Friday, January 23, 2009
" Saya bukan lawan sifu " - Nabil
LU FIKIRLAH SENDIRI, telah menaikkan nama Nabil sebagai pelawak yang mendapat pengiktirafan masyarakat. Sejak mencipta nama sebagai Juara Raja Lawak musim kedua terbitan Astro, Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 25, semakin mencipta nama dalam industri seni tanah air.
Anak kelahiran Negeri Sembilan ini, memiliki auranya tersendiri. Nabil, bukannya ‘copycat’ dari sesiapa sebelumnya tetapi personaliti yang ada padanya lahir secara sendiri. Lawaknya yang selamba mampu membuatkan peminat tak kering gusi.
Lakonan sulungnya dalam filem Sifu dan Tongga bersama ‘otai lawak’, Saiful Apek bakal menemui peminat filem tanah air pada 29 Januari ini. Nyata pengalaman tersebut berharga buat jejaka tinggi lampai ini dan dia tidak malu untuk mengakui masih lagi dalam proses menimba pengalaman berlakon.
Dengan menganggap Apek sebagai idola dan juga sifunya, Nabil memberitahu, Apek banyak memberi tunjuk ajar dan sering berkongsi ilmu lakonan. Walaupun ada yang membandingkannya dengan Apek, namun bagi Nabil, dia bukanlah lawan sifunya itu.
“Ada yang kata saya dah ‘caras’ Apek, tapi terus-terang saya bukannya lawan Apek. Dia tetap pelawak nombor satu dalam industri ini dan tak mungkin saya dapat atasi dia. Apa pun saya masih baru dan harus belajar banyak perkara, terutama daripada artis senior seperti dia (Apek).
“Sejak dulu saya memang meminati Apek dan minat dengan filem lakonannya. Apabila dapat tahu akan berlakon dengannya, saya sanggup menangguhkan projek filem pertama saya, Lu Fikirlah Sendiri The Movie. Sebagai pelakon baru, saya gembira mendapat tunjuk ajar daripada pelakon berpengalaman seperti Apek. Saya juga berasa sangat bertuah diberi kepercayaan berlakon dengan nama-nama besar seperti Pak Pie dan Erra Fazira,” jelas Nabil.
Kata Nabil, pada mulanya dia agak keliru kerana tidak tahu apa yang harus dibuat sebelum penggambaran bermula. Bagaimanapun dia cuba menyesuaikan diri untuk memenuhi karakternya dalam filem tersebut. Selain berbincang dengan pengarah, dia juga tidak segan untuk mendapatkan nasihat serta tunjuk ajar daripada pelakon yang lebih senior.
“Sebelum penggambaran lagi, saya selalu berbincang dengan pengarah dan juga Apek untuk menghayati serta mendapatkan ‘mood’ lakonan yang betul apabila berada di lokasi penggambaran. Saya juga berharap gandingan saya dengan Apek akan membuahkan hasil. Siapa tahu filem ini boleh meletup di panggung. Saya doa-doa macam itulah.
”Tapi dalam masa yang sama saya teruja untuk tunggu ‘feedback’ daripada peminat-peminat. Mana tahu ada yang tak suka,” ujarnya ceria dan tidak sabar menantikan maklum balas daripada penonton serta peminatnya.
Bercerita tentang lakonannya dalam filem Sifu dan Tongga, komedi yang dia cuba tonjolkan itu bukan sekadar lawak biasa tetapi mempunyai mesej dan maksud yang tersirat.
“Penonton sekarang sudah tidak suka kita buat lawak statik lagi, kerana mereka sudah bijak menilai kualiti lawak yang ada pada pelawak. Oleh itu, kami cuba buat sesuatu yang segar dan paling penting lawak itu ada pengisiannya, misalnya, kami cuba kaitkannya dengan alam persekitaran atau isu semasa yang boleh memberikan mesej kepada penonton,” katanya.
Tambah Nabil, untuk membuat lawak bukan mudah kerana ia perlu mengikut cerita, gerak tubuh dan mimik muka barulah orang akan ketawa dengan apa yang sedang diceritakan itu. Malah dia sendiri berusaha untuk mendapatkan ‘mood’ seperti itu.
Filem arahan Prof Madya A. Razak Mohaideen yang menelan perbelanjaan hampir RM2 juta ini turut membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Erra Fazira, Pak Piee, Fauziah Gous, Datuk Jalaluddin Hassan, Azwan Ali, Zainal Alam Kadir, Rozita Che Wan, Along Raja Lawak, Din Beramboi, Shamsul Ghau Ghau, Ruminah Sidek dan ramai lagi.
Bukan Kejar Populariti
Penglibatan Nabil dalam industri hiburan tanah air masih boleh dianggap baru, namun dalam tempoh tersebut dia bijak menggunakan peluang yang ada hingga berjaya meraih populariti. Bagaimanapun bagi Nabil, dia bukannya mahu mengejar populariti tetapi ingin mencuba nasib sebagai anak seni dan menonjolkan bakat komedi yang sedia ada dalam dirinya.
”Terus terang saya katakan, saya tak risau dan tak fikir langsung tentang populariti. Sebab saya menjual bakat dalam bidang ini. Bagi saya dalam apa jua bidang pun, apa yang kita lakukan itu satu proses pembelajaran yang boleh memperbaiki diri kita ke arah yang lebih baik.
“Meskipun ada andaian artis yang cepat popular mudah jatuh, saya berpendapat ia bergantung pada individu itu sendiri dalam mempertahankan kerjaya dan popularitinya,” kata Nabil.
Selain menantikan filem Sifu dan Tongga ditayangkan, Nabil juga sedang menjalani penggambaran filem Kecoh Betul di samping pelakon jelita Diana Danielle dan turut terlibat dengan dua buah filem lain, iaitu Momok arahan M Jamil dan Man Tera, arahan Bade yang menggunakan konsep tiga dimensi atau 3D.
Dalam pada itu, Nabil juga akan kembali dengan sekuel terbaru Sonata Labu Labi arahan Adlin Aman Ramlie yang bakal menemui penonton tidak lama lagi. Dia juga akan mengendalikan program Studio Nabil dan program motivasi bersama Datuk Dr Mohd Fadhilah Kamsah di TV9.
“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat, biarpun masih baru dalam bidang lakonan tapi saya dapat banyak peluang berlakon. Selain dapat mengumpul pengalaman saya juga gembira kerana dapat bekerjasama dengan pengarah yang berbeza-beza. Apa pun saya masih baru dan perlu banyak belajar. Insya-Allah saya akan cuba buat yang terbaik,” kata Nabil lagi.
Terlalu awal untuk bercinta
Selain soal kariernya yang semakin baik, kisah peribadinya turut menjadi perhatian. Sejak akhir-akhir ini, Nabil sering dikaitkan dengan beberapa wanita. Selain dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan seorang gadis bernama Myra, Nabil juga dikatakan semakin intim dengan pelakon jelita, Irma Hasmie.
“Secara jujurnya saya dan Irma hanyalah kawan, tak lebih daripada itu. Saya dengan dia kenal masa saya terlibat dengan rancangan Gitu-Gitu Raya di Astro Ria tahun lepas. Saya dalam proses nak mengenali hati budi dia. Kita tengok lepas ini macam mana, mungkin terlalu awal untuk saya katakan mengenai status hubungan kami,” katanya.
Diajukan pula tentang hubungannya dengan anak kepada pengurus besar Grand Brilliance Sdn Bhd, Myra, sambil tersenyum Nabil mengakui dia dan gadis tersebut hanya kawan biasa.
”Saya akui sebelum ini kami memang rapat, saya ini suka berkawan dengan semua orang, mungkin sebab itu ramai yang akan salah sangka saya bercinta dengan orang ini dan saya suka orang itu. Hakikatnya orang suka saya kerana sifat ‘gila-gila’ saya sahaja mungkin. Saya senang berkawan dengan sesiapa sahaja,” ujar Nabil yang tidak mahu khabar angin tersebut menghancurkan karier seninya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: