Tuesday, May 12, 2009

Jaja buku komik alternatif di Asia...Raihan


ANTARA produk yang menjulang jenama Raihan Rangerz.

Raihan mahu jadikan Raihan Rangerz sebagai ikon kanak-kanak Islam

MENYEPI bukan bermakna menjauhi industri hiburan, cuma tiada sebarang perkembangan menarik untuk dikongsi bersama penggemar.

Bagaimanapun, fokus kumpulan nasyid popular, Raihan tidak pernah tersasar. Pengaruh kumpulan yang dikenali menerusi lagu Puji-Pujian ini terus bertahan, malah populariti meluas hingga ke Indonesia menjadikan mereka ikon yang membanggakan industri hiburan.

Sejak 2004, kerjasama mereka bersama Saba Islamic Media menghadirkan komik dan video cakera padat (VCD) komik alternatif Asia, Raihan Rangers.

Setakat ini, enam VCD sudah diterbitkan selain membawakan tiga lagi judul terbaru iaitu Toleransi serta Berdikari bakal dipasarkan Jun ini manakala Harga Diri menemui peminat September ini.

Begitu juga siri komik Raihan Rangerz yang diterbitkan dalam enam judul, setiap satu mendapat sambutan memberangsangkan apabila dipasarkan.

RAIHAN diserbu ketika menjayakan siri promosi Raihan Rangerz sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009, baru-baru ini.

Melihat kepada reaksi positif itu, siri berkenaan turut diperluaskan pasarannya di Jakarta, Indonesia sempena pesta buku di sana, Mac lalu.

“Jualannya cukup memberangsangkan dengan lebih 20,000 terjual dalam tempoh dua bulan, membuatkan kami merancang untuk memperluaskan lagi siri komik alternatif kepada penggemar beragama Islam di Asia,” kata Che Amran Idris.

Ditemui sempena pelancaran siri terbaru Raihan Rangerz, Che Amran berkata, mereka ingin menjadikan jenama itu sebagai ikon kepada kanak-kanak Islam sebagai mana masyarakat Barat memperkenalkan siri seperti Batman, Spiderman dan pelbagai lagi.

“Kami mahu kanak-kanak di rantau ini membesar dengan ikon berwajah Islam, selain komik serta VCD ini juga membantu menyubur pembangunan jiwa yang berlandaskan syariah.

“Dengan penekanan kepada kualiti animasi yang membanggakan, kami menaruh kepercayaan Raihan Rangerz akan membesar dan berdiri setanding animasi luar yang semakin membanjiri pasaran,” katanya.

Meskipun sudah lima tahun bertapak, Che Amran mengakui jenama Raihan Rangerz belum cukup kuat disebabkan pasarannya yang terhad di beberapa bandar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Pulau Pinang dan Kuantan.

Bagaimanapun, suasana itu akan berubah tidak lama lagi apabila mereka dengan kerjasama Saba Islamic Media akan memfrancaiskan jenama itu.

“Memang perancangan kami untuk menggerakkan Raihan Rangerz dalam skala kecil terlebih dulu kerana bimbang pasaran yang luas membuatkan kami tidak mampu menampung permintaan.

“Di permulaan kami mahu terlebih dulu melihat sejauh mana penerimaan peminat dan selepas lima tahun, kami akui sayang jika tidak diperluaskan kerana produk ini diterima baik.

“Insya-Allah, semuanya akan terlaksana tidak lama lagi,” katanya bangga dengan pencapaian yang diukir Raihan Rangerz.

Katanya, kunjungan mereka ke Jakarta, baru-baru ini juga menyuntik semangat untuk terus memperkasakan jenama Raihan Rangerz berdasarkan hasil kerja memuaskan yang ditampilkan oleh pekerja studio di sana.

“Apatah lagi pasaran di sana juga besar, membuatkan kami terpanggil untuk lebih agresif memperkenalkan jenama itu sebagai hiburan alternatif kepada mereka yang mencari animasi berwajah Islam,” katanya.

Beralih kepada perkembangan dunia nyanyian, Che Amran berkata, Raihan yang turut dianggotai Abu Bakar Md Yatim, Amran Ibrahim dan Zulfadli Mustafa masih aktif memenuhi jemputan persembahan.

Kemelesetan ekonomi dunia tidak mematahkan rezeki Raihan, malah segala perancangan karier Raihan berjalan tanpa terbatas kepada sebarang sekatan.

Jun ini, kumpulan yang mekar namanya di persada antarabangsa ini akan ke Bosnia selama seminggu untuk menjayakan sebuah program.

“Setakat ini, semua perancangan berjalan lancar dan persetujuan pun sudah diberikan. Cuma kami masih menanti maklumat terperinci mengenai segala aktiviti sepanjang seminggu di Bosnia.

“Insya-Allah, sekiranya menjadi kenyataan kami juga dijadualkan mengadakan persembahan di Ivory Coast dan Russia selain sela waktu dimanfaatkan dengan memenuhi undangan di negara sendiri,” katanya.

Melihat kepada suasana industri muzik yang masih belum berdiri pada kedudukan selesa, Che Amran berkata, Raihan yang kini menaungi Raihan Records selepas tamat kontrak bersama Warner Music tidak terfikir untuk menghasilkan album baru.

Biarpun kini mendapat keselesaan apabila bergerak sendiri, namun banyak faktor yang perlu dikaji sebelum Raihan mengambil keputusan untuk kembali ke studio rakaman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: