon sebelum ini.

Dalam filem Terminator 2: Judgment Day, Edward Furlong membawakan watak berkenaan manakala dalam sekuel ketiga pula, ia dijayakan oleh Nick Stahl.

"Saya mahu melihat watak ini adalah John Connor yang baru. Dalam filem kedua dan ketiga, kita dapat melihat bagaimana watak itu digambarkan sebagai seorang yang lemah dan tidak mempunyai pendirian serta seorang yang tidak berguna kepada masyarakat.

"Tetapi apa yang saya bawakan adalah jauh berbeza sama sekali kerana dalam Terminator Salvation dia mempunyai tanggungjawab besar yang kini terletak di bahunya. Itu adalah John Connor yang baru," jelasnya yang mengambil masa yang agak lama untuk membentuk dan mengubah watak John Connor kali ini.

Berbicara lanjut tentang bekerja bersama McG, Bale memberitahu ia adalah sebuah pengalaman yang cukup berharga kerana pengarah itu mampu membuatkan pelakon dan krew menjiwai filem itu.

Ini ternyata berbeza apabila dia berlakon di bawah arahan Christopher Nolan yang mengarahnya dalam dua filem Batman sebelum ini.

"Malah McG tidak pernah membezakan status apabila di lokasi dan dia melayan semua orang dengan sama rata. Itu memang saya puji dan saya amat mengaguminya," ujarnya yang dilahirkan pada 30 Januari 1974.

Sudah menceburkan diri dalam bidang lakonan sejak berumur 13 tahun lagi, pastinya Bale begitu bertuah apabila sering diberikan watak yang mencabar dan bukan calang-calang aktor boleh membawakannya.

Bale pernah menurunkan berat badannya sehingga menjadi kurus kering semata-mata mahu menghidupkan watak Trevor Reznik dalam filem The Machinist pada tahun 2004.

Mungkin bagi sesetengah aktor agak sukar untuk meninggalkan watak yang begitu lama dibawakan dalam filem.

Begitu juga dengan Bale yang tidak menafikan berdepan dengan senario tersebut lebih-lebih lagi jika dia membawakan watak yang digemari oleh orang ramai.

"Ada sesetengah watak saya berasa benci untuk mengucapkan selamat tinggal. Namun sebagai aktor kita harus bijak untuk benar-benar memastikan diri kita bebas sepenuhnya daripada watak itu.

"Begitu juga dengan watak John Connor yang sememangnya jauh berbeza dengan watak Batman. Saya tidak mahu orang melihat aksi saya sama. Di situ, terletaknya cabaran saya untuk melakukan transformasi terbaik demi kebaikan diri saya dan kepercayaan kepada peminat.

"Mereka mengeluarkan wang untuk menonton lakonan kita dan sudah pasti kita mahu memastikan pelaburan mereka itu berbaloi. Saya sudah melakukan sehabis baik untuk filem ini dan cukup berpuas hati dengan hasilnya," jelasnya yang dikhabarkan akan meneruskan watak John Connor untuk filem Terminator kelima yang sedang di peringkat pra produksi.

Selain Bale. filem yang menelan belanja hampir AS$200 juta (RM720 juta) ini turut dibintangi oleh Sam Worthington sebagai Marcus Wright, Moon Bloodgood (Blair Williams), Helena Bonham Carter (Dr. Serena Kogan), Bryce Dallas Howard (Kate Connor), Michael Ironside (General Ashdown) dan Jane Alexander (Virginia).

l Terminator Salvation akan memulakan tayangannya di Malaysia bermula 28 Mei ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: