Thursday, January 15, 2009

Siapakah Juara Gadis Melayu ?


LIMA finalis Gadis Melayu, barisan depan dari kiri; Khairul Noormaidah, Nur Aishah, Siti Nurashikin, manakala berdiri di belakang; Nurul Khusna dan Noor Afzan.

Kemahiran lima peserta menghadapi pelbagai ujian dapat disaksikan secara langsung di TV9

TV9 berasakan bakat semula jadi yang dimiliki semua peserta akhir program Gadis Melayu tidak harus dipersia-siakan.

Justeru, mereka yang berjaya menambat hati pengurusan stesen ini pasti akan diberi peluang bertugas bersama saluran di bawah Media Prima itu selepas program pencarian anjuran mereka itu tamat, malam esok (15 Januari).

Sejak sesi uji bakat diadakan lagi, kebanyakannya sudah menunjukkan minat dan kecenderungan masing-masing, sama ada dalam bidang pengacaraan, kewartawanan dan sebagainya. Tugas TV9 hanya untuk menggilap bakat semua peserta akhir dan seandainya rezeki menyebelahi, pasti sebahagiannya bakal menyaksikan karier penyiaran mereka bermula di stesen TV ini.

Menurut Penerbit Eksekutif Gadis Melayu, Ezzah Aziz Fawzy, sepanjang menyertai rancangan terbabit, peserta turut didedahkan dengan kursus kemahiran antara diri, ketrampilan, pemakaian serta kepimpinan.

"Semua kursus berkenaan disediakan bagi melengkapkan diri peserta untuk bergelar Gadis Melayu apabila final diadakan tidak lama lagi. Lebih penting daripada semua itu, sesiapa saja yang diumumkan pemenang, menjadi harapan kami agar dia mampu menjadi aspirasi kepada gadis Melayu lain," katanya ketika ditemui pada majlis mengumumkan senarai peserta yang berjaya ke peringkat akhir program itu di Villa May, Shah Alam, baru-baru ini.

PENGACARA peringkat akhir, Adlin Aman Ramlie dan Afdlin Shauki.

Lima peserta yang berjaya melangkah ke akhir ialah Khairul Noormaidah Zali dari Rawang, Selangor; Noor Afzan Mohd Afzul Khan (kota Kinabalu, Sabah); Siti Nurashikin Mohd Noor (Sungai Petani, Kedah); Nurul Khusna Uma (Kuantan, Pahang); dan Nur Aishah Zainal (Melaka).

Siaran langsung peringkat akhir dipancarkan di TV9 dari Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, Khamis ini, jam 8.30 malam. Rancangan berkenaan akan dikendalikan dua artis serba boleh, Afdlin Shauki dan Adlin Aman Ramlie.

Pemenang Gadis Melayu membawa pulang hadiah keseluruhan yang bernilai RM67,000, manakala empat peserta akhir menerima hadiah sagu hati bernilai RM44,000.

Pada rancangan akhir itu juga, setiap peserta yang berjaya akan mempersembahkan teater yang diarahkan oleh Normah Nordin dan Habsah Hassan. Mereka juga akan beraksi bersama beberapa pelakon seperti Jehan Miskin, Arash Mohamad dan Azhar Sulaiman.


Barisan juri yang bakal menilai peserta pada malam berkenaan ialah Toh Puan Noor Aini Datuk Abdullah, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood dan Dr Fazley Yaacob.

Pada majlis terbabit, turut diumumkan ialah 10 pemenang penghantar SMS terbanyak untuk peraduan yang dianjurkan TV9 sempena program berkenaan, serta pemenang lima kategori yang dipertandingkan iaitu kategori Gadis Anggun dan Gadis Ayu yang kedua-duanya menjadi milik Efi Norfiani Aris Setiawan, Gadis Bijaksana (Zehra Zambri), Gadis Idaman (Nur Aishah Zainal) dan Gadis Dekat Di Hati (Nurul Khusna Uma).

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penggantian pengacara asal, Fahrin Ahmad, kepada Afdlin dan Adlin mengacarakan peringkat akhir, Ezzah berkata, mengikut kontrak, Fahrin hanya mengacarakan program itu sebanyak 13 episod.

"Berikutan sambutan baik penonton terhadap program Gadis Melayu, ia ditambah lagi sebanyak tiga episod. Dua daripadanya akan disiarkan selepas peringkat akhir nanti. Jadi, apabila kontrak Fahrin sudah tamat, kami menggunakan dua pengacara lain bagi mengendalikan rancangan final," kata Ezzah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: