Sunday, January 11, 2009

Versatil Zizie





TIDAK perlu diperkenalkan lagi, khalayak sudah lama mengenal sosok pelakon putih gebu ini. Cukup dikenali sebagai seorang pelakon yang versatil, Zizie Ezzette A. Samad atau Zizie tidak pernah kecundang dalam setiap karakter yang dibawanya.

Sebagai penggoda, lirikan mata dan lenggok badannya selalu mengundang gelora. Sebagai wanita teraniaya, air mata dan kepedihannya larut bersama keberkesanan lakonan yang dibawa. Malah sebagai pembawa karakter wanita biasa, Zizie masih mampu menambat hati khalayak dengan aksi yang bersahaja.

Bukan orang baru dalam industri, pengalaman lebih 15 tahunnya sudah cukup membuatkan nama pelakon yang menggondol anugerah sulungnya sebagai Bintang Harapan pada Festival Filem Malaysia Ke-11 pada tahun 1994 menerusi filem Kekasih Awal Dan Akhir bersama Jamal Abdillah terus mekar.

Pelakon yang begitu selesa berkerja di bawah arahan sutradara Rashid Sibir ini juga pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin melalui drama Aduhai Esah selain memukau khalayak dengan lakonannya dalam karya seperti Bicara Cinta.

Kini terbabit dalam drama berantai yang meraih sukses luar biasa pada musim pertama dulu, Spa Q 2, wanita berusia 30 tahun ini membawa karakter pengurus Spa Q bernama Norell.

"Norell seorang yang tegas dan begitu berwibawa terhadap kerja, namun keadaan memaksa dia menyeleweng," ujar Zizie yang menyatakan Spa Q 2 penuh konflik dan lebih berjiwa.

Sambil memberitahu dia menerima tawaran drama yang mula ditayangkan sejak 15 Disember lalu pada pukul 6.30 petang dari Isnin hingga Khamis di TV3 kerana teruja berlakon dalam sebuah produksi hebat serta drama yang sudah terkenal, Zizie gembira kerana berpeluang berlakon bersama teman baiknya, Farahdhiya.

Tidak mengambil sebarang tawaran kerana terbabit dengan drama itu, Zizie sewaktu ditanya tentang kesediaan bernikah memberitahu ringkas: "Calon sudah ada. Tapi hati belum terbuka untuk bernikah."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: