![]() |
| Isma mahu jadi pelakon versatil. |
MELIHAT gadis manis ini beraksi di hadapan lensa kamera, tiada siapa menyangka dia merupakan 'ulat buku' ketika di alam persekolahannya.
Rutin sehariannya di sekolah suatu ketika dahulu diisi dengan membaca semata-mata.
Buku-buku ilmiah sentiasa menjadi teman setianya ke mana sahaja dia pergi.
Tipikal gadis ulat buku, masanya banyak dihabiskan di perpustakaan sekolah, belajar berkumpulan dengan rakan sekelas dan menghadiri kelas tambahan.
Aktiviti kokurikulum dikurangkan, jauh sekali ingin menyertai kelab tarian atau pasukan sorak di sekolahnya.
Kini, gadis ulat buku itu telah berubah wajah. Dari perwatakan yang 'skema', dia kini tampil galak dan lebih ceria, sesuai dengan imejnya sebagai seorang pelakon di usia remaja.
Gadis yang dimaksudkan ialah Isma Hanum, pelakon baru yang membintangi drama bersiri 5 Jingga yang pernah disiarkan di 8TV tahun lalu.
Membawa watak sebagai Nik yang merupakan ahli pasukan sorak, gadis cantik berusia 23 tahun ini berkata, watak yang dibawanya sangat berbeza dengan realiti persekolahannya tujuh tahun yang lalu.
Mengutamakan pelajaran
"Sepanjang alam persekolahan, saya tidak pernah menyertai pasukan sorak kerana saya mengutamakan pelajaran.
"Masa diberi watak ini, saya menganggapnya sebagai cabaran kerana badan saya memang keras kalau menari tetapi akhirnya saya berjaya melakukannya.
"Walaupun tidak pernah menyertai pasukan sorak di zaman sekolah, dapat juga saya merasainya ketika sudah berusia 23 tahun dan ia memang menyeronokkan," ujarnya yang menyifatkan agak sukar membawa watak gadis sekolah kerana perlu meyakinkan penonton.
Tambahnya lagi, dia memilih untuk menjadi pelakon melalui pengalaman kelas bahasa Inggeris yang memerlukan pelajar berucap secara spontan dan lancar.
"Mengikuti kelas itu memberi keyakinan kepada saya untuk berlakon kerana pengalaman memang tidak boleh dibeli," kata Isma .
Dia kemudian menyertai kelas teater di Pusat Persembahan Seni Kuala Lumpur (KLpac), di bawah tunjuk ajar Joe Hafsham dan sering menyertai uji bakat di serata Kuala Lumpur.
Isma yang turut aktif berlakon teater dan filem bebas (indie), berkata, dia ingin menjadi pelakon yang versatil dengan mencuba pelbagai watak dan tidak terikat dengan satu watak sahaja.
Setakat ini, Isma bersyukur kerana diberi peluang membawa pelbagai watak yang berbeza seperti watak bomoh dalam drama Kekasih Ku Seru yang mencabar kerana perlu kelihatan cantik dan jahat pada waktu yang sama.
Menurut Isma, walaupun kemunculannya dalam drama itu tidak sampai lima minit tetapi ia tetap memberi makna kerana bukan mudah menghidupkan watak wanita nakal dan jahat.
Selain itu, Isma juga berlakon dalam drama bersiri Ghost musim kedua yang kini ditayangkandi 8TV arahan Ng Ping Ho dengan membawa watak sebagai hantu 'tetap' dalam drama 13 episod itu.
Dalam Ghost, dia perlu membawa watak sebagai seorang gadis yang bermasalah dan kemudian mati lalu rohnya merayau kerana tidak pernah berjumpa dengan bapanya.
"Saya pernah membawa watak seorang murid sekolah, bomoh, hantu malah ibu yang jauh lebih tua dari usia saya.
"Saya sangat teruja mencuba pelbagai watak dan kalau boleh ingin mencuba apa sahaja yang diberikan oleh pengarah untuk membuktikan saya boleh menjadi pelakon yang versatil, tidak terikat dengan satu watak sahaja," ujarnya yang kini sedang mengikuti pengajian jarak jauh dalam bidang Pengajian Teater di Kolej Rose Bruford.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: