![]() |
| SEPADAN... Mawi dan Ekin yang mengenakan busana rekaan Rizalman Ibrahim sewaktu acara menepung tawar. |
"Sekarang masanya untuk kami berdua berehat dan menghabiskan masa untuk bulan madu pula. Selepas itu, barulah saya akan kembali meneruskan kerjaya seni saya," demikian kata penyanyi lelaki popular, Mawi selepas tamatnya majlis resepsi di Hotel Palace of the Golden Horses, malam Ahad lalu.
Mawi dan isterinya Ekin akan berlepas ke Korea Selatan selama lima hari bermula 16 Januari ini untuk berbulan madu atas tajaan Pertubuhan Pelancongan Korea.
Acara kemuncak perkahwinan Mawi dan isterinya, Ekin berakhir dengan sebuah majlis resepsi istimewa yang bertemakan Hikayat 1001 Malam yang telah diadakan dengan penuh meriah dan gilang-gemilang.
Jelas Mawi lagi, apa yang telah berlaku sepanjang perkahwinannya itu, bukanlah seperti mana yang dirancangkannya, sebaliknya merupakan inisiatif daripada pihak-pihak yang mahu memberikan sesuatu yang istimewa kepada para peminatnya serta mereka yang banyak membantu kerjaya seninya selama ini.
"Seperti yang saya katakan dulu, saya mahukan majlis yang cukup ringkas dan sederhana tetapi apabila ada pihak yang mahu membantu, saya tidak dapat lari dan menganggap itu sebagai satu penghargaan.
"Bila dikenang kembali, saya rasa diri saya cukup bertuah kerana perkahwinan saya diraikan sebegini rupa. Jujurnya, saya tidak pernah membayangkan kemeriahan yang akan tercetus daripada perkahwinan saya ini.
"Untuk itu, saya mengambil peluang ini sekali lagi untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan majlis perkahwinan saya ini. Budi baik anda akan saya kenang sampai bila-bila," kata Mawi penuh makna sambil ditemani isteri tercinta di sisi.
Majlis yang cukup indah itu telah dihadiri oleh 1,500 orang tetamu termasuk tetamu kehormat, Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tunku Annuar Al-Haj dan Toh Puah Bendahara Kedah, Noorsuzanna Abdullah yang hadir mencemar duli ke majlis persandingan itu.
Malah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan isteri, Datin Seri Sharifah Aziah Syed Zainal Abidin juga dijemput memeriahkan majlis dan sempat menepung tawar kedua mempelai.
Dalam pada itu, Mawi sempat menceritakan pengalamannya menunggang kuda hanya dalam tempoh dua hari semata-mata untuk menghidupkan malam yang bertemakan ala Timur Tengah itu.
"Memang risau juga kalau kuda berkenaan buat hal kerana kurang selesa dengan keadaan sekeliling seperti mana yang berlaku tadi. Tetapi, mujurlah pihak pengajar telah memberi panduan bagaimana hendak mengendalikan masalah itu," jelas Mawi lagi.
Menyaksikan Mawi dan Ekin dalam majlis persandingan yang penuh indah memang tidak ubah seperti menonton filem animasi Aladdin yang bertemu jodoh dengan sang puterinya di kota Aghrabah.
Apatah lagi cukup segak dan sepadan Mawi dan Ekin yang sedondon berpakaian ala putera dan puteri Arab menerusi hasil rekaan pereka tersohor, Rizalman Ibrahim.
Belum pernah lagi rasanya perkahwinan artis yang mengambil tema sedemikian dan apa yang boleh dikatakan, semuanya berjalan dengan lancar dan hadirin yang hadir kebanyakannya mengikut tema yang ditetapkan menjadikan majlis berkenaan begitu kuat aura Timur Tengahnya.
Lebih manis lagi, bekas tunang Mawi, Nordiana Mohd. Naim atau Ina Naim turut hadir bersama suami tercinta, Mohd. Suhaimi Saad serta anak sulung mereka, Ehmad Hadie Alfardie yang ternyata mendapat perhatian yang meluas daripada hadirin.
Apatah lagi, sewaktu Ina bertemu, bersalaman dan mengucup pipi ibu Mawi, Ramlah Sarlan di meja santapan pengantin sambil disaksikan suaminya dan Mawi menyebabkan mereka yang hadir tidak melepaskan peluang merakamkan momen manis itu.
Antara artis yang hadir memeriahkan majlis adalah Aznil Nawawi yang bertindak sebagai pengacara majlis untuk majlis merenjis, Ning Baizura, Datuk Yusof Haslam dan isteri, Mamat Khalid dan isteri, M. Nasir, Marlia Musa, Farhan, Rozita Che Wan, Linda Onn, Fouziah Gous, Iqram Dinzly dan ramai lagi.
Bukan itu sahaja, persandingan itu turut diserikan dengan persembahan diva tersohor, Anita Sarawak yang menyampaikan lagu Selamat Pengantin Baru selain Yassin dan kumpulan Rabbani.
Bekas bintang Akademi Fantasia seperti Idayu, Akma, Ekin, Marsha, Heliza, Amylea, Mila, Felix dan Zahid turut menyerikan lagi majlis tersebut.
Namun, antara bekas bintang AF yang membuat persembahan malam itu, lagu duet nyanyian Idayu dan Marsha ternyata mencuri perhatian tatkala mendendangkan lagu Tell Him nyanyian asal Celine Dion dan Barbra Streisand.
Meskipun gangguan teknikal berlaku sebelum bermulanya lagu Cinta Di Akhir Garisan yang menyebabkan Marsha, Akma, Idayu, Ekin dan Amylea terpaksa menyanyikannya secara acapella, namun, gandingan mereka memang berjaya dan mendapat tepukan yang paling gemuruh.
Apa yang pasti, Mawi sememangnya insan yang cukup bertuah kerana ada pihak yang mahu menaja majlis perkahwinannya. Ternyata Mawi mampu tidur lena kini dan diulit dengan mimpi indah mengenangkan majlis perkahwinannya yang sebelum ini menjadi fantasinya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: