|
BUKAN mudah bergelar artis rakaman, apatah lagi sekiranya segala kos dan kerja rakaman album terpaksa dilakukan sendiri. |
Namun segala rintangan dan cabaran itu sanggup dilalui pendatang baru, Aziatulshima Ahamad Azhahari, 25, atau Sherryn untuk mencapai impian bergelar penyanyi. Malah, semua itu sedikitpun tidak mematahkan semangatnya.
Walaupun album sulung berjudul Keretapi Laju tidak sebaik diharapkan, Sherryn bangga kerana pengalaman diperoleh sepanjang setahun menyiapkannya dianggap sangat berguna.
“Ini percubaan pertama saya. Tidak dinafikan sebagai orang baru yang tidak tahu mengenai selok-belok industri muzik tempatan, banyak dugaan terpaksa saya hadapi. Namun ibarat kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.
“Sekiranya hendak dikatakan album ini di tahap rendah, saya rasa tidak kerana antara penerbit terbabit dalam pembikinannya mempunyai pengalaman luas seperti Fauzi Marzuki dan bekas anggota kumpulan Bloodshed, Opie.
“Saya bertuah kerana sebagai orang baru, ada antara lagu dimuatkan dalam album ini seperti Impian Yang Nyata dan Kau Dan Aku tersenarai dalam 10 lagu popular carta Radio Muzik,” katanya.
Mula bergiat secara serius dalam bidang nyanyian selepas tamat pengajian peringkat menengah, kata Sherryn, satu sebab album dihasilkan mutu penyampaiannya kurang mantap kerana ia menggunakan khidmat ramai penerbit.
“Sebagai orang baru, saya berasakan agak susah untuk memenuhi kehendak setiap penerbit. Kadangkala saya keliru sehinggakan tumpuan terhadap penyampaian vokal terganggu.
“Saya akui akan kelemahan itu, tetapi selepas ini ia mungkin tidak akan berlaku lagi memandangkan saya sudah tahu tahap kemampuan dan kelemahan diri.
“Penyanyi baru seperti saya turut bermasalah hendak mencari pencipta lagu dan penerbit yang benar-benar sesuai.
“Saya hanya mengenali mereka menerusi teman iaitu Aminuddin yang turut menjadi penerbit album ini.
“Dia yang memperkenalkan saya kepada Opie, Fauzi dan Zali Ghazali. Jadi pemilihan lagu sewaktu mahu menghasilkan album ini agak terhad.
“Saya menyimpan impian selepas ini jika diberi peluang mahu bekerja dengan penerbit dikenali dan lebih komersial kerana mereka mungkin lebih faham apa yang pasaran inginkan,” katanya.
Sherryn turut menafikan kemampuan vokalnya agak terhad dan kurang sesuai mendendangkan lagu berentak pop rock yang menjadi konsep albumnya.
“Penerbit sendiri yang menyarankan kepada saya agar menghasilkan album berkonsepkan pop rock kerana pada pandangan mereka, ia sedang menjadi kegilaan.
“Sebagai penyanyi yang banyak menimba pengalaman di kelab malam selama tujuh tahun, saya sebenarnya boleh mendendangkan lagu pelbagai jenis rentak ini termasuk dangdut, pop dan balada.
“Namun, saya tidak pernah terfikir sama ada konsep pop rock itu sesuai atau tidak dengan imej dan vokal saya,” katanya.
Walaupun masih baru, Sherryn bercita-cita besar untuk pergi jauh dalam bidang seni.
Sebagai persediaan, dia menubuhkan syarikat pengurusan sendiri, Sherryn Entertainment. Albumnya pula diedarkan syarikat rakaman Musicland.
“Album ini dihasilkan sendiri hasil duit menyanyi di kelab. Oleh itu apabila berada di pasaran, saya sendiri turun padang menjual sendiri album dihasilkan apabila setiap kali berpeluang menerima jemputan mengadakan persembahan pentas.
“Setakat ini penerimaan pendengar baik dan jualannya sudah mencecah 1,500 unit. Saya mahu menjadikan Keretapi Laju sebagai titik permulaan mengembangkan bakat sekali gus mencuba pelbagai cabang seni,” katanya.
Album Keretapi Laju yang memuatkan 10 lagu memuatkan lagu ciptaan komposer terkenal, Fauzi Marzuki (Keretapi Laju) dan Sharon Paul (Waktu Itu) manakala lagu lain, Impian Yang Nyata dan Ku Rasa Cinta (Shahrizal), Kau Dan Aku (Kim), Bercinta Semula (Opie), Tak Mahu Tahu dan Sendiri Bersama Diriku (Lee Tuta) dan Andai (Zali Ghazi).
PROFIL
NAMA: Aziatulshima Ahamad Azhahari
TARIKH LAHIR: 12 Januari 1984
TEMPAT LAHIR: Seberang Prai, Pulau Pinang
BINTANG: Capricorn
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
HOBI: Menyanyi, membaca, mendengar radio, melancong
MUZIK DIGEMARI: Pop rock, R&B, dangdut, balada
PROGRAM DIGEMARI: Hiburan dan isu semasa
FESYEN DIGEMARI: Kemeja-T dan seluar jeans
WARGA KEGEMARAN: Hitam, putih, merah
PENYANYI PUJAAN: Datuk Siti Nurhaliza
PELAKON PUJAAN: Nasha Aziz
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: