BARU enam hari usia perkahwinannya, isu mengenai waran tangkap kerana tuduhan khalwat di masa silam kembali menghantui pelakon kacak, Ako Mustapha.
Bak kata orang inai dijari masih merah tapi ada sahaja malang datang menimpa. Namun ketika cuba menghubunginya lewat petang semalam, ternyata Ako berani bersuara tentang apa yang sebenarnya terjadi.
"Siapa kata saya tak nak hadir. Bukan macam tu sebenarnya....Jangan buat tuduhan melulu. Saya sangat sibuk akhir-akhir ini selepas kahwin hari ketiga saya dah ke lokasi penggambaran drama 'Kapten Boleh'.
"Saya kena habiskan shooting sebelum penghujung bulan Januari ini,” kata Ako yang baru bernikah dengan gadis Kadazan-Dusun, Kartina Abdullah dari Sandakan pada 17 Januari lalu.
Difahamkan Ako sendiri telah menelefon pihak mahkamah dan memberi sebab mengapa dia tidak dapat hadir ke mahkamah berkaitan kes khalawatnya bersama seorang gadis bukan Islam, pada tahun 2007 yang lalu.
"Tak ada waran tangkap akan dikeluarkan dalam masa terdekat atau pun satu dua hari ini. Saya dah telefon pihak mahkamah pagi tadi dan beri sebab mengapa saya tidak boleh hadir pada perbicaraan kes terbabit.
"Pihak mahkamah telah menerima sebab yang dikemukakan dan mereka telah bersetuju tidak mengeluarkan waran tangkap ke atas saya," ujarnya.
Kelmarin, Hakim Syarie Mahkamah Gombak Timur, Wan Mahyuddin Wan Muhamad semalam menetapkan 3 Mac depan bagi kes itu disebut semula dan pertuduhan akan dibacakan kepada Ako.
Ako didakwa berkhalwat dengan seorang wanita bukan Islam, Anang Sagunting, 24, di pangsapuri Blok B-2-9, Oakleaf Park Kondominium, Persiaran Bukit Jaya, Bukit Antarabangsa dekat sini pukul 1.30 pagi 27 Jun 2007.
Jelas Ako dia nekad untuk hadir ke mahkamah pada perbicaraan bulan Mac nanti bagi menyelesaikan masalah tersebut.
"Insya-Allah saya akan selesaikan semua masalah berkaitan isu ini pada awal bulan Mac ini sebaik penggambaran drama Kapten Boleh ini selesai sepenuhnya," katanya.
Nyata aktor kacak ini tidak mudah melatah apabila diajukan apakah komen isterinya apabila isu tangkap khalawat itu timbul diawal perkahwinan mereka.
"Alhamdulillah saya bersyukur sangat dia (Tina) sangat memahami malah dia banyak bagi saya kata-kata semangat agar saya tabah dalam menghadapi semua perkara ini.
"Bukan dia sahaja malah, ibu bapa serta keluarga mertua saya juga sentiasa memberi sokongan moral kepada saya. Kadang-kadang saya rasa cukup terharu," kata pelakon drama Sephia ini.
Ditanya adakah ini tanda keretakan bahtera perkahwinan yang baru dibina, Ako berkata:
"Soal ini tidak timbul. Dia (Tina) lebih kenal siapa saya. Saya tak perlu nak jelaskan kepada semua orang. Cukup jika dia dan keluarga saya tahu apa yang sebernarnya terjadi."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: