Wednesday, May 13, 2009

Album single jadi taruhan


Ian Helmy memilih konsep R&B sebagai genre muzik kegemarannya.


SEORANG cantik dan seorang lagi kacak. Kehadiran dua penyanyi berbakat, Shiela Abdul dan Ian Helmy bukan sekadar berbekalkan wajah yang menarik malah tampil dengan suara yang menawan.

Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa dua anak muda ini digabungkan pada sesi fotografi kali ini.

Hendak dikatakan mereka berasal dari negeri yang sama, tidak juga. Sheila lahir di Johor Bharu, Johor manakala Ian pula berasal dari Kuantan, Pahang.

Adakah mereka sepasang kekasih yang sedang cuba menyelami hati budi masing-masing? Apa sahaja tekaan dan andaian boleh dibuat ke atas mereka.

Hakikatnya, mereka ini mempunyai persamaan. Di sebalik kemunculan mereka dengan single masing-masing, berdiri teguh di belakang mereka seorang komposer yang cukup terkenal dan disegani ramai kerana lagu-lagu ciptaannya yang bermutu.

Sebut sahaja Adnan Abu Hassan pasti terbayang di wajah kita akan kehebatan dan kredibiliti komposer ini dalam mencipta lagu dan mengesan serta mengetengahkan penyanyi baru yang berbakat.

Datuk Siti Nurhaliza, Misha Omar dan Dayang Nurfaizah adalah antara bintang yang lahir dengan lagu ciptaan Adnan.

Memang tuah Sheila dan Ian kerana berjaya mencuri hati Adnan hingga sanggup mengambil serta mendidik mereka menjadi seorang penyanyi yang berjaya.

Sheila Abdul atau nama sebenarnya Nursheila Abdullah, 21, pernah hadir dengan album sulung dua tahun lepas. Malah lagu Mungkinkah cukup dikenali ramai ketika itu. Apatah lagi suaranya bagaikan suara Misha Omar.

"Mungkin rezeki saya bukan ketika itu. Tambahan pula kehadiran ramai artis-artis baru seperti artis kelahiran program realiti sedikit sebanyak memberi kesan kepada saya.

"Namun saya banyak belajar daripada kelemahan dahulu. Bagi saya publisiti adalah perkara paling penting. Tanpanya, walau bagus manapun suara penyanyi ia tak bermakna tanpa publisiti," ujarnya.

Setelah agak lama menyepi, Sheila Abdul kini hadir dengan buah tangan terbaru menerusi single yang bakal dijadikan soundtrack filem Bunian, yang akan diterbitkan oleh Adnan.

Malah single tersebut yang belum diketahui judulnya, adalah hasil ciptaan Adnan sendiri dan berkonsepkan balada. Difahamkan lagu tersebut mempunyai sedikit persamaan dengan lagu Bunga-Bunga Cinta dendangan Misha Omar.

"Mengenai persamaan tersebut, Sheila tidak dapat memberi sebarang komen, tetapi kita kena faham bahawa kedua-dua lagu tersebut adalah ciptaan komposer yang sama. Jadi tidak timbul isu tiru meniru di sini,'' kata Sheila lagi.

Menurut Sheila, mengikut perancangan dia akan muncul dengan sebuah album pada tahun ini, tetapi berkemungkinan besar single akan dikeluarkan terlebih dahulu.

"Mungkin melalui album terbaru nanti, peminat-peminat dapat membezakan antara saya dengan Misha Omar,'' tambahnya.

Berbeza dengan Sheila, Ian Helmy merupakan pendatang baru dalam arena seni suara tanah air.

Bakatnya dikesan oleh Adnan selepas Ian atau Mohd. Annuar Helmy ini memenangi pertandingan Suara Bintang Zon Pantai Timur pada penghujung 2007 di Kuantan.

Lebih kepada genre muzik berentak R&B, pemuda berumur 22 tahun ini turut diberi peluang oleh Adnan menyanyikan lagu balada yang berjudul Gadis Itu untuk soundtrack filem yang sama Bunian.

"Saya rasa bertuah kerana dapat belajar dengan Adnan. Apatah lagi sebelum ini, Adnan lebih cenderung untuk bekerjasama dengan artis wanita dan saya merupakan artis lelaki pertama yang berada di bawah naungan Adnan.

"Saya banyak belajar vokal, persembahan, sebutan dan pernafasan daripada Adnan. Malah saya turut diberi peluang untuk membuat persembahan live sebagai proses pembelajaran.

"Saya perlu bekerja keras untuk menjadi seorang penyanyi dan penghibur yang berjaya.

"Lebih-lebih lagi, atas kepercayaan yang diberikan oleh Adnan mendidik saya sebagai seorang penyanyi,'' ujarnya kepada Hits.

Sempat juga mendendangkan serangkap lagu kepada Hits, ternyata Ian memiliki suara yang mempunyai kekuatan tersendiri. Pastinya, jika kena pada caranya, suara tersebut mampu meruntun jiwa anak-anak gadis apabila mendengarnya.

Malah Ian juga agak bertuah apabila diberi kebebasan oleh syarikat rakaman untuk menentukan konsep dan genre muzik sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: