Friday, January 2, 2009

Pencarian Gadis Pesona Nona


BARISAN 10 finalis Pesona Nona... Dari kiri, Rini Mohd. Arshad, Wan Faheda Hazmanor, Nurul Huda Ibrahim, Azliana Mohd. Azizi, Nur Shanida Hassan, Nurul Ashikin Mahbawi, Sharifah Aishah Syed Hamzah, Nurul Huda Ahmad Fadzil, Herlena Rizalpahlavy dan Nurul Huda Jamaluddin.


SETELAH sebulan menjalani sesi uji bakat, kini rancangan pencarian gadis Pesona Nona semakin hampir ke kemuncaknya. Bersaing untuk musim ketiga, segmen rancangan yang dibawakan khas oleh produk kecantikan SAFI itu menyenaraikan 10 gadis jelita yang bakal mempertaruhkan bakat mereka di bidang pengacaraan.

Para pemenangnya kelak akan diserapkan menerusi program berbentuk majalah wanita, Nona terbitan TV3 bermula 4 Januari ini, setiap Ahad pukul 2 petang.

Memulakan kelas latihan pengacaraan secara intensif pada 23 Disember lalu, 10 gadis tersebut ialah Nurul Ashikin Mahbawi, 19; Nurul Huda Jamaluddin, 23; Nur Shanida Hassan, 22; Rini Mohd. Arshad, 24; Nurul Anida Ahmad Fadzil, 22 dan Sharifah Aishah Syed Hamzah, 21.

Turut memberikan saingan ialah Wan Faheda Hazmanor, 24; Nurul Huda Ibrahim, 25; Herlena Rizalpahlavy, 22 dan Azlina Mohd. Azizi, 20.

Dalam usaha mencari pengacara yang berkarisma, dinamik dan mempunyai personaliti tersendiri, kesemua finalis diberi tunjuk ajar daripada para tenaga pengajar berpengalaman iaitu Nurfarahin Jamsari, Zainal Ariffin Ismail, Datuk Yusof Haslam, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Nurol Sukor, Mazidul Akmal Sidek dan Winnie Quah.

Penerbit Nona, Syarida Sharif yang ditemui pada sidang akhbar Pesona Nona baru-baru ini memberitahu, TV3 akan dijadikan sebagai pusat pembelajaran untuk para peserta memahami dengan lebih dekat lagi tentang senario sebenar dunia penyiaran.

"Tunjuk ajar daripada para tenaga pengajar profesional dan berpengalaman akan memastikan misi untuk melahirkan bakat baru yang bakal menyinari dunia tanah air tercapai.

"Setiap peserta diberikan tugasan untuk diselesaikan dan mereka akan dinilai daripada pelbagai aspek, antaranya cara penyampaian, melaksanakan tugasan, kesungguhan dan keyakinan ketika berhadapan dengan kamera," kata Syarida pada sidang media, baru-baru ini.

Untuk musim ketiga pencarian wanita bijak Nona ini, stesen TV berkenaan memberi fokus kepada kekuatan para peserta terbabit.

Sebagai contoh katanya, tahun ini terdapat peserta yang lebih cenderung kepada sukan berkuda.

Sehubungan itu, tugasan yang bakal diberikan kepada peserta tersebut pastinya berkaitan aktiviti dan sukan berkuda.

Selain itu, menurut Syarida, terdapat beberapa kelainan yang cuba dipaparkan menerusi rancangan Nona pada musim baru nanti.

Antaranya ialah menampilkan segmen petua, resipi selebriti dan juga segmen lelaki.

"Pelbagai petua lama akan dipaparkan termasuklah petua penjagaan bayi, ibu mengandung, memasak dan sebagainya.

"Segmen ini akan dikendalikan oleh lima moderator termasuk pelakon Maria Arshad dan Sofia Ibrahim," jelasnya.

Turut hadir pada majlis yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan ialah pengarah filem tersohor, Yusof Haslam.

Mengulas mengenai pengambilan 10 finalis yang rata-rata berusia antara 17 hingga 25 tahun itu, menurut Farid, ia sebagai langkah rangkaian televisyen itu dalam usaha mencari pengacara baru yang berbakat dan matang pada usia muda.

"Ini merupakan platform untuk mereka mencuba bakat dalam bidang pengacaraan. Dengan mengadakan pertandingan seperti ini, secara tidak langsung ia dapat menarik minat kalangan mereka yang masih muda," katanya.

Menjawab persoalan tentang pengambilan peserta muda yang dikatakan cuba mengikis imej Nona yang ditinggalkan oleh bekas pengacara rancangan itu, Datin Seri Normala Shamsudin, kata Farid: "Memang tidak dinafikan Normala telah banyak berbudi kepada TV3. Malah, beliau telah meletakkan nama Nona ke tahap yang tinggi.

"Saya yakin setiap tahun pemenang Pesona Nona dapat memberi sesuatu yang baik seperti yang pernah Normala persembahkan pada suatu ketika dahulu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment